SELEPAS sebulan menerima rawatan di HKL, Ben Nathan membuat kemunculan pertamanya dengan mendendangkan dua buah lagu hitnya iaitu Stanza Sekeping Hati dan Tidak Mungkin.
Seperti judul lagu popularnya, Stanza Sekeping Hati, penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan membuat kemunculan istimewa yang jauh lebih ‘bersih’ dalam program Selamat Pagi Malaysia semalam. Masih kelihatan sedikit terkeliru dengan dunia nyata dan pertuturannya terbatas, namun dia menunjukkan perkembangan positif setelah dimasukkan ke Wad Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 3 Februari lalu.
Buat pertama kali selepas hidup sebagai gelandangan di kaki lima sekitar ibu negara sejak lima tahun lalu, penyanyi itu membuat persembahan secara langsung di kaca televisyen dengan mendendangkan dua lagu popularnya iaitu Stanza Sekeping Hati dan Tidak Mungkin.
Ditemui Kosmo! usai program tersebut, Ben atau nama Islamnya, Ben Adam, 54, menyatakan hasrat untuk mengerjakan umrah di tanah suci Mekah apabila keadaannya semakin bertambah baik. Bagaimanapun, sebelum itu, dia berhajat untuk merakamkan lagu baharu di Jakarta, Indonesia.
Sebulan menerima rawatan di HKL, Ben berkata, dia mengikut sahaja segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak hospital. Menyedari banyak pihak yang masih mengambil berat tentang keadaan dirinya, dia nekad untuk kembali sihat seperti sediakala.
Oleh yang demikian, satu konsert yang diberi nama Konsert Kasih Dan Sayang Ben Nathan bakal dianjurkan pada 21 Mei depan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur. Konsert tersebut adalah anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia dengan kerjasama ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Syed Nasir atau Jojo.
Kosmo!: Mungkin Ben boleh kongsikan pendapat mengenai penampilan baharu sekarang?
Ben: Saya rasa biasa sahaja, cuma teruja dengan perubahan teknologi dan fesyen sekarang. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong saya. Sebenarnya, saya ingin menyiapkan projek rakaman lagu di Jakarta, Indonesia. Selepas itu, saya ingin fokus mengerjakan umrah. Saya ingin membuat klip video berlatarbelakangkan kota suci Mekah dan perjalanan umrah saya sendiri.
Bagaimanakah keadaan anda selepas menerima rawatan di HKL?
Saya ikut sahaja prosedur yang telah ditetapkan sebab sedar saya adalah pesakit di sana (HKL), walaupun kadang-kadang saya diberi makanan tanpa gula atau garam yang secukupnya. Namun, saya tahu, semua itu adalah untuk kebaikan saya. Saya juga tidak pernah terlepas makan ubat yang diberikan. Saya sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan pihak hospital sepanjang berada di sana. Kadang-kadang saya menyanyi untuk pesakit lain dan banyak aktiviti yang dijalankan seperti permainan karom.
Selepas sihat, apakah makanan yang ingin sekali anda makan?
Jika diikutkan selera peribadi, saya ingin makan lamb chop atau chicken chop. Saya sebenarnya tidak memilih. Apa yang mereka beri, saya makan.
Sekiranya anda dibenarkan pulang ke rumah, apa perkara yang paling dirindu dan ingin laksanakan?
Saya beruntung kerana mempunyai adik-beradik seperti Bob dan Ray Ragu yang berada di sisi saya hari ini (semalam). Saya ingin menyanyikan lagu baharu. Saya perlu hafal dan sentiasa lakukan latihan di rumah supaya apabila masuk ke studio rakaman nanti, proses rakaman lagu boleh berjalan dengan lancar.