Wanna Ali Kalau boleh nak kawin terus





TIADA istilah pilih kasih atau jalan pintas, sebaliknya pelakon Wanna Ali perlu berusaha keras untuk menempatkan dirinya dalam dunia lakonan.

Biarpun ibunya adalah seorang penerbit filem terkenal iaitu Datuk Ayu Puteh, itu bukan tiket mudah untuk Wanna bersenang-lenang.

Sebaliknya Wanna sentiasa berusaha dan mencari peluang terbaik untuk memastikan kehadirannya konsisten dalam industri seni.

"Saya kini dahulukan produksi luar berbanding kerja dengan mama. Malah mama pun turut pesan pada saya agar cuba cari peluang di tempat lain.

"Tiada jalan pintas untuk berjaya sebaliknya perlu berusaha sendiri untuk menempatkan diri," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Angkara Cinta.

Drama rantaian yang bakal ditayangkan di saluran Astro Prima itu turut menampilkan Hun Haqeem dan Meerqeen.

Kata Wanna, layanan dirinya dengan pelakon lain masih sama dan tidak pernah berbeza.

"Kalau bekerja dengan produksi lain, saya tetap akan ditegur kalau ada buat yang tidak betul.

"Saya juga perlu lalui uji bakat. Saya tak rasa wujud pilih kasih atau jalan pintas untuk berjaya," katanya.

Menurut wanita berusia 23 tahun itu juga, dia enggan terlalu terbuka berkongsi kehidupan peribadi dan keluarganya.

Katanya, dia bimbang andai ada yang cuba mengambil kesempatan.

"Saya sebolehnya nak cuba elak orang tahu ibu saya seorang penerbit, sebab sebelum ini pernah ada yang cuba untuk ambil kesempatan," katanya.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi, Wanna mengakui lebih selesa untuk memberi perhatian terhadap kerjaya seni lakonan terlebih dahulu.

"Saya masih solo, tetapi tak dinafikan ada seorang individu yang sedang saya kenal.

"Tetapi saya pilih untuk tidak terlalu fokus mengenai hubungan. Buat masa sekarang saya nak beri perhatian kepada kerjaya.

"Kalau boleh nak kahwin terus, tak mahulah bercinta," katanya.

Dalam pada itu, Wanna bersyukur di atas penerimaan baik penonton terhadap filem lakonannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) yang ditayangkan secara eksklusif di Astro First pada Jun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post