Artis jelita ini tidak sabar untuk masuk ke rumah baharu selepas raya nanti.
LEBARAN kali ini menciptakan satu kelainan buat pelakon jelita, Neelofa.
Bukan kerana ada fasa baharu yang bakal ditempuhi, sebaliknya Neelofa bersama adik-beradik dan saudara seangkatan dirinya berazam untuk menukar tradisi setiap kali tibanya lebaran.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, dia dan saudaranya tidak ringan tulang ke dapur menyediakan juadah raya.
Sebaliknya untuk tahun ini, mereka mengubah tradisi turun-temurun itu demi membalas budi golongan berusia yang selama ini bersusah payah menyediakan juadah tatkala lebaran menjelma.
“Peranan saya masih lagi dalam golongan makan sahaja. Memang golongan umur macam saya adalah yang paling tidak ringan tulang. Harapkan pada mak dan mak cik serta pak cik untuk memasak,” ujarnya sambil tertawa besar.
Namun, pada tahun ini Neelofa sekeluarga kehilangan seorang bapa saudara iaitu adik kepada ibunya. Ia menjadi satu titik perubahan pada keluarga mereka. Arwah yang merupakan seorang cef membawa keluarga Neelofa lagi rapat dan bersatu.
“Kenangan manis dengan arwah masa hari raya adalah masakannya. Bila dia meninggal, kami yang muda-muda ini mula berfikir untuk berubah. Kena mula menolong di dapur dan memasak. Inilah masanya membalas balik jasa-jasa orang tua,” jelas Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan tayangan Aidilfitri Astro baru-baru ini.
Pertemuan seluruh anggota keluarga dan sanak-saudara setiap kali Aidilfitri menjelma, sememangnya ditunggu-tunggu pelakon dan pengacara berusia 27 tahun itu.
Dirisik-risik, dia yang akan balik ke Kelantan pada hari esok akan bercuti selama 14 hari.
“Butik Naelofar akan tutup dari 4 hingga 13 Julai, tetapi saya akan bercuti sehingga 18 Julai.
“Bukan apa, raya dekat Kelantan memang akan saya peruntukkan sepenuhnya. Keluarga sangat besar dan bila semua berkumpul ia jadi sangat meriah. Paling saya suka adalah sehari sebelum raya yang mana semua orang sibuk memasak dan mengemas rumah. Hari itu yang paling menyeronokkan berbanding hari raya,” ulasnya yang turut mengambil peluang untuk bercuti bersama kawan-kawan ke Koh Samui, Thailand.
Pemilik nama Noor Neelofa Mohd. Noor itu memberikan penjelasan penuh hemah mengapa Koh Samui sering menjadi destinasi percutiannya.
“Pada raya keenam saya akan berangkat ke Koh Samui bersama kawan-kawan. Pada mulanya saya bercadang ke sana bersama keluarga, namun disebabkan ada sebilangannya tidak dapat bercuti lama, maka saya ambil kesempatan untuk berehat bersama kawan-kawan.
“Koh Samui memang menjadi tempat wajib saya bercuti setiap tahun. Kadang-kadang saya pergi dua atau tiga kali setahun. Saya suka keadaan di sana daripada makanan hinggalah tempat tinggalnya. Orang di sana juga sebilangannya sudah kenal,” ujarnya yang akan bercuti selama sembilan hari di sana.
Selain itu, raya tahun ini juga menyaksikan Neelofa menjejakkan kaki ke rumah baharu bersama kakaknya, Noor Nabila.
“Harapnya selepas raya saya dapat kunci dan boleh pindah ke rumah tersebut.
“Ia merupakan rumah baharu saya bersama Nabila tetapi kalau siapa kahwin dulu kena keluarlah,” kongsinya sambil tertawa kecil mengenai rumah baharunya di Bukit Kiara bersama kakaknya yang kini sedang hangat bercinta bersama pelakon Sharnaaz Ahmad.
Selepas raya, kata Neelofa dia akan kembali berlakon, namun perkara itu akan dikongsikannya nanti.