Aaron Aziz sudah ketepikan populariti




Hampir dua dekad bergelumang dalam dunia seni, populariti dan kemewahan bukan menjadi perkara yang ingin dikejar. Itu pendedahan pelakon Datuk Aaron Aziz ketika ditemui media pada tayangan perdana filem lakonannya, Operasi X di ibu negara baru-baru ini.

Aaron Azis kini muncul dengan sebuah filem kepolisan berjudul Operasi X.

Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 42, bagaimanapun tumpang gembira dan berbangga apabila filem-filem tempatan seperti Paskal mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton serta dipuji kualitinya.

Jauh di sudut hati, aktor kelahiran, Tampines, Singapura itu ingin melibatkan diri dalam karya sebegitu, namun akuinya, ada beberapa tawaran projek lakonan terpaksa ditolak kerana timbul perkara yang menghalangnya daripada meneruskan hasrat tersebut.

Mengulas tentang status kesihatannya yang sedikit terganggu beberapa bulan lalu, pelakon filem Ombak Rindu itu menjelaskan, dia sudah pulih sepenuhnya, namun perlu sentiasa konsisten terhadap penjagaan kesihatan, bukan untuk dirinya sahaja tetapi begitu juga dengan isterinya, Diyana Halik.

Boleh Aaron perincikan tentang karakter dalam filem Operasi X?

AARON AZIZ: Saya melakonkan watak seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP) bernama Redzuan. Dia seperti hilang arah apabila kehilangan seorang rakan baik. Namun, apabila diberi tugasan untuk menyelesaikan satu kes, dia nekad melakukannya. Filem ini tidak banyak aksi seperti filem Paskal, J Revolusi dan filem aksi lain. Skrip memang sudah diadun sebegitu dan kalau boleh saya ingin melakukan yang lebih baik.

Bercakap tentang kebangkitan filem-filem tempatan sekarang, bagaimana anda melihat situasi sebegitu berbanding filem Operasi X?

Saya tidak takut dengan situasi yang berlaku sekarang. Malah, saya amat teruja dan berbangga kerana filem seperti Paskal mendapat sambutan yang amat hebat daripada orang ramai. Kalau orang ‘hentam’ lakonan saya dalam filem Operasi X atau membezakannya dengan filem aksi terdahulu, saya tidak boleh buat apa-apa.

Alhamdulillah, industri perfileman kita sekarang sedang naik. Macam Paskal, walaupun pengarahnya masih baharu dan tidak ternama, filem itu laris di pawagam dan mendapat pujian tinggi. Saya gembira untuk pelakon seperti Hairul Azreen dan berharap semoga dia diberikan peluang yang lebih banyak selepas ini. Namun, saya yakin Operasi X memberi satu kelainan daripada apa yang telah dipertontonkan sebelum ini. Apapun, kuasa di tangan pengarah untuk menyampaikan kisah filem sebaik mungkin.

Apa yang membuatkan anda bersetuju untuk berlakon dalam filem tersebut?

Filem ini dibarisi pelakon seperti Datuk Awie, Datuk Yusof Haslam dan Nasir Bilal Khan. Saya tidak pernah berlakon dengan mereka sebelum ini. Justeru, salah satu sebab mengapa saya terima tawaran berlakon filem ini adalah disebabkan mereka itu yang memikat saya. Ingin saya tekankan, pada usia sekarang, saya tidak kisah pun berlakon apa sahaja watak asalkan bersesuaian. Saya tidak akan buat permintaan tinggi seperti mahu berlakon watak hero atau utama sahaja.

Maaf bertanya, sebelum ini anda pernah mendedahkan tahap kesihatan sedikit terganggu, bagaimana keadaan sekarang?

Alhamdulillah, saya sudah sembuh sepenuhnya cuma sekarang masih dalam proses untuk terus memperbaiki emosi dalaman. Kalau saya cakap begini mungkin ada yang berpendapat saya sudah ingin beralih arah dan tidak mahu aktif berlakon atau sebagainya. Bukan begitu, pada usia sekarang, saya ingin lebih memberi fokus kepada keluarga. Saya tidak mahu lagi terkejar-kejar, memadailah apabila ada keluarga dan cukup makan.

Apa maksud anda tidak mahu lagi terkejar-kejar?

Saya sebenarnya tiada masalah kalau sudah tidak popular lagi. Pada saya, hal seperti itu bukan lagi keutamaan dan tidak penting. Saya sudah lalui semua itu, namun saya tidak pernah berhasrat untuk bersara kerana ini adalah tempat saya mencari rezeki.

Saya cuma ingin memberi waktu yang secukupnya kepada keluarga. Macam sebelum ini saya terpaksa membatalkan satu projek lakonan terbitan HBO berjudul Grisse kerana kesihatan isteri saya tidak mengizinkan untuk meneruskan kerja itu.

Kalau tidak keberatan, boleh perincikan watak apa yang anda sepatutnya lakonkan dalam projek drama tersebut?

Saya sudah menjalani latihan di set penggambaran iaitu di Batam, Indonesia, namun terpaksa menarik diri kerana isteri tidak sihat ketika itu. Saya sepatutnya memegang antara watak utama dalam projek drama itu. Tidak mengapa, mungkin akan ada rezeki lain, namun itu adalah antara projek drama mega yang ingin saya jayakan tetapi bukan rezeki.

Post a Comment

Previous Post Next Post