Penantian Haqiem Rusli berbaloi


Setiap individu ada perjalanan hidup sendiri. Begitu juga dengan jejaka tampan bernama Haqiem Rusli. Hampir sedekad mencanai bakat dengan menyertai empat program realiti, tiada satu pun yang berjaya melonjakkan namanya.

Lebih menyedihkan, ketika bersaing sebagai protege Black menerusi program realiti Mentor Milenia tahun lalu, percubaan jejaka ini juga berakhir kekecewaan.

Namun Haqiem tidak pernah kesal dengan takdir yang tertulis sebaliknya melihat setiap kegagalan itu dari sudut positif.

Berkat kesabaran dan usaha yang tidak pernah kenal jemu, penyanyi berusia 19 tahun ini mampu menarik nafas lega apabila single dendangannya, Segalanya berjaya menarik perhatian ramai.

“Saya percaya, rezeki manusia berbeza-beza dan sudah ditetapkan Ilahi. Barangkali sedekad lalu belum masanya untuk saya menyerlah.

“Lagipun ketika itu saya belum cukup matang selain Tuhan sudah mengatur sesuatu yang lebih baik seperti saya nikmati hari ini.

“Setiap kali gagal, saya kuatkan semangat dan selalu ingatkan diri jangan mudah berputus asa. Jika terus berusaha lambat laun pasti kejayaan jadi milik kita,” katanya.

Populariti yang diraihnya kini menepis tanggapan negatif segelintir pihak terhadapnya sebelum ini.

Haqiem berkata dia sudah lali dengan cemuhan orang sekeliling dan ramai terkejut apabila dia dilamar menyetai FMC Music selepas gagal menyertai program Mentor Milenia.

“Bertitik tolak dari situ, terhasil lagu Segalanya. Ketika itu, saya diberi dua pilihan lagu dan memilih Segalanya ciptaan Gouffran, Ibnu dan Suffian Suhaimi. Saya tertarik dengan kekuatan melodi lagu ini malah ia kena dengan jiwa saya.

“Syukur, penantian panjang saya berbaloi apabila FMC melamar saya menjadi artis mereka,” katanya.

Haqiem berkata, penerimaan ramai terhadap lagu itu banyak mengubah hidupnya malah rakan yang dulunya hilang kini kembali merapat.

“Saya terkejut apabila Segalanya menjadi siulan, ramai kembali mendekat. Ia sekali gus buka mata saya bahawa mereka tidak ikhlas dalam persahabatan.

“Saya cuba mengelak daripada bertemu orang sebegini. Saya hanya berkawan dengan mereka yang setia bersama ketika susah,” katanya.

Menyentuh soal pendidikan, anak ketiga daripada lima beradik ini berkata menyanyi hanyalah untuk membahagiakan hidup orang tuanya.

“Insya-Allah saya akan menyambung pengajian selepas tampil dengan single baru ciptaan Gouffran dan Ibnu berjudul Tergantung Sepi.

“Saya sedar pelajaran penting. Menyanyi kerana minat selain mahu cari pendapatan bagi membantu kedua-dua orang tua. Seronok apabila dapat berkongsi rezeki ini dengan insan sangat saya sayangi,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post