Pengacara popular, Zizan Razak memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang berkecil hati di atas keterlanjuran kenyataannya semasa mengacarakan Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) malam tadi.
Zizan berkata, dia tidak berniat sama sekali untuk memperlekeh dan memperkecilkan kredibiliti mana-mana pihak khususnya rakan-rakan artis seperti Datuk Hans Isaac dan Datuk Eizlan Yusof.
“Saya mohon maaf secara terbuka kepada Hans dan Eizlan serta institusi raja di atas kenyataan itu. Saya tidak mempunyai niat untuk memperkecilkan mereka.
“Mungkin ada di antara mereka yang berkecil hati dengan kenyataan itu, Saya juga sudah memohon maaf secara peribadi kepada Hans dan Eizlan. Ini peluang saya untuk memohon maaf secara terbuka,” katanya.
Zizan berkata demikian sebagai mengulas beberapa kecaman yang diterima pengacara tersebut di media-media sosial setelah ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan lawak yang dianggap tidak wajar itu.
Malah, rakan-rakan artis termasuk Hans sendiri mempersoalkan kenyataan Zizan di laman sosial masing-masing.