Sufian Suhaimi yakin Elfira Loy jodohnya


Ahli keluarga Sufian Suhaimi (kiri) dan Elfira Loy (kanan) pada majlis merisik di kediaman Elfira di Cheras

Hampir empat bulan mengenali hati budi masing-masing, penyanyi Sufian Suhaimi telah mengambil langkah berani apabila menghantar rombongan untuk merisik teman wanitanya yang juga seorang pelakon, Elfira Loy.

Majlis yang dihadiri oleh kedua-dua belah keluarga itu berlangsung di kediaman Elfira di Cheras pada 30 Jun lalu bersamaan hari keenam umat Islam menyambut Syawal.

Meskipun tidak pernah melabelkan hubungan intim di antara mereka sebagai pasangan kekasih, pelantun lagu Terakhir itu tidak menyembunyikan kenyataan bahawa gadis bernama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri merupakan insan istimewa dalam hatinya.

Mula mencuri perhatian peminat apabila memuat naik gambar berdua dalam laman sosial masing-masing, keterbukaan hubungan tersebut menjadi semakin jelas apabila mereka saling meraikan ulang tahun pada Mac dan Mei lalu.

Pada mulanya, Sufian telah menghadiahkan sejambak bunga sebanyak 23 kuntum sempena hari lahir Elfira yang ke-23 pada 8 Mac dan dibalas oleh pelakon drama Qalesya itu dengan hadiah bersiar-siar menaiki helikopter sewaktu ulang tahun ke-25 jejaka itu yang jatuh pada tanggal 3 Mei lalu.

Kini hubungan teman tapi mesra itu hampir sempurna simpulannya dengan majlis merisik yang dirancang sewaktu bulan puasa oleh Sufian dan Elfira sendiri.

“Alhamdulillah, semuanya perancangan berjalan lancar. Idea untuk merisik ini timbul memandangkan masing-masing sudah cukup dewasa untuk menilai hati sendiri. “Jadi selepas saya mendapat lampu hijau daripada keluarga Elfira, maka sampailah rombongan merisik di kediaman keluarganya pada Jumaat lalu.

“Perasaan saya pastinya gembira serta lega dan ini adalah sambutan Hari Raya Aidilfitri terbaik dalam hidup saya,” ujar Sufian ketika dihubungi Kosmo! tentang majlis merisik yang telah berlangsung.

Kahwin

Walaupun telah menghantar cincin tanda buat buah hati kesayangan namun, Sufian memberitahu mereka masih belum ada sebarang perbincangan lanjut tentang selama mana Elfira akan ‘diikat’ dan bilakah tarikh hari bahagia mereka yang sebenar.

Kata Sufian, majlis merisik ini diadakan sebagai bukti dirinya serius terhadap hubungan bersama Elfira dan memberikan jawapan yang lebih pasti kepada ramai pihak yang bertanyakan status sebenar antara mereka.

Tidak merasakan keputusan untuk mendirikan rumah tangga di saat popularitinya sedang menuju puncak sebagai percaturan yang berisiko, anak kelahiran Johor itu percaya pada rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

“Saya dapat rasakan Elfira adalah jodoh saya walaupun tempoh masa mengenalinya tidak lama. Jadi saya fikir mengapa perlu lengah-lengahkan perkara baik seperti ini.

“Insya-Allah, paling awal kemungkinan majlis pernikahan kami ialah pada tahun hadapan tetapi semuanya masih dalam perbincangan,” jelasnya yang tidak akan merahsiakan tarikh hari bahagia jika suda ditetapkan.

Sementara itu, Elfira turut meluahkan perasaan teruja dengan kelancaran majlis yang bermakna dalam hidupnya itu di laman Instagramnya.

Kata Elfira, dia bahagia apabila melihat keluarganya gembira dengan keputusannya dan tiada apa lagi yang mampu menandingi perasaan itu.

“Hari ini (Jumaat) ialah satu hari yang baik untuk saya dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang untuk kita semua.

“Saya mengharapkan doa daripada kalian semua kerana tujuan majlis ini dilangsungkan juga ialah dengan harapan ia bertemu kesudahan yang baik,” tulisnya yang mengaku menitiskan air mata kerana terharu.

Post a Comment

Previous Post Next Post