Setahun selepas kematian isteri, Jalaluddin kini kembali hidup berumahtangga dengan pasangannya, Rapidah.
Rezeki, jodoh dan ajal adalah rahsia Ilahi. Atas ketentuan tersebut, jodoh buat anak seni berpengaruh, Datuk Jalaluddin Hassan ternyata dipertemukan sekali lagi pada usia 63 tahun dengan isteri, Rapidah Abd. Ghani, 44. Dengan sekali lafaz, mereka menyatu kasih pada Ahad di Masjid Bandar Tun Hussien Onn sekitar pukul 10.55 pagi.
Pada majlis yang dihadiri lebih 100 tetamu tersebut, pelakon filem Jimi Asmara itu dan Rapidah dinikahkan oleh abang kepada pengantin perempuan iaitu Lokman Ghani yang juga penggiat teater dan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussien Onn, Mohd. Faisal Mohd. Noor.
Ditemui media usai diijabkabulkan dengan wanita berasal dari Melaka itu, tiada lain yang diharapkan Jalaluddin selain rumah tangga kedua yang dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat dan sentiasa dilimpahi kebahagiaan.
“Alhamdulillah, apa yang berlaku hari ini, semuanya atas izin Allah. Saya diberi peluang dan dipertemukan jodoh dengan Rapidah.
“Saya berharap kami sama-sama dapat menceriakan kehidupan berumahtangga bersama anak-anak, cucu-cucu serta keluarga. Semoga rumah tangga kami sentiasa aman dan bahagia,” ujar Jalaluddin yang segak mengenakan persalinan berona putih.
Ditanya apa yang membuatkan hatinya tertarik untuk memperisterikan Rapidah sebagai peneman hidup, beliau tersimpul malu namun meluahkan kenyataan bahawa wanita itu mengingatkan dirinya kepada bekas isteri, Allahyarhamah Datin Hashimah Mad Ehsan yang mengadap Ilahi setahun lalu.
“Selepas arwah meninggal, saya menghadiri sebuah majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumah kawan, Lokman Ghani yang juga merupakan abang kepada Rapidah. Dia mengingatkan saya kepada arwah isteri.
“Saya beri nombor telefon kepadanya dan dari situ kami mula berkenalan lebih rapat,” terang Jalaluddin.
Sementara itu, Rapidah ketika diusik pertanyaan sama, mengakui tidak menyangka perkenalan singkat membawa dirinya dan suami ke gerbang perkahwinan.
“Mula-mula memang tidak sangka hubungan kami akan sampai ke detik diijabkabulkan, memang tiada niat ke tahap ini. Alhamdulillah, selepas berkenalan saya yakin kuasa jodoh.
“Saya yakin beliau akan menjadi seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab. Makan masa juga untuk menerima lamaran beliau namun saya percayakan pertolongan daripada Allah,” jelas Rapidah.
Mengulas lanjut tentang penerimaan keluarga terutama anak-anak apabila ingin berkahwin, pasangan tersebut mendapat sokongan dan galakan yang penuh daripada pihak masing-masing.
“Anak-anak tiada masalah. Berdosa andai biarkan saya bersendirian. Pada mulanya, ingin beritahu anak-anak pun saya takut. Bagaimanapun selepas diutarakan hasrat, mereka sangat menyokong keputusan saya,” jelas pengacara program Who Wants To Be A Millionaire dalam nada bahagia.
Bulan madu
Buat Rapidah pula, keempat-empat anaknya sentiasa mendoakan yang terbaik agar si ibu mencapai kebahagiaan dengan mendirikan rumah tangga.
“Anak-anak selalu mengingatkan saya untuk berkahwin. Kata mereka, kalau solat seorang, pahala tidak banyak. Kalau solat berjemaah dengan suami, pahala akan berlipat ganda. Itu yang menguatkan hasrat saya,” katanya.
Adat mendirikan rumah tangga, tidak lengkap suasana andai tidak diajukan soalan tentang destinasi berbulan madu. Ujar Jalaluddin, perancangan asalnya ingin membawa Rapidah berbulan madu di Moscow, Rusia namun isterinya itu memberikan reaksi berlainan.
“Dia kata kepada saya, ingin terlebih dulu mengenali keluarga terutama anak-anak dan cucu-cucu secara lebih dekat selepas berkahwin. Saya ajak di ke Moscow pada hujung tahun ini, dia tidak mahu kerana alasan tersebut.
“Saya menghormati keputusan dia. Namun Insya-Allah, pada bulan Februari tahun depan saya bersamanya akan mengerjakan umrah bersama-sama,” terang Jalaluddin.