Haiza makin lama, makin laris


PERMULAAN sisi kerjaya seni Rohaizah Nordin, atau nama komersialnya, Haiza bermula pada pertengahan 90-an menerusi album Dag Dig Dug...Mana Tahan.

Sejak itu, kerjayanya mula dilakar dengan jayanya. Tidak hanya tertumpu pada bidang seni suara semata, Haiza optimis menyahut cabaran dengan mencuba haluan seni lain juga seperti lakonan dan pengacaraan.

Terkini, Haiza sudah pun setahun bergelar penyampai radio di Kool FM.

Menyifatkan kerjaya seninya yang sudah memasuki usia dua dekad sebagai satu signal bahawa diri masih digilai peminat, Haiza ketika ditemui di majlis Lepak Santai bersama penyampai baru Hot FM dan Kool FM di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur Selasa lalu ternyata gembira dan berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong.

Katanya lagi, tanpa keluarga, peminat dan teman media yang selama ini tidak pernah putus memberikan sokongan, pasti langkahnya dalam seni tidak selama ini.

Bintang kelahiran Pontian, Johor ini juga sebolehnya tidak mahu mengalah, sebaliknya ingin kekal bersaing secara sihat dengan rakan seni seperjuangan lain.

Haiza menambah, selagi rezeki itu hadir, selagi itulah hatinya terbuka luas untuk menerimanya, lantas cuba memberikan yang terbaik.

Anggap tuah sekeluarga

Ternyata, tempoh 22 tahun dalam seni mematangkan insan seni ini. Dia pernah dipandang sepi, pernah dihargai tetapi akhirnya menjadi ‘cikgu’ kepada pendatang baru.

“Saya anggap cabaran itu suatu yang normal. Kalau perkara sedemikian tidak berlaku pada kita, macam mana kita mahu perbaiki diri? Jadi saya positif saja.

“Anggap saja perkara negatif yang pernah kita terima itu sebagai satu yang mengajar, agar tidak lagi melakukan perkara sama,” katanya jujur.

Berbicara mengenai perjalanan kerjayanya yang kian laris pada usia 37, Haiza mengakui selain sokongan peminat, dia juga tidak boleh menafikan semua itu rezeki anak dan suami.

“Alhamdulillah dengan apa yang dikurniakan-Nya pada kami sekeluarga. Saya tidak anggap ini rezeki saya seorang tetapi tuah kami sekeluarga.

“Syukur juga setelah setahun bersama rakan penyampai radio lain di Kool FM, kami makin serasi ibarat sebuah keluarga. Rasa seronok dan cinta pada kerjaya saya makin bercambah,” katanya lagi.

Pertaruh irama ‘Rockdut’

Kian rancak berkongsi soal kerjaya seninya, Media Hiburan turut bertanya perihal perkembangan lagu duetnya bersama Aepul Roza Jangan Pernah Berdusta yang dilancarkan usai program Duo Star dua bulan lalu.

“Lagu itu masih dalam fasa promosi. Setakat ini respons yang diterima begitu baik kerana ketika Duo Star lagi, ada peminat mahu kami rakam lagu baru bersama. Jadi lagu ini hadiah buat mereka,” terang Haiza.

Sementara untuk lagu solo pula, Haiza yang sebelum ini pernah muncul dengan lagu balada, Tentang Cinta memberitahu, dia teringin merakam lagu dangdut.

“Tentang Cinta, buah tangan khas untuk penyokong saya ketika bersaing dalam Gegar Vaganza lalu. Namun kecintaan saya masih lagi pada genre dangdut.

“Saya bermula dengan genre muzik itu. Jika punya ruang untuk merakam single baru, saya mahu kembali pada ‘akar’ saya,” tambah Haiza yang sudah menolak beberapa lagu kerana tidak menepati jiwa.

“Memang ada perancangan rakam lagu dangdut baru. Cuma saya kena cari yang benar-benar ‘masuk’ dengan jiwa. Kalau rakam, tapi tak sedap, tak guna juga sebab saya keluarkan modal sendiri.

“Namun untuk lagu duet bersama Aepul, irama yang diketengahkan ialah rockdut, iaitu jalinan di antara elemen muzik rock dan dangdut. Setidak-tidaknya ada elemen dangdut yang sinonim dengan saya.

“Meski ini merupakan single duet pertama saya dan Aepul, namun kami cepat serasi kerana ketika bersaing dalam Duo Star, kami banyak berbincang dan Aepul juga pakar dalam muzik, sekali gus menjadikan proses rakaman itu lebih mudah,” jelasnya jujur.

Bisnes makanan, rezeki anak

Jika selebriti lain selesa mempertaruhkan produk kecantikan dalam berbisnes, namun berbeza dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Dag Dig Dug ini.

Tambah Haiza, selain sibuk dengan kerjaya seni, dia kini menguruskan Kafe Larut Malam yang diusahakan bersama keluarga di Benut, Johor.

“Ibu saya memang berniaga kedai makan. Jadi selepas lebih tiga tahun tidak berniaga, akhirnya kami kembali tetapi dengan imej lebih segar.

“Konsepnya ialah classic hipster dan sudah dibuka sejak pertengahan Februari lalu. Meski jarang punyai masa panjang untuk jenguk tapi saya ambil tahu daripada adik-beradik yang lain.

"Alhamdulillah respons pelanggan setakat ini cukup baik," luah Haiza.

Ditanya soal anak pula, penyanyi ini tidak menolak jika dikurniakan cahayamata meskipun sudah mempunyai seorang anak lelaki, Nur Iman Shafi’e Norhanapfe, 5.

"Iman bijak berkata-kata. Pernah juga tiba-tiba Iman dekati saya dan berdoa selepas ini dia dapat adik.

"Sebagai ibu, saya tersentuh bila anak sendiri doakan kebaikan kita. Apa pun saya aminkan saja. Doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga," akhiri Haiza jujur.

Post a Comment

Previous Post Next Post