Azharina Azhar nafi ketinggalan zaman




Azharina Azhar pernah dijulang sebagai juara pertandingan nyanyian, Bintang RTM pada tahun 2001. Dia juga merupakan juara program realiti, Gegar Vaganza musim ke-3 (GV3). Kehebatan bakat nyanyian diakui ramai, namun dia sering tidak bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan seperjuangan yang lain.

Kalau dibandingkan dengan populariti rakan-rakan seperti Misha Omar dan Sarah Raisuddin, Azharina, 33, sedikit terbelakang. Lebih menguatkan pendapat tersebut, tahun ini, dua rakannya itu bakal bertanding pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 33 dengan lagu ‘berhantu’ masing-masing.

Sebaliknya, Azharina yang mempertaruhkan single Cinta Terbagi Dua gagal untuk melayakkan diri dalam pencalonan carta muzik yang menjadi medan awal sebelum pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu.

Akur dengan ketentuan rezeki, penyanyi yang amat sinonim dengan lagu Elergi Sepi itu tidak mudah melatah. Jawabnya dengan tenang: “Saya percaya dengan rezeki. Seperti zaman pasca Bintang RTM, saya memang ‘lambat panas’. Ketika itu, Misha dan Sarah sudah jauh ke depan sedangkan saya masih tercari-cari rentak.

“Saya gembira dengan kejayaan rakan-rakan berserta karya seni mereka. Tidaklah saya cemburu, namun saya lebih percaya bahawa rezeki untuk saya mendakap kejayaan masih belum datang.”

Melihat seperti skrip selepas Bintang RTM dan GV3 seakan-akan berulang apabila nasib tidak memihak kepada dirinya, Azharina yang selesa membahasakan diri sebagai Nina dalam kalangan teman wartawan tetap optimis.

Ketinggalan zaman

“Tidak seperti rakan-rakan lain, mereka bernaung dengan syarikat pengurusan yang besar dan kukuh sementelah saya bergerak sendiri dengan label sendiri, Azharina Entertainment.

“Bukan saya tidak mencuba, namun radio memang tidak mainkan lagu Cinta Terbagi Dua. Saya tidak tahu mana silapnya. Duit sudah banyak habis untuk tujuan promosi. Kalau Tuhan kata memang sudah bukan rezeki saya, memang saya tidak boleh buat apa,” tutur anak seni kelahiran negeri di bawah bayu, Sabah itu.

Justeru, menyelak muka surat baharu dalam kamus kerjaya seninya, Azharina kembali mempertaruhkan single terbaharu berjudul Lakar Janji ciptaan sepenuhnya oleh Dr. Irma.

Kongsinya, Lakar Janji yang dihasilkan dengan bantuan kumpulan koir dianggotai 40 orang dan alat muzik bertali diharapkan dapat bersaing di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 34 tahun depan seterusnya mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 34.

“Saya amat menaruh harapan kepada single Cinta Terbahagi Dua sebelum ini, namun bukan rezeki saya. Jadi, saya berharap kehadiran Lakar Janji dapat menebus impian saya di pertandingan sama,” ujarnya ringkas.

Mengulas lanjut mengenai kos pembikinan single itu, Azharina yang keberatan berkongsi nilai pelaburan dibuat mengakui, lagu tersebut merupakan paling ‘mahal’ pernah dirakamkan sepanjang 18 tahun menjadi penyanyi.

“Tidak dapat dinafikan, single ini adalah antara lagu yang menelan belanja besar sepanjang kerjaya saya. Malah, ia mengambil masa hampir dua tahun untuk dihasilkan. Proses rakaman lagu ini dibuat sejak Julai lalu di sebuah studio di Melaka sebanyak dua kali.

“Saya mengambil masa setengah tahun untuk mengenal hati budi Dr. Irma sebelum masuk ke studio rakaman. Kita menggunakan persembahan live string dengan iringan 40 penyanyi koir dan beberapa pemain instrumen muzik lain,” katanya.

Mengulas tentang suara-suara sumbang yang mengatakan klip video lagu tersebut sebagai ketinggalan zaman, Azharina tidak mahu mengendahkan komen tersebut, sebaliknya mempunyai pendirian tersendiri.

“Bab klip video, saya serahkan 100 peratus kepada Dr. Irma. Bukan saya tidak ambil peduli, namun memang itu kerja beliau.

“Kalau orang ingin kutuk kata klip video ketinggalan zaman, silakan. Bagi saya mudah, orang bercakap baik atau buruk, itu tetap satu publisiti. Lihat sahaja Neelofa, orang kritik dia pakai turban beg terbalik pun, lihat di mana dia berada sekarang,” getusnya.

Budaya ‘mandrem’

Sebagai juara GV3, sengaja teman media bertanyakan persoalan tentang situasi yang dialami anak seni bernama Zamani yang diberi peluang terus bertanding walaupun mempunyai masalah peti suara sehingga gagal mengeluarkan suara baru-baru ini.

Kata Azharina, apa yang boleh disimpulkannya sebagai juara program nyanyian sama, itulah adat pertandingan. Memang ada yang menang dan kalah, namun perlu usaha yang lebih untuk terus bersaing.

“Siapa yang pernah bertanding dalam GV sahaja yang tahu bagaimana derasnya persaingan yang dihadapi. Ketika bertanding dahulu, tiga minggu awal lagi saya sudah siapkan mental dan fizikal dengan bermacam cara.

“Saya perlu memastikan kesihatan berada dalam keadaan yang terbaik. Apa yang saya buat adalah ambil vitamin secukupnya kerana andai jatuh sakit, memang akan merosakkan segala-galanya.

“Kalau setakat muntah darah dan hilang suara, itu perkara normal dalam pertandingan. Sebagai penghibur, itu semua perlu diatasi dan ditelan,” terangnya.

Bagaimanapun, Azharina kagum dengan semangat Zamani termasuk sokongan yang diberi peminat terhadap penyanyi itu.

“Belum pernah dalam sejarah GV, seorang penyanyi membuat persembahan tanpa suara dan peminat membantu menyanyi bersama. Itu berlaku kepada Zamani. Lihat, betapa legendanya seorang anak seni bernama Zamani.

“Nasihat saya untuk penyanyi yang ingin menyertai pertandingan nyanyian selepas ini, pastikan anda bersiap siaga dengan segala kemungkinan.

“Mental dan fizikal harus bersedia dengan secukupnya. Kalau masuk bertanding, saya terpaksa menjadi ‘kuda’ dengan telan vitamin,” katanya yang gemar berseloroh.

Terlanjur bercerita, wanita itu tidak menafikan, ada penyanyi mempercayai unsur mistik atau dalam bahasa mudah menggunakan sihir yang juga popular disebut ‘mandrem’ untuk berjaya dalam pertandingan.

“Apa yang saya boleh katakan, memang wujud individu yang percaya dengan bantuan ‘mandrem’ untuk cemerlang dalam pertandingan. Semakin canggih dunia, semakin canggih juga dunia ‘mandrem’.

“Saya tidak mahu komen lebih, namun percayalah kalau anda memang ditakdirkan untuk menang dalam sesebuah pertandingan, gunalah ‘mandrem’ apa sekalipun. Kalau memang bukan rezeki anda, bermakna memang tidak akan jadi milik anda,” jelas Azharina menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post