Wanita tinggi lampai dengan rambut potongan paras bahu bernama Anna Jobling boleh dianggap bertuah. Biarpun baru tamat saingan dalam pertandingan Dewi Remaja 2018/2019 (Dewi Remaja), Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program karpet merah, E! Show sempena Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) beberapa minggu lalu.
Sungguhpun perasaannya bercampur baur, namun gadis berusia 19 tahun itu berasa sangat bersyukur kerana dapat mengetengahkan bakatnya, terutama dalam bidang pengacaraan.
“Saya berasa sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjayakan program E! Show. Pada malam tersebut, saya berpeluang untuk menemuramah beberapa nama besar seperti Dayang Nurfaizah dan Sufian Suhaimi.
“Sejujurnya, bergelar pengacara merupakan impian saya sejak dahulu. Jadi, apabila diberi peluang seperti ini, saya berasa sungguh bersyukur,” katanya memulakan bicara.
Biarpun menunjukkan minat mendalam menerusi bidang pengacaraan, Anna mengakui penguasaan bahasa Melayunya agak kurang.
Demi merealisasikan impian menjadi pengemudi acara, Anna berhasrat untuk terus memperbaiki diri dan mempertingkatkan penguasaan bahasa rasmi negara tercinta tersebut.
“Saya sedar, penguasaan bahasa Melayu saya agak kurang berbanding Inggeris. Nasib saya sangat baik kerana sewaktu menyertai Dewi Remaja, ramai antara peserta yang sudi untuk memberikan tunjuk ajar.
“Buat masa ini, penguasaan bahasa Melayu saya masih di tahap sederhana. Insya-Allah, pada masa akan datang, saya akan cuba pastikan saya mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih,” katanya lagi.
Terlanjur berbicara mengenai Dewi Remaja, gadis yang memiliki darah campuran Inggeris pada sebelah bapa dan Portugis Melaka (ibu) itu menyifatkan pertandingan tersebut sebagai platform terbaik untuk memulakan karier dalam bidang hiburan.
Kontroversi
“Ketika usia remaja iaitu sekitar 16 tahun, saya sedar tentang jenama Dewi Remaja. Tetapi, saya tidak anggap pertandingan ini sebagai sesuatu yang besar.
“Sehinggalah saya sendiri menyertai Dewi Remaja dan bertanding dengan semua peserta lain, baru saya sedar impak program berkenaan,” tuturnya.
Menurut Anna, selain memperkukuhkan pemahamannya dalam bidang seni, banyak perkara yang dipelajari sepanjang menyertai Dewi Remaja.
“Antaranya, perlu bersusah-susah dahulu sebelum mengecapi kesenangan.
“Dalam pada itu, jika gagal dalam percubaan pertama, tidak bermakna akan gagal untuk percubaan seterusnya,” ujar Anna positif.
Bagaimanapun, sikap positif yang ada pada Anna teruji apabila namanya dikaitkan dengan isu penularan video tiga peserta Dewi Remaja yang berparti arak baru-baru ini.
Menurut beberapa ruangan gosip, Anna dikatakan dalang penyebaran video berkenaan sehingga bekas juaranya, Haneesya Hanee dilucutkan kemenangan dan dua peserta lain Fazreen Fazera serta Erni Shahira dilarang menggunakan finalis Dewi Remaja 2018/2019 untuk kerjaya seni mereka.
Enggan memanjangkan isu berkenaan, Anna sebaliknya mahu fokus terhadap kariernya tanpa menghiraukan perkara lalu.
“Pada awalnya, saya agak tertekan dengan kontroversi ini. Namun, memandang dari sudut yang positif, perkara sebegini mampu mematangkan saya.
“Saya sudah tidak lagi membaca komen-komen negatif yang ditinggalkan di laman sosial. Apabila tidak membaca komen berbaur kecaman, saya tidak akan sakit hati,” ujar Anna dalam nada tegas.
Menurut Anna, kontroversi awal yang dilaluinya sedikit sebanyak memberi persiapan kepadanya untuk terus menghayun langkah dalam industri hiburan.
“Saya menjadi lebih berhati-hati dalam mempercayai orang di sekeliling,” katanya.
Lakonan
Bercakap pula mengenai perancangan masa depan, kerjaya seni Anna kini diuruskan oleh Mask Team, iaitu syarikat pengurusan yang turut menguruskan kerjaya pengacara Neelofa dan pelakon Syafiq Kyle.
Menurut Anna, dia telah menjalani beberapa sesi uji bakat untuk drama dan berharap dapat mencuba nasib beraksi sebagai pelakon.
“Benar, saya memang bercita-cita mahu menjadi pengacara. Namun, pada masa sama, saya juga mahu mengintai peluang dalam bidang lakonan.
“Saya percaya syarikat pengurusan Mask Team mempunyai perancangan terbaik untuk saya,” katanya yang turut mengagumi bakat pelakon senior, Sofea Jane dan Fasha Sandha.
Melihat pada kecantikan rupa paras miliknya, mungkin ada yang berpendapat bahawa Anna mempunyai kelebihan berbanding finalis Dewi Remaja lain.
Namun, Anna lebih selesa jika orang ramai mengenalinya disebabkan bakat, bukan paras rupa.
“Apa yang penting adalah bakat yang ingin diketengahkan, bukan rupa paras. Bagi menyokong kenyataan tersebut, saya perlu mahir dalam bidang lakonan. Jadi, saya merancang untuk belajar dan memasuki kelas lakonan,” tutupnya.