SELEPAS mengundurkan diri daripada kumpulan duo Azhael awal bulan Februari lalu, penyanyi dan komposer muda, Hael Husaini kini terus tampil dengan single solo pertamanya berjudul ‘Jampi’.
Istimewanya lagu anak muda ini terletak pada susunan muzik yang baik dan mempunyai mesej yang dekat dengan pendengar.
“Lagu ini mungkin berbeza dengan lagu-lagu lain kerana mesej yang ingin disampaikan seperti terpukau ataupun jadi angau. Sebab tu saya bagi tajuk ‘Jampi’.
“Saya terapkan nilai melodi kemelayuan dengan susunan muzik baru. Selain itu, saya banyak belajar dan rujuk cara kerja artis luar negara buat lagu.
Tambah Hael atau nama sebenarnya Hael Husaini Razmi, 29, proses pembikinan single solonya ini disiapkan dalam tempoh dua bulan sahaja.
“Saya boleh katakan lagu ini merupakan antara jiwa saya sendiri berbanding lagu sebelum ini. Jadi ini juga antara sisi lain saya.
“Kebiasaannya saya dapat ilham ketika main gitar bersama rakan saya iaitu Ezra Kong. Saya pentingkan kualiti, sebab tu ambil masa juga nak siapkan lagu ini.
“Insya-Allah saya akan sentiasa buat lagu selagi hidup, sebab saya memang minat menyanyi dan akan ada lagi lagu seterusnya,” ujar Hael.
Walaupun lagu tersebut baru saja dilancarkan, ternyata respons peminat sangat memberangsangkan. Buktinya video muzik di YouTube telah mencecah 400,000 dalam tempoh sebulan.
Azhael haluan masing-masing
Walaupun sudah tidak bersama sebagai kumpulan lelaki duo kerana mahu mengejar cita-cita masing-masing di dalam cabang seni hiburan, Hael dan Azhar tetap bersahabat baik.
“Masing-masing sudah ada komitmen lain. Azhar akan rasa serba salah bila dia bekerja. Begitu juga dengan saya. Oleh itu lebih baik kami ikut jalan sendiri dan pada masa sama kami tetap rakan baik. Lagipun kami memang sudah kenal dan rapat sejak sekolah lagi,” katanya.