Sissy Iman serba boleh


Sebelum ini nama Sissy Iman dikenali sebagai penyanyi dan komposer muda yang berbakat besar.

Namun, selepas muncul bermain piano ketika persembahan lagu Jampi nyanyian Hael Husaini di pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) baru-baru ini, Sissy meletakkan dirinya sebagai pemuzik dan berjaya ‘menjampi’ ramai penonton.

“Sebelum ini saya cuma meletakkan diri sebagai penyanyi ketika muncul di pentas untuk membuat persembahan.

“Selepas mengiringi Hael di AJL, saya dapat pengalaman baru dan meletakkan diri sebagai pemuzik,” katanya.

Selain menimba pengalaman di pentas penuh gah itu, Sissy juga pernah membuat persembahan bersama kumpulan pemuzik dari Jepun.

“Mereka yang terdiri daripada lapan anggota adalah guru muzik yang juga pemuzik dari Rad Music School di Jepun.

“Persembahan itu dikenali sebagai Music Invasion Vol 1 dan berlangsung di The Bee, Publika, Kuala Lumpur selaku penganjur dengan kerjasama All To Fate pada 31 Januari lalu,” katanya.

Menurut Sissy, kumpulan pemuzik Jepun itu nampak teruja menyampaikan lagunya. Dia juga tidak melepaskan peluang untuk mempersembahkan lagu berbahasa Jepun.



“Namun, disebabkan faktor masa yang singkat, kami hanya sempat melakukan latihan dan susunan muzik ketika sesi ‘sound check’.

“Mereka menyampaikan lagu saya dan saya juga menyampaikan satu lagu Jepun berjudul Mirae nyanyian asal Kiroro.

“Berbanding lagu asalnya yang berentak balada, saya cuba tampilkan kelainan dengan menyusun semula melodinya menjadi lagu funk jaz,” katanya.

Selain itu, Sissy yang juga guru vokal tidak hanya mahu bergelar penyanyi dan pemuzik, bahkan mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.

“Tahun lalu, saya pernah mengacarakan dua program yang disiarkan di aplikasi Joox. Kedua-duanya adalah Joox Singgah Sat dan Joox Unplugged.

“Alhamdulillah, satu lagi ilmu baru saya timba dalam bidang pengacaraan. Nampak macam senang, tapi bila saya sendiri melakukannya, ia nyata mencabar kemampuan saya,” katanya.



Namun, sedikit sebanyak, Sissy boleh berkongsi sisi berbeza dirinya dengan peminat dan dia juga menerima reaksi positif daripada penonton.

Terbaru, Sissy kini masih mempromosikan single terbarunya berjudul Jatuh yang dilancarkan tahun lalu.

“Jatuh masih lagi dipromosikan. Selain itu, saya juga ada menghasilkan lagu untuk artis lain.

“Paling baru, ada kejutan kerana artis yang meminta lagu daripada saya adalah mereka yang sudah lama tidak keluar dengan single baru. Jadi, saya sendiri terkejut kerana tak pernah menyangka akan bekerjasama dengannya. Insya-Allah, saya akan kongsikan apabila semuanya sudah mendapat persetujuan,” katanya.

Bagaimanapun, bakal guru ini sentiasa mengharapkan perjalanan kerjayanya terus mekar dan mendapat tempat dalam industri muzik.

Post a Comment

Previous Post Next Post