Nostalgia Kaka Azraff di pagi raya


SINGLE terbaharu berjudul Terima Kasih kini menjadi taruhan Kaka menggamit perhatian peminat.

MASING-MASING punya kisah tersendiri setiap kali menjelang Aidilfitri dan penyanyi popular, Kaka juga tidak terkecuali.

Tatkala mengimbau semula nostalgia menarik semasa ketibaan Syawal, pelantun lagu Bukan Hal Aku itu mengakui pernah enggan mengambil gambar kenangan bersama keluarganya di pagi raya.

Ini kerana, menurut pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 27, itu, segala-galanya berpunca apabila dagunya berbalut akibat tercedera.

“Seingat saya, waktu itu baru berusia lima tahun. Gara-gara terlalu takutkan bunyi mercun yang kuat, saya kemudiannya tergesa-gesa melarikan diri lalu jatuh tersungkur sehingga menyebabkan dagu terpaksa berbalut ekoran luka teruk.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu bergambar bersama keluarga di pagi raya,” getusnya tertawa kepada Sensasi Bintang.

Selain itu, Kaka juga pernah meraikan Aidilfitri dalam keadaan serba-serbi kekurangan apabila kampung ibunya di Alor Setar, Kedah dilanda banjir beberapa tahun lepas.

“Apabila dikenang semula, ia sememangnya memori yang sukar dilupakan apabila kami sekeluarga tidak dapat bergaya sakan dengan baju raya gara-gara banjir,” ujarnya menguntum senyum.

Ungkap Kaka, dia sekadar membuat persiapan secara sederhana setiap kali menyambut Aidilfitri terutamanya selepas pemergian arwah bapa tercinta beberapa tahun lepas.

“Ketika arwah ayah masih hidup, ada saja jenakanya di pagi raya. Sudah tentu sedikit sebanyak ketiadaannya dirasai setiap kali menjelang Aidilfitri,” ujarnya.

Sementara itu, tatkala diajak berbicara mengenai juadah kegemarannya setiap kali Aidilfitri menjelma, ini jawapan Kaka.

“Saya sukakan kuah kacang ayam dan rendang ayam masakan ibu. Ia memang juadah pilihan saya setiap kali Aidilfitri,” ceritanya lagi.

Menurut Kaka, dia juga sering membantu ibunya di dapur sejak dahulu dan bukannya semata-mata ketika menjelang ketibaan Syawal.

“Saya tetap ke dapur, cuma hanya menolong apa yang patut seperti mengisar, memotong dan sebagainya. Sejujurnya, saya tidak begitu pandai memasak,” ujarnya melentur tawa di bibir.

Tatkala diajak berbicara mengenai duit raya, ia memang sesuatu yang dinanti-nantikan Kaka terutamanya ketika masih di zaman kanak-kanak.

“Ibu saudara, Ella sering memberikan anak-anak buahnya seramai 12 orang sejumlah duit raya. Saya masih ingat pernah mendapat RM500 seorang ketika berusia 10 tahun daripada Ella,” jelasnya.

Menyentuh mengenai perkembangan terbaharu kariernya, Kaka menjelaskan dia bakal mempromosikan single terbaharunya berjudul Terima Kasih selepas ini.

“Terdapat beberapa projek lain, cuma masih belum dapat didedahkan selagi tiada sebarang hitam-putih,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post