Raya tiga sahabat Sofia Jane, Melissa Saila dan Vanidah Imran


Tiga rakan baik ini lebih memberi fokus kepada topik mengenai industri seni apabila bertemu.

SEJUJURNYA, bukan mudah untuk menggabungkan tiga nama yang cukup besar dalam industri hiburan tanah air iaitu Datin Sofia Jane, Melissa Saila dan Vanidah Imran. Masing-masing sibuk dengan urusan kerjaya dan juga hal peribadi.

Hasrat untuk menyatukan ketiga-tiganya untuk dijadikan sebagai penghias muka depan Sensasi Bintang edisi raya pada tahun ini sudah diluahkan kepada si empunya tuan badan sejak sebelum tiba Ramadan lagi.

“Maaf, saya tidak berada di Malaysia pada waktu terdekat ini,” jawab Sofia ringkas sewaktu penulis cuba menghubungi beliau buat pertama kali untuk menyatakan hajat Sensasi Bintang.

Apatah lagi ketika dimaklumkan bahawa Sofia hanya berada di tanah air kira-kira dua minggu sebelum lebaran, ketika itu penulis membayangkan idea menggabungkan mereka bertiga mungkin terpaksa ditangguhkan dulu.

Nyata, sangkaan penulis meleset apabila ketiga-tiga mereka bersetuju untuk disatukan pada saat-saat akhir. Sesi fotografi ini dijayakan hanya tujuh hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Relevannya mahu menggabungkan trio ini kerana mereka belum pernah disatukan dalam mana-mana sesi fotografi. Signifikannya yang mungkin umum ada tidak tahu, bahawa tiga serikandi seni negara ini merupakan sahabat yang cukup rapat.

Jika dihitung tempoh persahabatan mereka, sememangnya ia satu tempoh yang boleh disifatkan cukup lama. Lebih dua dekad usia persahabatan mereka. Angka itu sendiri sudah cukup menggambarkan betapa ‘masaknya’ mereka antara satu sama lain.

Pertemuan di Hotel Parkroyal Kuala Lumpur pada hari itu jadi riuh-rendah. Ia bagaikan sebuah majlis perjumpaan semula. Apatah lagi, jurusolek yang menata rias mereka bertiga, Khir Khalid dan Chomel Abdullah juga merupakan kawan rapat mereka. Banyak yang mereka bualkan.

“Hari ini kita semua bersongket ya. Tun Teja mahu ke mana tu?” usik Melissa kepada Sofia yang mengenakan busana songket hijau benang emas Kuala Selangor sentuhan pereka fesyen terkemuka Salikin Sidek.

Sofia bersederhana


Sofia menyambut Aidilfitri pada tahun ini bersama keluarga secara sederhana.

Daripada borak mengenai kisah teman-teman, keluarga dan industri lakonan, cerita sambutan lebaran sudah pasti antara fokus utama.

“Sambutan Aidilfitri saya sekeluarga selalunya memang hanya secara ala kadar sahaja. Bersederhana cukuplah. Ini kerana, pengertian sebenar Aidilfitri itu hanyalah untuk kita meraikan kemenangan selepas 30 hari berpuasa. Jadi, tidak perlu secara berlebihan,” kongsi Sofia.

Sungguh pun begitu, katanya raya pertama dan kedua merupakan antara momen penting buat dia sekeluarga.

“Inilah waktunya untuk kita berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga lain. Jadi, raya pertama dan kedua itu yang penting untuk ziarah sanak saudara dan keluarga mertua,” kongsi bintang berusia 44 tahun itu.

Aktres yang pernah merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2007 itu memberitahu, selebihnya cuti hari raya akan dipenuhi dengan rencana tersendiri.

“Anak-anak sudah besar. Mereka juga ada perancangan masing-masing sewaktu raya. Jadi selepas raya kedua kebiasaannya mereka akan bersama dengan kawan-kawan pula,” katanya yang turut menyediakan sendiri juadah raya seperti rendang.

Melissa terkenang ibu


Bagi Melissa, raya tahun ini kurang bermakna kerana pertama kali menyambut Aidilfitri tanpa ibu tercinta.

Lain pula kisahnya dengan Melissa yang pertama kali menyambut lebaran tanpa ibu tercinta, Allahyarham Seniwati Mariani kembali menemui pencipta-Nya pada Disember tahun lalu.

“Tahun ini memang rasa lain mood raya itu memandangkan ini pertama kali saya beraya tanpa ibu. Kalau teringat arwah itu memang sedih. Semangat nak berhari raya ini pun macam sudah tiada,” luah aktres dan pengarah terkenal berusia 44 tahun itu.

Sungguhpun begitu, menurut Melissa, sambutan raya pada tahun ini lebih ditumpukan buat anak-anaknya.

“Saya memang beraya di Kuala Lumpur sahaja. Seronok kalau orang ada kampung. Boleh balik kampung.

“Kalau arwah ibu ada dahulu, dia memang rajin balik Singapura jumpa keluarga di sebelah sana kalau hari raya. Saya pernah juga balik ikut ke sana tetapi dahulu sewaktu saya kecil sahajalah,” kata pemegang gelaran Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia 1994 menerusi filem Penghujung Malam itu.

Vanidah elak membazir


vanidah tidak suka membazir setiap kali menyambut kedatangan lebaran.

Bagi Vanidah pula, dia merasakan Aidilfitri itu paling pentingnya adalah untuk diraikan, namun pada masa sama bukanlah lesen untuk kita berlebih-lebihan.

“Setiap kali beraya, tidak ada istilah untuk buat persiapan beriya sangat. Apa yang ada sahaja.

“Tahun ini pun saya cakap dengan anak, pakai sahaja baju ayah dia. Saiz dia lebih kurang ayah dia dah.

“Bayangkanlah, anak sulung yang nak ambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 tahun ini lebih tinggi daripada saya. Baju Melayu kalau tiap-tiap tahun nak buat atau beli pun dia pakai sekejap waktu raya sahaja. Jadi saya beritahunya, tak perlu membazir,” cerita isteri kepada pelakon Rashidi Ishak itu.

Aktres berusia 43 tahun itu memberitahu, mereka bertiga jarang dapat berjumpa sama di Aidilfitri. Sementelah masing-masing sudah ada perancangan bersama keluarga sendiri di pagi lebaran.

Justeru pada kesempatan Ramadan lalu, mereka juga sempat memanfaatkan peluang yang ada untuk berkumpul bersama seketika.

“Kami kalau berjumpa, kita tak bercakap pasal baju, fesyen dan kasut. Kami bukan jenis yang begitu apabila berborak.

“Topik kami kalau berborak lebih kepada bercakap mengenai industri. Bahkan, kalau cakap pasal perjuangan dan apa yang perlu dibuat untuk industri, itulah Sofia,” kongsi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post