UNGKAP Alif, raya adalah detik bersama keluarga.
KEMERIAHAN Hari Raya Aidilfitri pastinya lebih bermakna sekiranya ia diraikan bersama keluarga. Cuma apabila terpaksa bekerja dan berjauhan daripada keluarga di pagi raya, itu antara pengorbanan yang terpaksa dihadapi sesiapa juga.
Pernah berdepan dengan situasi sedemikian terutamanya ketika belum mencipta nama sebelum ini, segala-galanya kini dilihat berbeza buat dua figura popular iaitu Alif Satar dan Siti Nordiana.
Kini, pasangan yang semakin disayangi peminat menerusi drama Dia Semanis Honey itu memanjat rasa syukur apabila diberi peluang untuk meraikan lebaran bersama keluarga tercinta berbanding memikirkan soal kerjaya semata-mata tatkala menguak pintu seni seawal usia remaja.
Bersama Sensasi Bintang, Alif, 26, dan Siti Nordiana, 32, mengulas lanjut berhubung perkara itu, selain bercerita mengenai sambutan Aidilfitri kali ini.
SENSASI BINTANG: Sedar atau tidak, ramai yang masih belum dapat melupakan penangan watak kalian iaitu Ahnaf Wafiy dan Hani Safira dalam drama Dia Semanis Honey. Apa pandangan kalian seandainya ditawarkan untuk bergandingan semula dalam naskhah berbeza?
ALIF SATAR: Tiada masalah. Cuma jika boleh, biarlah peminat mengingati kami sebagai Afnaf Wafiy dan Hani Safira, itu yang lebih manis sebenarnya. Saya cukup terharu dengan sambutan menggalakkan peminat terhadap drama ini. Ini tahun ke-10 saya dalam industri, sudah tentu ia sesuatu yang istimewa apabila bakat lakonan dihargai peminat.
SITI NORDIANA: Insya-Allah, jika ada rezeki untuk digandingkan semula, cuma biarlah tawaran itu bukan dalam masa terdekat. Saya tidak berdepan masalah bergandingan bersama Alif, tambahan pula kami memang serasi berlakon bersama.
Berbalik kepada soalan tentang Aidilfitri. Pernahkah kalian terpaksa bekerja ketika hari raya?
ALIF SATAR: Siapa yang tidak bersedih terutamanya apabila mengenangkan betapa saya bergelut untuk dikenali sehingga terpaksa membuat persembahan di pagi raya sedangkan sepatutnya bersama keluarga. Cuma, pada masa itu, saya sedar apa yang perlu saya buat supaya orang menyedari kewujudan saya.
SITI NORDIANA: Masih segar di ingatan saya apabila terpaksa membuat persembahan di Sabah pada malam raya pada tahun 2009. Ketika itu, Allah saja yang tahu bagaimana perasaan saya apabila terpaksa beraya tanpa keluarga dan anak, namun saya perlu berbuat demikian terutamanya baru bercerai dengan arwah suami.
MENZIARAHI sanak-saudara merupakan rutin Nana pada hari raya pertama.
Apakah kenangan manis yang tidak boleh dilupakan ketika Aidilfitri?
ALIF SATAR: Seperti biasa, kami sekeluarga akan memasak pada malam raya, namun ibu akan berpesan kepada semua supaya menghalang saya daripada menjamah ketupat. Bukan apa, saya akan menjadi lesu dan tidur sepanjang hari selepas solat Aidilfitri sehingga tidak beraya dibuatnya (ketawa). Saya juga pernah mendapat duit raya sebanyak RM200 dan ia cukup untuk membandingkannya dengan sepupu lain.
SITI NORDIANA: Syukur alhamdulillah apabila segala-galanya kembali berpihak kepada saya pada tahun ini. Ia sesuatu yang mengujakan biarpun semakin sibuk. Peminat terutamanya kanak-kanak juga mengingati watak saya dalam Dia Semanis Honey. Apa yang saya perhatikan, peminat baharu lebih fanatik, jadi saya benar-benar menghargai sokongan mereka. Saya masih ingat seronoknya mendapat duit raya hingga RM1,000 ketika kanak-kanak.
