Bakat Pak Nil masih milik eksklusif Astro




Biarpun tidak lagi memegang jawatan Naib Pengerusi Pengurusan Bakat On Air Astro, namun kontrak Pak Nil sebagai wajah eksklusif Astro masih berbaki dua tahun dalam skop pengacaraan dan tenaga pengajar.

Pengacara tersohor negara Datuk Aznil Nawawi mengesahkan sudah melepaskan jawatannya selaku Naib Pengerusi Pengurusan Bakat On Air Astro berkuat kuasa pada 31 Disember tahun lalu.

Ujar pengacara berusia 56 tahun itu, keputusan menamatkan perkhidmatan di stesen berbayar berkenaan selepas enam tahun berkhidmat diambil bersandarkan alasan tersendiri.

Katanya, keputusan itu dibuat demi meneruskan impian meneroka cabang baharu dalam kariernya untuk membangunkan perniagaan kelas pengacaraan dan pengucapan awam ke seluruh negara.

Pengesahan tersebut sekali gus menafikan desas-desus yang sebelum ini mengatakan pengacara program GO Pak Nil itu mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan Astro kepada kakitangannya pada hujung tahun lalu.

Ikuti penjelasan daripada figura yang lebih dikenali sebagai Pak Nil itu ketika ditemui pada sesi temu ramah bersama media untuk program terbaharu Mikrofon Impian terbitan Astro Ria baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tanggungjawab anda selaku pengacara untuk program Mikrofon Impian?

AZNIL NAWAWI: Dalam program ini saya bergelar pengacara tetapi menariknya, saya gabungkan kesemua pengalaman selama mengendalikan pelbagai jenis program ke dalamnya. Sebab konsep program ini adalah realiti nyanyian yang mengandungi elemen kebajikan dan pertandingan. Jadi, pengalaman selama mengendalikan pelbagai jenis program selama ini digunakan sepenuhnya untuk Mikrofon Impian.

Apakah alasan utama anda menerima tawaran mengendalikan program tersebut?

Sebenarnya ada juga ditawarkan mengacara program lain tetapi saya tolak sebab saya mahukan kelainan. Saya mahu dilihat sebagai seorang figura yang sukar diganti. Sebab itu saya sanggup buat program Go Shop kerana di situ sudah mencetuskan perbezaan untuk jenama diri saya. Sama seperti program ini, saya mahu tinggalkan satu legasi dan impak supaya diingati masyarakat.

Difahamkan anda ada menghulurkan sumbangan peribadi kepada salah seorang peserta yang gagal mara ke pusingan akhir. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut?

Peserta itu memasuki program ini kerana mahukan wang sebanyak RM5,000 sahaja. Bagi sesetengah orang, jumlah itu sangat kecil tetapi tidak bagi golongan yang sangat memerlukan seperti dirinya. Sedangkan kasut yang saya pakai pun ada yang berharga lebih daripada itu. Situasi itu menyedarkan saya untuk melihat sekeliling dengan lebih teliti. Ia sangat menginsafkan. Peserta ini masih bersekolah di tingkatan enam dan menghadapi masalah kewangan untuk membeli buku sekolah. Datuknya pula sakit dan menggunakan beg pundi kencing setiap hari. Malah, dia juga mempunyai adik-beradik lain untuk dijaga. Meskipun dia tersingkir tetapi kisah hidupnya sangat memilukan dan membuatkan saya berasa terpanggil untuk membantunya secara peribadi. Tidak akan miskin seseorang itu kalau menderma.

Beralih kepada soal kerjaya. Difahamkan baru-baru ini ada desas-desus mengatakan anda mengambil VSS yang ditawarkan Astro kepada kakitangannya. Boleh jelaskan situasi sebenar?

Sebenarnya dalam tempoh setahun lalu saya sudah ada perancangan untuk memulakan perniagaan dalam bidang pengacaraan dan pengucapan awam ke seluruh negara. Dengan kepakaran dan pengalaman yang saya ada, saya lihat bidang ini boleh menjana pendapatan. Tambahan pula, zaman sekarang sudah tersedia pelbagai platform digital untuk orang melakukan pelbagai jenis kerja berkaitan bidang saya.

Jadi penamatan perkhidmatan tersebut tiada kaitan dengan tawaran VSS Astro tempoh hari?

Segalanya berlaku secara kebetulan. Ketika saya beritahu Astro tentang hasrat berhenti, mereka menawarkan VSS kepada staf. Bagaimanapun perancangan saya untuk melepaskan jawatan itu sudah difikirkan sejak setahun lalu. Sebenarnya VSS tidak ditawarkan untuk jawatan saya, jadi tidak benar apa yang diperkatakan itu. Saya tidak dapat apa-apa imbuhan pun daripada skim tersebut.

Jadi adakah anda sekarang bukan lagi hak eksklusif Astro?

Saya masih hak eksklusif mereka tetapi dari segi bakat. Saya masih ada kontrak selama dua tahun dengan Astro sehingga 2020 kelak. Ketika perbincangan dengan pihak pengurusan, mereka menerima keputusan saya tetapi dengan syarat, saya mestilah terus berkhidmat dengan Astro. Maksudnya, kepakaran yang saya ada boleh diambil tetapi dalam bentuk perniagaan. Sekarang pun saya masih menjadi pengacara dan tenaga pengajar untuk program On Air musim kelapan.

Post a Comment

Previous Post Next Post