Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam berang gara-gara diajak melakukan hubungan seks secara berkumpulan (threesome) oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
Ajakan tersebut dilakukan menerusi Direct Message (DM) ke Instagramnya baru-baru ini.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, berkata, dia terkejut melihat tawaran berkenaan daripada seorang wanita yang bersedia untuk menempah hotel sekiranya bersetuju dengan tawaran tersebut.
Izzue pada mulanya berniat untuk menularkan wajah berserta mesej wanita berkenaan di laman Instagramnya. Dia bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut selepas dinasihati isterinya, Awin Nurin, 36.
"Saya terkejut selepas menerima mesej berkenaan. Jika ikut perasaan, saya ingin menular wajah wanita tersebut, tetapi isteri menasihatkan supaya bersabar.
"Selepas difikirkan semula, saya khuatir penghantar mesej tersebut menggunakan akaun palsu. Jadi demi kebaikan semua, saya tidak kongsi perkara berkenaan kepada umum," katanya ketika ditemui di sesi fotografi di Studio Utusan hari ini.
Mengulas lanjut, dia tidak berniat untuk memalukan wanita berkenaan dengan memuat naik mesej wanita itu di laman Instagram. Sebaliknya dia ingin mengajak pengikut untuk menghentikan mesej seumpama itu.
Dalam perkembangan berkaitan, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, Izzue mendedahkan akan melakukan pemeriksaan dan rawatan kesuburan bersama Awin dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Kata pelakon Aliff Dalam 7 Dimensi itu, sudah tiba masanya kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran ahli baharu.
"Selama ini kami terlalu sibuk dengan kerjaya. Pada tahun ini kami merancang untuk tumpukan pada usaha mendapatkan cahaya mata. Selama ini kami telah berusaha, tetapi mungkin belum cukup," kongsinya.