Bunkface tidak kisah dengan gimik yang dilakukan oleh ramai penyanyi sejak kebelakangan ini. Namun, mereka tidak akan melakukannya demi melariskan lagu atau album.
Diberi peluang berkongsi pentas dengan band rock legenda tanah air, Wings, Bunkface melihat perkara tersebut sebagai satu penghormatan yang tidak seharusnya dilepaskan.
Band yang dianggotai oleh Sam selaku vokalis, Youk (bass) dan Paan (gitar), band mula dikenali sekitar 2005 bakal bergabung energi dengan Wings menerusi konsert yang diberi nama Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface.
Dua band berlainan generasi itu bakal menggegarkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 Mei depan.
Berbicara tentang muzik Bunkface yang seperti tidak lagi mendapat perhatian, band yang cukup dikenali menerusi lagu Situasi itu mengakui perkara tersebut. Akui Bunkface, zaman sudah berubah dan selera pendengar bertukar sementelah buat mereka, kepuasan dalam menghasilkan karya berbeza menjadi keutamaan.
Album terbaharu mereka berjudul Pop kurang mendapat sambutan. Baik daripada peminat dan juga dari segi putaran di corong radio.
Mengakui tersalah langkah, mereka mendedahkan lagu berjudul Apa Pun Tak Boleh yang menampilkan Datuk Jeffrydin dan Caprice itu dilancarkan pada waktu yang salah iaitu ketika Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (PRU-14) tahun lalu.
Dalam pada itu, Bunkface turut menjelaskan mereka tidak percaya gimik untuk melariskan karya muzik. Malah, mereka juga tidak pernah berasa kecewa apabila tidak memenangi sebarang trofi sepanjang penganjuran acara berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).
KOSMO!: Apakah perasaan Bunkface apabila dapat berkongsi pentas dengan Wings?
BUNKFACE: Wings merupakan band rock legenda. Mana-mana band yang diberi peluang seperti ini pasti tidak akan menolaknya. Sewaktu menerima tawaran, kami tidak berfikir panjang, sebaliknya terus memberikan persetujuan. Wings dan Bunkface mempunyai persamaan iaitu kami menerbitkan album sendiri. Kami juga melihat kerjasama dua generasi ini mampu memartabatkan muzik rock tempatan. Kedua-dua band akan memberi persembahan secara seimbang, jadi tidak akan timbul isu Wings atau Bunkface yang lebih menonjol ketika persembahan.
Bagaimana corak persembahan yang akan dipamerkan oleh Bunkface pada malam konsert nanti?
Paling maksimum kami akan mendendangkan 10 buah lagu. Jika boleh kami teringin menyanyikan lagu Wings juga, namun lagu yang dipilih harus sesuai dengan vokal Sam. Secara peribadi, kami gemarkan lagu Wings seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama. Dalam pada itu, kami ingin sangat melihat Wings menyanyikan lagu Bunkface iaitu Silly Lily atau Situasi.
Apakah langkah yang diambil kalian untuk memastikan persembahan berada pada tahap yang sama dengan Wings?
Tahap Wings dan Bunkface berbeza dan tidak boleh disamakan. Mereka sudah hampir 35 tahun dalam industri, sementelah Bunkface baru berusia 13 tahun. Oleh sebab itu, pasti akan ada jurang pada konsert nanti, tetapi kami sedaya upaya memberi persembahan terbaik. Seperti yang Awie katakan, konsert ini bukanlah konsert pertarungan. Mungkin kami boleh belajar daripada Wings dan mereka boleh belajar sesuatu daripada kami yang masih hijau ini.
Boleh kongsikan perkembangan muzik terbaharu kalian?
Kami baru melancarkan album berjudul Pop pada bulan lalu. Album tersebut memuatkan empat buah lagu Inggeris dan empat buah lagu berbahasa Melayu. Kami tidak nafikan, sambutannya agak perlahan kerana kesilapan sendiri yang melancarkan salah satu lagu iaitu Apa Pun Tak Boleh ketika PRU-14. Selain itu, kami masih bereksperimen dalam membikin muzik. Peminat mahukan lagu seperti zaman kemunculan Bunkface, sebaliknya kami mahu mencuba sesuatu yang baharu. Penyelesaiannya, kami masih mengekalkan identiti Bunkface dalam setiap lagu di samping menyelitkan elemen baharu.
Adakah album tersebut dilancarkan untuk kepuasan diri sendiri sahaja?
Semua album yang kami hasilkan adalah untuk kepuasan diri. Buat masa sekarang, kami buat apa yang disukai sahaja dan tidak kisah akan sambutannya. Malah, radio pada hari ini sudah menjadi platform yang berbeza kerana susah untuk memenuhi kehendak mereka. Bagaimanapun, jika Faizal Tahir yang berusia 40 tahun masih boleh diterima muziknya, kami percaya ada ruang juga buat Bunkface. Kami sedar, sebagai penyanyi bukan semua akan suka dengan apa yang kami lakukan.
Bagaimanakah kalian dapat kekal sebagai satu band dan meneruskan perjuangan muzik?
Sejujurnya, kami pun bergaduh juga, tetapi diselesaikan dengan cara yang baik. Sekarang semua ahli Bunkface sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen masing-masing. Pernah suatu ketika kami ingin bubar, namun kematangan telah mengajar kami untuk berfikir lebih bijak. Kami bertiga sama-sama mempunyai bertanggungjawab dalam Bunkface. Sam dengan urusan penciptaan lagu, Paan bertanggungjawab soal kewangan Bunkface dan Youk menguruskan promosi serta produksi. Jika terdapat perkara yang tidak memuaskan hati, kami luahkan sahaja. Tentang perkara yang masih ingin dicapai adalah terus buat muzik berkualiti. Soal AJL, kami telah mencuba banyak kali, namun mungkin belum rezeki untuk membawa pulang sebarang trofi.
Apa pendapat kalian tentang kuasa gimik untuk melariskan sesuatu produk seni?
Kami tiada masalah tentang gimik, namun jangan sampai menyentuh hal-hal yang mengganggu sensitiviti masyarakat. Jangan juga buat secara berlebihan seperti menipu orang ramai semata-mata inginkan perhatian. Gimik sebegitu boleh menjatuhkan imej artis seolah-olah tidak serius berkarya. Bagi Bunkface, kami hanya ingin berkarya dan tidak akan melakukan gimik semata-mata ingin melariskan lagu atau album.