Nadira Adnan mahu jadi doktor, penyanyi


Nadira ingin mencipta nama sebagai penyanyi dan juga doktor sekali gus.

SEMEMANGNYA wanita ini sudah lama menanam cita-cita untuk bergelar penyanyi. Sejak dari kecil lagi, dia sudah menunjukkan minatnya dalam bidang seni. Hari ini, apa yang diimpikan sewaktu kecil ternyata menjadi satu realiti.

Memperkenalkan diri sebagai Nadira Adnan, wanita berusia 19 tahun ini boleh dianggap cukup bernasib baik. Mana tidaknya, di awal pembabitan dirinya dalam dunia hiburan, dia sudah mencipta satu catatan yang cukup membanggakan sebagai pendatang baharu.

Buktinya, dia sudah bergandingan dengan nama-nama yang boleh dikatakan cukup besar dalam industri hiburan di Indonesia. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan apabila Nadira sudah tampil berduet dengan Al-Ghazali yang juga merupakan anak kepada penyanyi dan komposer Ahmad Dhani menerusi lagu Cinta Datang dan Pergi. Bahkan, dia juga pernah bergandingan dengan penyanyi Glenn Fredly menerusi lagu Love Will Find A Way.

Cumanya, Nadira kini terikat dengan komitmen sebagai pelajar perubatan di salah sebuah universiti di Indonesia. Sudah pasti, ia bukan satu tanggungjawab yang mudah buatnya untuk fokus antara nyanyian dan pelajaran. Apatah lagi, bidang pengajian yang diambil juga cukup terkenal sebagai salah satu bidang yang mencabar.

“Kalau ikutkan memang agak sukar untuk melakukan dua kerja sekali gus. Apa pun terjadi, pelajaran adalah nombor satu dan menjadi keutamaan. Perkara itu yang sudah ditekankan oleh ibu bapa saya. Bahkan, mereka juga sudah meletakkan syarat bahawa saya perlu menghabiskan pengajian jika mahu jadi penyanyi.

“Jadi, ini juga saya anggap sebagai satu cabaran untuk capai kedua-duanya. Insya-Allah, saya juga mahu menjadi seorang penyanyi yang juga merupakan seorang doktor,” katanya yang kini tinggal di Jakarta, Indonesia.

Tampil dengan album solo berjudul Isi Hati, Nadira akui bukan mudah untuk dirinya terus diterima ramai. Bahkan, dia juga memberitahu pernah melalui episod yang kurang menyenangkan ketika cuba membina nama.

“Tidak semua orang suka dan senang dengan kita. Ada juga komen-komen di laman sosial yang tak berapa sedap untuk dibaca. Antaranya orang mempersoalkan kesesuaian saya berduet dengan Al-Ghazali. Ada yang kata kami tidak sepadan. Tapi saya terima itu dengan positif. Ada yang menasihati saya agar tidak membaca komen-komen negatif,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam kunjungan ke rumah agamnya di Kemang Raya, Jakarta Selatan, Indonesia baru-baru ini.

Selain berada di negara jiran atas sebab menyambung pengajian, kata Nadira, dia juga memilih Indonesia untuk membina namanya dalam industri muzik kerana mahu keluar daripada bayangan status anak menteri yang sering diberikan kepadanya.

Nadira atau nama sebenarnya Tengku Nadira Munawarah merupakan anak pasangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

“Saya tahu ada orang kata, saya menggunakan nama orang tua untuk membina nama. Itulah antara sebab saya memilih untuk bertapak di sini. Tapi, saya sedar dalam hal ini jika saya mahu sembunyikan pun, lambat laun akan diketahui juga.

“Cuma mereka pernah kata, bahawa menjadi penyanyi atau ahli politik ini lebih kurang sama sahaja. Secara asasnya kami adalah figura awam yang sentiasa diperhatikan, jadi perlu berhati-hati dan pandai menjaga nama,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post