Kazar Saisi bermula sebagai artis rakaman


MUNGKIN ramai tidak tahu, pelakon Kazar Saisi atau nama penuhnya Kazarudin Saisi, 58, sebenarnya terlebih dahulu dikenali sebagai penyanyi dan cukup popular sekitar 80-an.

Kazar yang semenjak dari zaman persekolahannya memasang impian untuk bergelar artis rakaman, sanggup meninggalkan kampung halamannya di Ipoh, Perak untuk berhijrah ke Kuala Lumpur mencari peluang dalam bidang seni.

Mengimbas kembali cerita lalu, kata Kazar, perjalanan seninya bermula apabila terpilih dalam satu sesi uji bakat untuk album kompilasi kempen anti dadah sekitar tahun 1983.

“Pada masa itu, saya tak kenal sesiapa melainkan bergantung kepada bakat yang ada untuk sama-sama bersaing merebut peluang tersebut.

“Alhamdulillah, saya dipilih dalam sesi itu dan direkrut oleh Serina Hashim untuk mempersiapkan diri dan merakamkan lagu untuk album khas yang diterbitkan dalam bentuk kaset.

“Walaupun hanya untuk satu lagu, perasaan ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu bila diberikan peluang menyanyikan lagu sendiri,” luahnya.

Bertitik-tolak dari situ juga, Kazar kemudiannya dibantu seorang jurutera bunyi yang terlibat sewaktu rakaman album tersebut untuk membuat demo lagu ciptaannya sendiri, Ana Aku Merana.

“Demo pertama saya telah dihantar kepada Datuk Ahmad Nawab yang cukup dikenali sebagai seorang komposer yang hebat dan telah menaikkan nama ramai penyanyi popular tanah air.

“Sekali lagi nasib menyebelahi saya apabila apabila demo itu diterima dan Ahmad Nawab panggil saya untuk sain kontrak tanpa perlu melalui proses uji bakat lagi.

“Lagu Ana Aku Merana itu kemudiannya ditukar tajuk baru, Kali Pertama Kasihku Bersemi dan dimuatkan dalam album pertama saya, Ani, sekitar tahun 1984,” katanya mengakui terhutang budi dengan komposer tersohor itu.

Selepas namanya mula dikenali, Kazar mula menjalani kehidupan sebagai seorang artis dan mendapat jemputan membuat persembahan pentas dan terlibat dalam beberapa program TV.

“Sebenarnya saya tidaklah sehebat rakan-rakan artis yang seangkatan dengan saya ketika itu dari sudut populariti kerana saya tidak ramai kawan.

“Tawaran persembahan biasa-biasa sahaja tapi disebabkan suka dengan apa yang saya lakukan ketika itu saya OK dan tidak pernah merungut,” katanya yang turut terlibat dalam program hiburan TV popular, Mekar Sejambak.

Lagu Memburu Impian yang juga merupakan runut bunyi filem Gila Gila Remaja (1985), lakonan Faizal Hussien turut meninggalkan kenangan yang cukup manis buat Kazar apabila lagu nyanyiannya itu masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya ketika itu, lagu ini hanya biasa-biasa sahaja dan tidaklah menjadi kegilaan orang sangat, tetapi saya tidak tahu kenapa beberapa tahun kebelakangan ini ia kembali menjadi siulan ramai orang.

“Lagu itu cukup istimewa buat saya dan rasa cukup seronok bila ia menjadi kegemaran peminat pelbagai generasi dari era 80-an sehingga ke hari ini,” katanya.

Pelakon komedi

Menyentuh tentang dunia lakonan, Kazar mula berlakon sekitar tahun 1990an ketika stesen TV swasta mula diperkenalkan di mana ketika itu ramai penyanyi mencuba nasib dalam bidang lakonan.

“Pada mulanya saya memang tidak pernah terfikir pun nak jadi pelakon kerana saya rasa bakat saya hanya dalam bidang nyanyian sahaja, tapi apabila kawan-kawan saya di RTM beria suruh saya berlakon, saya cuba sajalah.

“Saya tidak ingat apa tajuk drama pertama lakonan saya ketika itu, tapi saya bergandingan dengan Rosnah Johari selain arwah Umi Kalthum dan S Roomainor dan ia menjadi permulaan yang baik buat saya dalam dunia lakonan,” katanya.

Sehingga kini Kazar telah membintangi puluhan drama TV termasuklah Sutun, Ceplos, Bedah VS Joyah, Abang Bomba I Love You, Alahai Abah, Bujang Terlajak Senang, Veteran Rock dan sebagainya.

Lebih menarik, pelakon yang cukup terkenal dengan sikap merendah diri ini juga pernah dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Lelaki di Anugerah Lawak Warna (2014) dan Pelakon Komedi TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (2016).

“Alhamdulillah walaupun bermula sebagai penyanyi, namun kerjaya saya dalam lakonan dilihat lebih menyerlah dan masih lagi diterima sehingga hari ini.

“Prinsip saya mudah saya, kita buat kerja kita dengan baik dan selebihnya terpulang kepada rezeki dan penerima orang ramai,” katanya yang bakal muncul dengan drama episod terbaru lakonannya, Din Sardin.

Bayaran rendah

Menyentuh tentang cabaran yang dilaluinya sepanjang tempoh 30 tahun bergelar anak seni, kata Kazar, cabaran utamanya adalah untuk meneruskan hidup dalam bidang seni, maksudnya dari segi ekonomi.

“Zaman dulu, saya dibayar dalam jumlah yang rendah kerana saya pelakon baru di mana pada waktu itu pelakon-pelakon yang lebih senior dan mempunyai pengalaman berlakon yang luas akan diberi keutamaan.

“Sementara pada zaman sekarang ini pula situasi jadi sebaliknya apabila pelakon baru diberi bayaran yang lebih tinggi, dan pelakon lama seperti saya pula diberikan bayaran yang lebih rendah.

“Jadi maksudnya di sini, dari dulu sehingga sekarang saya masih menerima bayaran yang lebih kurang sama kerana situasi berbeza dua zaman ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post