Dilema depresi Justin Bieber




Bukan mudah menjadi seorang Justin Bieber. Kehidupan yang digambarkan di hadapan lensa kamera penuh glamor dan terlihat sempurna. Malah, ramai yang begitu cemburu dengan 'harta' yang dimiliki Bieber pada usia 25 tahun. Masakan tidak, pada usia yang masih muda, Bieber tidak hanya memiliki karier yang stabil, tetapi juga popular, kaya raya dan bergelar suami kepada model jelita Hailey Baldwin.

Ironinya, tidak semua cerita yang dirakam lensa kamera indah belaka. Hakikatnya, penyanyi kelahiran Kanada itu sama seperti manusia lain yang melalui pelbagai liku dalam kehidupan.

Terbaharu, Bieber membuat kejutan kepada peminatnya di seluruh dunia apabila memuat naik satu status menyentuh hati dalam laman Instagramnya. Dalam status tersebut, Bieber mendedahkan dia sedang bertarung dengan banyak perkara yang melelahkan sejak kebelakangan ini. Akibatnya, dia mengakui berasa hilang arah.

Menerusi satu entri panjang yang ditulis, Bieber turut meminta peminat mendoakan dirinya.

“Saya sedang bergelut dengan banyak masalah. Jika terjatuh, saya mampu berdiri kembali. Jadi, saya tidak risau akan hal tersebut. Cuma saya minta kalian mendoakan saya.

“Tuhan itu adil kerana doa kalian memang berkesan. Ini adalah cabaran paling besar yang pernah saya lalui sebagai seorang manusia,” tulisnya.

Seminggu sebelum pendedahan tersebut, Bieber telah menunda sebuah majlis khas bagi meraikan perkahwinannya pada September tahun lalu yang sepatutnya disambut bersama keluarga dan rakan-rakan rapat. Alasannya, dia mahu memberi fokus kepada diri sendiri.

Kenyataan tersebut pantas menarik perhatian ramai kerana rata-rata peminatnya beranggapan kehidupan Bieber yang sebelum ini begitu sosial dan liar, sepatutnya lebih stabil serta bahagia selepas berkahwin dengan Hailey.

Melengkapi

Menerusi satu temu bual bersama majalah Vogue sekitar Februari lalu, penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Baby itu membuka kisah tentang tekanan yang dialami. Dedahnya, dia terpaksa menahan penderitaan tersebut sendirian pada usia muda.

Dalam temu bual itu juga, Bieber mengakui pernah berhadapan dengan masalah ketagihan dadah yang kritikal.

Ujar Bieber, dia mengambil Xanax iaitu dadah jenis benzodiazepines kerana tertekan dengan masalah depresi (kemurungan) dan kebimbangan yang dihadapinya sejak kecil.

“Pengambilan dadah membuatkan saya separa sedar dan pandangan kelam. Pernah beberapa kali pengawal peribadi datang ke rumah pada lewat malam semata-mata mahu memeriksa sama ada saya masih bernafas atau tidak,” ceritanya.

Kehadiran Hailey disifatkan Bieber sebagai penyelamat dan penawar kepada dirinya yang sedang ‘sakit’. Wanita itu pada kaca matanya disifatkan sebagai seorang yang membawa aura positif dalam hidupnya.

“Dia seorang yang sangat bijak dan hidupnya teratur. Dialah yang saya perlukan. Hidup saya selama ini dipenuhi dengan ketidakpastian. Saya perlukan sesuatu dan perkara tersebut adalah dia, Hailey Baldwin cinta hati saya,” katanya.

Meskipun begitu, masalah kesihatan mental yang dihadapi Bieber masih belum pulih sepenuhnya kerana sehingga ke hari ini dia masih mempunyai perasaan ragu-ragu untuk berdepan dengan orang lain.

Sebelum ini, Bieber pernah membatalkan 14 buah konsert jelajah terakhirnya sempena promosi album Purpose pada 2017. Alasannya, dia berasa sangat tertekan dengan jadual persembahan yang padat.

“Sukar untuk saya mempercayai orang. Saya bergelut dengan perasaan bahawa orang di sekeliling hanya menggunakan saya untuk kepentingan mereka.

“Malah, perkara terbesar adalah bagaimana saya mahu mempercayai diri sendiri. Saya pernah membuat keputusan tidak betul termasuk dalam perhubungan. Kesilapan tersebut akhirnya memberi kesan terhadap tahap keyakinan diri. Apa yang saya alami sangat sukar sehinggakan untuk meletakkan kepercayaan kepada Hailey juga amat susah,” terangnya.

Fokus

Kini penyanyi yang pernah disenarai sebagai selebriti paling mahal bawah usia 30 tahun selama enam tahun berturut-turut itu sedang dalam tempoh berehat daripada bidang nyanyian. Keputusan berkenaan diambil kerana mahu membina kembali moral dirinya terutama untuk menjadi seorang suami yang baik.

“Saya tidak pernah berbicara mengenai hal ini kepada sesiapa dan masih ada banyak perkara yang tidak diceritakan menyebabkan saya berasa sunyi. Saya perlukan sedikit masa untuk diri sendiri.

“Memikirkan tentang muzik membuatkan saya tertekan. Kerjaya ini dibina sejak saya berusia belasan tahun, jadi saya tiada kesempatan untuk mengenali diri sendiri,” katanya yang memerlukan ruang peribadi untuk menilai diri sendiri.

Bermula daripada seorang remaja comel dan manis ketika awal kemunculan dalam industri muzik menerusi lagu Baby, putaran hidup Bieber pantas bergulir sehingga membuatkan dia bertukar menjadi seorang remaja yang liar.

Imej tersebut bertentangan 360 darjah daripada dirinya yang dahulu. Penyanyi yang mempunyai lebih 105 juta pengikut dalam Instagram itu tidak malu untuk membuat pengakuan bahawa dia pernah hilang kewarasan diri kerana terlalu bahagia dengan populariti.

“Saya berasa bangga kerana terkenal. Semua orang menyukai saya dan perkara tersebut membuatkan saya menjadi seorang yang angkuh serta sombong. Ketika berada di dalam rumah pun saya tetap memakai kaca mata hitam,” ujarnya.

Terperangkap antara derita dalaman menyakitkan dengan masa depan yang menjanjikan kebahagiaan bersama isteri, Bieber tetap percaya bahawa kasih sayang yang diterimanya pada saat ini mampu memberi keajaiban buat dirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post