Sejak melahirkan cahaya mata pertama pada Disember tahun lalu, kemunculan pelakon jelita, Ramona Zamzam dengan naskhah baharu di kaca televisyen tidak lagi kelihatan.
Selain memberi ruang untuk lebih menumpahkan tumpuan kepada anak perempuannya, Ivanna Alashkar yang kini berusia tiga bulan, pemilik nama sebenar, Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam turut mengakui mula membiasakan diri menguruskan suami, Rami Alashkar dan anak.
Pada masa sama, wanita berusia 28 tahun itu juga meluahkan rasa rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran, sekali gus meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Disebabkan itu, Ramona tidak menafikan dia berasa teruja apabila terbabit dalam filem terbaharu lakonannya, KL Special Force.
Pertama kali terlibat dalam filem aksi, Ramona mengharapkan filem tersebut dapat menjadi ‘batu loncatan’ untuk dia mengukuhkan kedudukan dalam industri seni tempatan.
KOSMO!: Bolehkah Ramona kongsikan tentang penglibatan dalam filem KL Special Force. Adakah anda berasa puas hati dengan lakonan dalam filem tersebut terutama melibatkan babak aksi?
RAMONA ZAMZAM: Sebagai pelakon, sukar untuk saya mengatakan puas hati, apatah lagi ini merupakan pertama kali terlibat dalam naskhah aksi. Namun, setelah melihatnya di layar perak, pada saya untuk permulaan ia suatu perkara yang agak baik.
Bagaimanapun, kelasakan yang ingin ditonjolkan masih belum cukup baik. Insya-Allah sekiranya ditawarkan untuk terlibat dengan naskhah aksi pada masa akan datang, saya akan berusaha memperbaiki dan buat lebih baik.
Sepanjang melakukan babak aksi tersebut, adakah anda mengalami sebarang kecederaan?
Ia berlaku dan saya bernasib baik insiden tersebut tidak menjejaskan penggambaran. Paling utama ia bukan kecederaan teruk tetapi hanya terseliuh kaki. Setelah berehat selama tiga hari, saya kembali semula ke lokasi penggambaran.
Menerusi pandangan peribadi, apakah yang membuatkan anda sering menerima watak sama seperti perampas?
Sukar untuk saya tafsir mengenai perkara itu kerana ia bergantung pada rezeki. Pada saya, ia mungkin kerana disebabkan peluang. Sejujurnya saya sendiri tidak mengetahui mengapa sering menerima watak sama terutama membawakan karakter antagonis.
Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan tawaran yang diberikan dan tidak memilih. Saya mengharapkan filem KL Special Force ini akan membuka lembaran baharu dalam portfolio, sementelah hampir lapan tahun terlibat dalam dunia seni.
Sejak melahirkan cahaya mata pada Disember lalu, tidakkah berasa rindu untuk kembali semula ke lokasi penggambaran?
Terus terang saya berasa rindu untuk kembali berlakon. Namun komitmen kepada anak dan suami lebih diutamakan. Apatah lagi anak saya baharu berusia tiga bulan dan masih menyusu badan.
Disebabkan itu saya ingin berehat agar lebih memberi tumpuan kepada keluarga kerana selain menjaga anak, segala urusan rumah tangga diuruskan sendiri tanpa pembantu.
Oleh sebab itu saya kini masih dalam proses membiasakan diri tentang perihal rumah tangga. Namun sekiranya keadaan memaksa, saya akan meminta bantuan daripada keluarga terdekat untuk membantu.
Sepanjang tempoh berehat ini, adakah anda ada menerima sebarang tawaran berlakon?
Syukur, walaupun sedang berehat tetapi tawaran tersebut tetap ada. Saya juga mengharapkan agar dapat meneruskan kerjaya lakonan setelah berasa yakin untuk meninggalkan anak kepada pembantu kelak mahupun mendapatkan bantuan ahli keluarga lain.
Saya merancang untuk kembali berlakon selepas anak berusia enam bulan ke atas. Sementara menunggu anak mencecah usia setahun, saya mungkin akan tetap berlakon tetapi hanya memegang watak kecil terlebih dahulu.
Sejak mendirikan rumah tangga pada Mei 2015, bolehkah kongsikan tentang kehidupan sekarang?
Alhamdulillah segalanya berada dalam keadaan baik terutama kini saya dan suami telah memiliki cahaya mata. Saya dan suami, merancang agar dalam tempoh dua tahun, baru memikirkan untuk mendapat zuriat kedua. Namun, saya tidak menolak sekiranya Tuhan takdirkan saya hamil dalam tempoh tersebut. Sejak itu, saya akui kehidupan banyak perkara berubah.
Selain tanggungjawab sebagai isteri, saya kini perlu memberi perhatian kepada anak. Sewaktu awal berkahwin saya akui berasa tidak sabar dan teruja untuk memiliki anak tetapi setelah merasainya sendiri, saya akui ia perubahan hidup yang berbeza.
Disebabkan terlalu fokus dengan anak, saya kadangkala terlupa mempunyai suami (seloroh) dan keluarga. Namun, sekarang saya mula membiasakan diri menguruskan suami, anak dan melakukan kerja rumah sendiri.