Rita Rudaini tidak pernah benci bola sepak




Rita menubuhkan kelab bola sepak, RR Cougars FC demi anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin (kiri) dan Airit Qaqa Arjuna (kanan) yang meminati sukan bola sepak.

Demi kasih sayang terhadap anak-anak, pelakon Rita Rudaini memberi sokongan penuh terhadap dua cahaya matanya untuk terbabit aktif dalam sukan bola sepak.

Bukan sekadar memberi sokongan, malah Rita sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menubuhkan sebuah kelab bola sepak iaitu RR Cougars FC yang kini berusia dua tahun.

Menurut Rita, penubuhan kelab tersebut penting untuk memberikan ruang kepada dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10 tahun dan Airit Qaqa Arjuna, 8, beraksi di padang.

Mengakui kehidupannya kini sibuk antara membahagikan tugasan sebagai pelakon, ibu dan pengurus pasukan, Rita berkata, dia puas melihat anaknya menikmati hobi masing-masing.

Ikuti perkongsian pelakon drama Geng Mak-Mak ini mengenai cinta baharunya terhadap dunia bola sepak.

Sejak bila anda terbabit aktif dengan sukan bola sepak?

RITA RUDAINI: Pada mulanya saya hanya mengikut latihan dua anak di padang. Lama-kelamaan melihat anak selesa dan serius bermain, saya akhirnya menubuhkan sebuah kelab.

Selepas dua tahun melihat perkembangan anak yang begitu serius meminati bola sepak, saya sebagai ibu perlu menyokong mereka.


Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang menggerakkan kelab bola sepak sendiri?

Cabaran paling utama yang kami hadapi pada awal penubuhan kelab RR Cougars FC adalah kekangan masalah kewangan untuk menggerakkan kelab ini.

Faktor kewangan bukan sahaja diperlukan untuk pembangunan kemahiran bola sepak dalam kalangan pemain kelab, malah melibatkan baju dan kemudahan lain. Alhamdulillah, berkat sokongan ibu bapa dalam kelab dan jurulatih yang memberikan saya kaedah meminta tajaan, masalah kewangan dapat selesaikan dan bukanlah bebanan yang besar lagi.

Apakah pelan masa depan anda terhadap kelab ini?

Setiap kali turun padang, saya sering tertarik dengan bakat baharu. Sebenarnya, ramai anak-anak tempatan yang mampu beraksi di padang dengan baik.

Saya berharap melalui kelab ini dapat melahirkan ramai pelapis pemain bola sepak dalam kalangan generasi muda. Saya juga mahu kelab ini aktif melibatkan diri dalam kejohanan.

Apakah visi anda terhadap bola sepak tempatan?

Saya ingin menerbitkan sebuah rancangan realiti iaitu program pencarian bakat baharu arena bola sepak tempatan.

Kita ada ramai bakat, sayang jika kesemua bakat itu tidak dicungkil. Saya telah mengadakan pertemuan dan menghantar kertas cadangan kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Alhamdulillah, maklum balas yang diberikan amat baik. Jika segalanya berjalan seperti dirancang, Insya-Allah saya akan menerbitkan program tersebut.

Memandangkan bekas suami anda, Aidil Zafuan seorang pemain bola sepak, adakah anda pernah membenci sukan ini?

Saya penyokong pasukan Perlis dan mengikuti perkembangan bola sepak negeri kelahiran saya itu. Saya tidak mempunyai masalah dengan dia, begitu juga dengan sukan ini. Saya lakukan semua ini demi anak-anak.

Post a Comment

Previous Post Next Post