Kata Haliza Misbun, dia sendiri sangat menyayangi watak Nurul dalam Cinderella sehingga tidak kisah jika ada yang berpendapat dia dikata terus hidup kerana karakter tersebut.
“Bagi saya, Cinderella itu satu watak yang agung dan sempurna. Jadi, apabila diberi watak lain seperti mengisi kekosongan yang ada. Contoh paling mudah beginilah, bila kita pernah makan masakan paling sedap ibu kita, pergilah ke mana-mana pun dan dihidangkan dengan apa pun makanan, kita pasti akan teringat dengan masakan ibu kita juga.
“Tetap abadi, kekuatan dan legendanya watak Cinderella itu sangat sukar untuk ditandingi. Sehinggakan saya sanggup tunggu bertahun-tahun untuk mendapat semula watak yang sama.
“Bagi saya, membawakan karakter yang bagus sekali gus akan berupaya membentuk karakter seorang pelakon dan boleh membuatkan dia mengenal dirinya yang sebenar,” kata Haliza yang baharu sahaja menghabiskan penggambaran drama Semusim Rindu.
Filem Pencuri Hati Mr. Cinderella ditayangkan pada 10 Ogos lalu. Karya ini akan disambung semula sekiranya mendapat sambutan baik daripada penonton walaupun pada awalnya, penulis skrip asal drama itu, Mohd Noor Kadir tidak mahu lagi meneruskan kesinambungan Cinderella selepas berakhir pada 1998.
Watak Cinderella terlalu agung
MESKIPUN hanya satu babak di penghujung cerita, penampilan Haliza Misbun yang hadir sekadar cameo dalam tempoh hanya beberapa minit mencuri tumpuan kepada keseluruhan filem Pencuri Hati Mr. Cinderella.
Tanpa sepatah dialog, sekadar pandangan tajam dan marah merenung tepat wajah Salman (lakonan Ahmad Idham) di lobi lapangan terbang, karakter Nurul yang dibawakan oleh Haliza mengembalikan nostalgia drama yang cukup hit suatu ketika dahulu, Mr. Cinderella.
Drama 26 episod yang mencetuskan fenomena dua dekad lalu dikembalikan oleh pengarah Ahmad Idham dalam senario lebih segar dan terkini, dengan gandingan pelakon asal dan baharu. Filem tersebut sebagai satu jawapan kepada kehidupan pasangan Salman dan Nurul selepas 20 tahun.
Bagi pelakon berusia 44 tahun ini, biarpun hanya satu babak tetapi jika mampu melontarkan penghayatan melebihi seratus peratus sudah cukup memberi nilai tersendiri.
“Sebenarnya saya agak terkejut juga dengan reaksi para penonton yang masih ingat dengan watak Nurul walaupun sekadar satu babak.
“Tapi sejak mula-mula dididik dan diasuh dalam dunia teater oleh Datuk Rahim Razali, tidak timbul soal ini. Setiap satu babak bagi orang seni seperti kami sangat berharga. Lebih-lebih lagi kalau sekadar satu babak, itulah yang kami manipulasi sehingga memberi kesan kepada penonton.
“Kalau kehadiran saya pada saat-saat akhir membuatkan pelakon lain seakan-akan ‘terpelanting’ maka saya tidak ada kata-kata untuk itu. Setiap pelakon ada tanggungjawab masing-masing dalam merealisasikan watak dengan kreativiti sendiri agar dapat menonjolkan diri dalam lakonan mereka.
“Malah untuk membawakan babak tanpa dialog lebih susah sebab saya perlu berkomunikasi menerusi mata dan gerak tubuh,” kata Haliza.
Menerima tawaran berlakon dalam filem itu juga bukan datang dengan satu keputusan mudah. Apatah lagi antara Haliza Misbun dan Ahmad Idham pernah mempunyai sejarah lama yang kontroversi suatu ketika dahulu yang berkait dengan soal hati dan perasaan.
“Rasanya masih ada yang ingat bahawa saya dan Idham pernah ada sejarah lama. Waktu berlakon dulu, ada pelbagai perkara yang timbul. Selepas berakhirnya drama Mr. Cinderella, saya dan Idham tak pernah berjumpa, kami putus hubungan dan langsung tidak bercakap.
“Jadi, gandingan semula dalam filem ini seperti menyelesaikan masalah yang tak selesai dahulu. Kita sudah semakin dewasa dan kisah 20 tahun lepas tak perlu lagi diingat-ingat. Demi Cinderella, saya lupakan kisah silam. Bila berjumpa semula, ikatan kami sebagai sahabat lebih kuat sebab kami pernah ada asas hubungan yang baik,” kata Haliza yang merasakan ciri baik yang ada pada Idham sebagai seorang lelaki membuatkan dia menghormati pengarah tersebut.
Malah permulaan perancangan filem itu juga seakan-akan digerakkan oleh Haliza apabila melihat kegagalan Ahmad Idham yang cuba mengembalikan kegemilangan Cinderella dalam pelbagai genre dan penampilan pelakon lain namun tidak memberi impak.
“Saya dan Idham bertemu semula selepas 20 tahun sewaktu dia mengunjungi Datuk Eizlan Yusof di lokasi penggambaran yang juga melibatkan saya. Ketika itu, saya terlepas cakap kepada Eizlan dan menyuarakan perasaan saya mengenai Idham yang terlalu taksub dengan cerita Cinderella.
“Dia selalu buat genre baharu cerita ini tetapi kenapa setiap kali dia kembalikan Cinderella, tidak pernah mengajak saya untuk terlibat sama? Apa masalah dia? Saya kata, saya ini masih hidup. Saya adalah sebahagian daripada Cinderella tetapi saya tidak pernah terlibat.
“Jadi, Eizlan sampaikan kepada Idham dan bermulalah projek filem ini. Pendek kata, memang saya yang membuat cadangan untuk mengembalikan filem ini semula,” kata Haliza.
Dua lagi filem yang dihasilkan Ahmad Idham selepas drama tersebut berakhir ialah Mr Cinderella lakonan Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim (2002) dan Cinderella (lakonan Fizo Omar dan Nelydia Senrose) pada 2013.
Justeru, mereka bertemu untuk membincangkan projek tersebut dan Haliza berterus-terang mahu memberi sokongan kepada Idham kerana dia tahu, pengarah tersebut taksub dengan drama Cinderella sehingga sanggup menerbitkannya berkali-kali.
Kata Haliza, selain menerima tawaran tampil dalam Pencuri Hati Mr. Cinderella kerana sahabatnya itu menghargai bakatnya, mendapat bayaran yang sangat memuaskan hati juga menjadi penyebab untuk dia sedia beraksi walaupun hanya satu babak dalam filem tersebut.