Najuwa dan Zaid mahu melayari alam rumah tangga mereka sebaiknya selepas 10 tahun menjadi sahabat dan pasangan kekasih.
Sewaktu pelakon Putri Najuwa berjumpa suaminya, Muhammad Zaid Samsuri buat pertama kali sekitar 10 tahun lalu, dia tidak menyangkakan bahawa perkenalan tersebut akan membawa mereka ke jenjang pelamin.
Menurut Najuwa, dia dan Zaid hanya berkawan biasa dan tidak pernah terfikir untuk menjalinkan sebarang hubungan istimewa.
“Ketika mula mengenali antara satu sama lain, kami sekadar berkawan biasa. Sehingga sekitar lima tahun lepas, kami berjumpa semula di Singapura sempena acara sukan lumba kereta F1. Dari titik perjumpaan semula itu, kami mulai rapat,” ujar Najuwa selepas diijabkabulkan dengan Zaid pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Subang Jaya, Selangor pada 22 September lalu.
Menurut pelakon Sedingin Cinta Antasia itu, perkenalan selama 10 tahun tersebut telah membuka hatinya untuk memberi ruang kepada Zaid mengenali dirinya dengan lebih dekat.
“Sebelum ini, hubungan percintaan saya banyak yang gagal. Sejujurnya, saya agak berhati-hati untuk bercinta lagi.
“Namun, apabila bertemu dengan Zaid, saya mula sedar bahawa dia merupakan seorang lelaki yang terbaik untuk saya,” katanya yang menyifatkan Zaid sebagai seorang penyabar.
Ditanya apakah keistimewaan yang ada pada suaminya itu, Najuwa atau nama lengkapnya, Tengku Putri Najuwa Tengku Yusof, 32, berkata, Zaid merupakan seorang lelaki yang penuh dengan misteri.
“Dia merupakan seorang yang agak pendiam. Banyak perkara yang saya ingin tahu daripadanya.
“Disebabkan sifat misterinya itu, saya lagi tertarik untuk mengenali Zaid,” katanya yang terbabit dalam filam Dubai My Love sambil tertawa.
Persis ibu
Sementara itu, Zaid berkata, dia memilih Najuwa sebagai suri hidupnya kerana menganggap wanita tersebut sungguh istimewa.
“Banyak perkara tentang diri Najuwa yang buat saya tertawan. Dia seorang yang sangat baik dan memahami.
“Apa yang saya lihat, sifat kewanitaan yang ada pada Najuwa begitu mirip ibu saya,” ujar usahawan yang berusia 34 tahun itu.
Melanjutkan bicara, Zaid mengakui teruja untuk melalui fasa baharu dalam hidupnya sebagai seorang suami.
“Najuwa merupakan isteri dan kawan baik saya. Banyak perkara yang telah kami lalui bersama sebelum ini.
“Jadi, saya berharap agar perkahwinan ini akan memberi satu makna yang besar kepada kami berdua,” katanya lagi.
Bercakap soal kerjaya isterinya, Zaid tidak menghalang Najuwa untuk terus berlakon. Apa yang penting, sebagai seorang isteri, Najuwa perlu sedar dan tahu tanggungjawabnya kepada suami.
“Saya merupakan seorang yang fleksibel. Najuwa perlu tahu tentang tanggungjawabnya dan jika dia mampu melaksanakan perkara tersebut, itu sudah memadai buat saya,” katanya.
Najuwa dan Zaid dinikahkan oleh Kadi Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Arifin Mohd Dalhal, berwalikan bapa pengantin perempuan, Tengku Datuk Yusof Tengku Abdul Aziz.
Pada majlis tersebut, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM1,000 bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan.
Majlis resepsi sebelah perempuan diadakan sehari kemudian di Mercu Mutapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor, manakala majlis bertandang pula akan diadakan pada bulan Oktober.