ELLY mengaku bahagia menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal kepada anaknya, Sefhia yang kini sudah berusia setahun.
APABILA bergelar selebriti, penjagaan bentuk badan merupakan perkara paling utama dalam memastikan penampilan sentiasa nampak elok di hadapan kamera.
Tidak mahu kelihatan berisi ketika muncul di kaca televisyen, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein nekad menurunkan berat badannya.
Usaha itu juga dilakukan demi memastikan dia sentiasa memiliki stamina yang baik setiap kali membuat persembahan nyanyian.
Ditemui semasa majlis ulang tahun kelahiran pertama puteri tunggalnya, Putri Sara Sefhia, pemilik nama asal Sharifah Aida Mazlina Syed Hanapi itu memberitahu dia kini sibuk mengamalkan rutin diet seimbang dan menjalankan aktiviti kecergasan.
“Ketika melahirkan Sefhia tahun lalu, berat badan saya pernah mencecah sehingga 73 kilogram (kg). Selepas melakukan senaman dan mengawal pemakanan, saya berjaya menurunkan berat sehingga 55kg. Buat masa ini, saya cuma mahu mengekalkan berat badan seperti sekarang,” katanya.
Tambah Elly, dia sedar bahawa industri hiburan memerlukan artis dengan penampilan yang baik.
“Memandangkan saya akan kembali berlakon dan menyanyi, jadi saya perlu menjaga penampilan diri kerana ia punca kepada periuk nasi saya dan keluarga,” ujar Elly.
Bercerita mengenai rutin kecergasan yang dilakukan setiap hari, pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu memberitahu dia akan ke gim pada setiap pagi.
Jika tidak sempat, dia akan menggantikan aktiviti kecergasan tersebut dengan berenang pada waktu malam. Selain itu, Elly turut mengamalkan pemakanan seimbang seperti mengambil nasi hanya sekali dalam seminggu.
“Walaupun kadangkala keinginan makan makanan yang manis dan dalam kuantiti banyak itu ada, tetapi saya harus mengawalnya,” terangnya.
Aktif
Perbualan semakin rancak saat ditanya soal perkembangan terkini karier seninya. Dengan penuh rasa syukur, wanita berusia 37 tahun itu memberitahu, jadualnya kini padat sehingga hujung tahun ini.
Menyifatkan semua tawaran yang datang sebagai rezeki anak, ibu tunggal itu bijak mengaturkan masa antara kerjaya, anak dan juga ruang santai bersama peminat.
“Saya akan merakamkan single baharu ciptaan Manusia Putih bersama syarikat rakaman KRU Records. Selepas itu, pada bulan April pula, saya akan memulakan penggambaran drama 40 episod untuk slot Samarinda di TV3.
“Jika diikutkan memang jadual saya begitu padat, namun saya tetap akan cuba membahagikan masa antara kerjaya dan anak. Saya beruntung kerana pasukan produksi memahami situasi saya yang tidak boleh terlibat dengan penggambaran sehingga larut malam,” katanya sambil tersenyum.
Ditanya perihal puterinya yang genap berusia setahun pada 9 Mac lalu, dengan teruja, ujar Elly, anaknya kini membesar dengan sihat dan semakin bijak.
“Sejak mengandung sehingga sekarang, Sefhia merupakan anak yang tidak banyak ragam. Senang untuk menjaganya. Pun begitu semakin bertambah usia, Sefhia menjadi sangat manja sehingga saya sendiri rasa berat untuk meninggalkannya apabila hendak bekerja.
“Alhamdulillah, saya sangat bahagia sekarang bersama keluarga, kerjaya dan urusan perniagaan. Paling saya tidak sangka adalah kehadiran peminat yang tidak henti-henti menyokong. Jadi disebabkan perkara itu, walaupun sibuk, saya tetap akan cuba meluangkan masa dengan peminat,” tutupnya.