Boleh ceritakan serba sedikit berhubung sambutan Aidilfitri pada tahun ini?
ALIF SATAR: Saya sekeluarga juga sekadar beraya di ibu negara terlebih dulu sebelum ke Balik Pulau, Pulau Pinang. Saya mementingkan persiapan anak, selain adik juga bakal berkahwin pada tahun ini. Senang cerita, raya sememangnya bersama keluarga.
SITI NORDIANA: Tahun ini agak berbeza berbanding tahun sebelumnya. Jika tahun lepas saya sibuk berniaga, tahun ini pula terikat dengan komitmen karier seperti berlakon dan menyanyi. Persiapan juga ala kadar kerana jadual kerja terlalu padat. Saya juga lebih mementingkan persiapan keluarga berbanding diri sendiri pada tahun ini.
Apakah perbezaan Aidilfitri kali ini?
ALIF SATAR: Ini tahun kedua saya menyambut Aidilfitri sebagai seorang bapa dan suami. Alhamdulillah, rezeki semakin berlipat ganda pada tahun ini, jadi saya akan berehat panjang selepas bekerja keras sejak awal Ramadan. Saya juga sentiasa percaya dengan konsep bersedekah iaitu akan memperoleh sesuatu yang lebih banyak daripada apa yang saya berikan.
SITI NORDIANA: Sudah tentu penerimaan peminat yang semakin positif. Ada yang ingin datang beraya, sekali gus mengimbau semula apa yang pernah alami ketika tahun 1990-an dahulu. Alhamdulillah, tawaran juga semakin mencurah-curah. Saya bercadang untuk mengadakan rumah terbuka di kediaman orang tua di Sendayan, Negeri Sembilan penghujung Syawal ini.
Boleh ceritakan serba sedikit berhubung juadah pilihan di pagi raya?
ALIF SATAR: Saya memang tidak boleh mengawal diri sendiri jika dapat pekena ketupat bersama kari kambing. Bukan apa, saya memang jarang untuk menjamah ketupat dalam setahun, jadi memang betul-betul ‘membalas dendam’ dibuatnya.
SITI NORDIANA: Saya sukakan kuah kacang yang dimakan bersama nasi impit yang dimasak ibu. Saya pernah cuba memasak rendang kicap, cuma ia tidak menjadi (ketawa).
Soalan untuk Alif. Umum semakin menerima kehadiran anda dalam industri berbanding sebelum ini. Komen?
ALIF SATAR: Saya sudah biasa dengan asam garam dunia hiburan. Mungkin saya pernah tertekan terutamanya apabila dikritik suatu ketika dahulu, namun tidak sekarang. Apa yang boleh saya katakan, kini saya sudah boleh memilih apa yang terbaik buat karier saya.
Soalan untuk Siti Nordiana pula. Adakah ini merupakan tahun terakhir beraya secara solo?
SITI NORDIANA: Saya sudah membiasakan diri apabila sudah tujuh tahun menyendiri. Jadi, belum pernah terfikir ke arah itu. Buat masa ini, fokus saya cumalah Rayyan yang semakin memahami kesibukan saya ketika ini.
Boleh ceritakan projek kalian selepas ini?
ALIF SATAR: Selain terlibat dengan telefilem Dia Semanis Honeymoon, saya memiliki single terbaharu berjudul Selamanya Cinta. Pada masa sama, saya juga sedang mencari material baharu dan bakal bekerjasama dengan komposer dari Indonesia sebelum September depan.
SITI NORDIANA: Saya akan berehat selama seminggu sepanjang Aidilfitri. Selain itu, saya juga sedang giat mempromosikan single terbaharu ciptaan oleh Audi Mok dan Omar K berjudul Pesanan Teragung yang berkonsepkan kerohanian.