Lana Nodin rindu dunia lakonan


BAHAGIA - Lana kini bahagia bersama keluarga kecilnya, David dan anak mereka, Gia.

ADA dua rasa yang sedang mengalir deras dalam diri pelakon Lana Nodin ketika ini. Selain bahagia menggalas tanggungjawab sebagai isteri kepada pemain bola tampar David McKienzie dan ibu kepada puteri sulungnya, Gia Quinn McKienzie, jiwa Lana meronta-ronta mahu kembali aktif beraksi di hadapan kamera.

Biarpun sibuk menguruskan rumah tangga dan keperluan anaknya yang kini berusia setahun, hasrat hati wanita berusia 37 tahun itu untuk kembali berlakon tidak pernah padam.

“Biarpun kerap terbang ke luar negara bagi menemani David yang sering terlibat dengan kejohanan bola tampar, saya tidak pernah melupakan bidang lakonan. Bahkan, setiap kali pulang ke Malaysia dan menonton drama terbitan produksi tempatan, saya sering terbayangkan diri sendiri menjayakan karakter antagonis menerusi naskhah tersebut.

“David bersifat memahami dan tidak pernah menghalang saya untuk kembali aktif. Namun, saya terpaksa melupakan hasrat tersebut buat masa ini kerana Gia masih kecil dan memerlukan lebih perhatian,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Karnival Lefest di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut pelakon kelahiran Kuching, Sarawak itu, Gia tidak mudah serasi dengan orang yang kurang dikenali dan perkara tersebut menyebabkan Lana sukar untuk berenggang dengan anaknya.

“Sejak lahir, kami tidak pernah berenggang. Paling lama saya dan Gia berpisah hanya sekitar dua jam, sewaktu saya ke salun untuk mendandan rambut. Sungguhpun berpisah untuk jangka masa singkat, dia tetap menangis dan saya terpaksa membuat panggilan video untuk menenangkannya.

“Agak sukar untuk berjauhan dengan Gia. Justeru, saya perlu meneliti kembali perancangan untuk aktif berlakon,” katanya yang pernah menolak tawaran untuk membintangi drama bersiri 15 episod sekitar tahun lalu kerana kekangan masa.

Ditanya adakah Lana dan David mahu menggajikan seorang pembantu, Lana hanya menggelengkan kepala.

Pelakon bertubuh genit itu menjadi fobia sejak mendengar cerita seorang pembantu rumah di Los Angeles yang memberi sosej kepada seorang bayi sehingga menyebabkan kematian.

“Sejak mendengar cerita tersebut, saya tidak lagi percaya dengan khidmat pembantu rumah.

“Biarlah susah sedikit asalkan saya melihat apa yang berlaku pada Gia di depan mata,” katanya.

Antagonis

Sejak awal kemunculannya sebagai pelakon, Lana dilihat cukup sinonim dengan watak-watak antagonis.

Memiliki raut wajah yang tajam dengan sepasang mata bundar, setiap watak yang dibawa meninggalkan kesan dalam kalangan penonton.

Mengambil drama bersiri Gol & Gincu sebagai contoh, biarpun ia merupakan antara naskhah terawal lakonannya, namun karakter gadis kampung jahat bernama Ayu kelihatan cukup sebati dengan diri Lana.

Tidak menolak jika masih ditawarkan dengan watak-watak antagonis, Lana begitu optimis dengan bakat dan keupayaannya untuk menghidupkan sesebuah karakter.

“Jika saya kembali aktif dalam bidang lakonan dan diberi watak jahat, saya tidak akan menolak.

“Ia membuktikan bahawa khidmat saya untuk melengkapkan sesebuah drama atau telefilem itu masih diperlukan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai bidang lakonan, Lana pernah menyuarakan hasrat untuk mencuba nasib sebagai pelakon di Hollywood.

Ketika itu, Lana ingin mengembangkan kerjaya seni di sana, sementara suaminya sibuk dengan latihan sukan bola tampar.

Bagaimanapun, masalah bahasa dan slanga yang berbeza menyebabkan pelakon telefilem Lara Cinta Qaseh itu mematikan hasratnya ketika tiba di Los Angeles dua tahun lalu.

“Benar, mereka bertutur dengan menggunakan bahasa Inggeris. Namun, slanga yang digunakan jauh berbeza dengan slanga rakyat Malaysia.

“Kadangkala, saya sendiri tidak faham dengan gaya percakapan mereka dan perlu bertanya beberapa kali untuk meminta kepastian.

“Jika mahu berlakon sekalipun, saya perlu memasuki kelas dan belajar cara bertutur mengikut gaya percakapan harian mereka di sana,” katanya.

Rutin

Melihat gambar-gambar yang dikongsikan oleh Lana menerusi akaun Instagramnya, pelakon itu dilihat sering mengembara ke tempat-tempat menarik bersama suami dan anaknya.

Barangkali, pasti ada yang berpendapat bahawa Lana begitu gembira menikmati kehidupannya yang sering mengembara di bumi orang.

Namun, pemilik nama lengkap Mazlina Hasan Nodin itu mengakui lelah dengan rutin hariannya.

“Pada awalnya saya begitu teruja mengembara ke negara luar. Maklumlah, ketika itu kami baru sahaja mendirikan rumah tangga dan masih lagi tidak dikurniakan cahaya mata.

“Tetapi, selepas Gia dilahirkan, setiap perkara menjadi sedikit renyah dan memenatkan. Barang-barang keperluan kami bertambah dan urusan untuk terbang ke luar negara juga bertambah rumit,” katanya.

Pendidikan

Berbicara lanjut mengenai masa hadapan anaknya, Lana mengakui pendidikan merupakan aspek terpenting dalam proses tumbesaran anaknya. Merancang untuk menghantar anaknya ke sekolah antarabangsa kelak, Lana bagaimanapun masih belum memilih institusi yang sesuai memandangkan pekerjaan suaminya, memerlukan lelaki itu kerap terbang ke luar negara.

“Saya dan suami masih belum memutuskan di negara manakah Gia akan bersekolah atau mendapat pendidikan.

“Tetapi, Gia perlu bersekolah di sekolah antarabangsa kerana cuti panjang untuk pelajar biasanya jatuh sepanjang musim panas. Jadi, ia selari dengan cuti latihan ayahnya yang turut berlangsung pada musim panas,” katanya.

Biarpun dibesarkan di luar negara dan jarang berada di Malaysia, Lana berjanji akan tetap memberikan pendidikan agama kepada Gia.

“Bagi saya, pendidikan agama penting bagi setiap kanak-kanak.

“Disebabkan itu, saya tetap akan menghantarnya ke sekolah agama kerana pengetahuan tentang Islam begitu penting,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post