Akshay Kumar matang bersama karya


Twinkle Akshay

Sewaktu zaman kegemilangan Bollywood pada era 90-an, tidak keterlaluan untuk mengatakan Akshay Kumar adalah satu-satunya hero filem Hindustan yang tidak termasuk dalam kategori keluarga Khan seperti Shah Rukh Khan, Aamir Khan, Salman Khan dan Saif Ali Khan.

Meskipun namanya tidak gah seperti rakan-rakan seangkatan itu, namun sepanjang lebih dua puluh tahun berkecimpung dalam industri perfileman, Akshay kini boleh berbangga dengan deretan filem daripada genre yang pelbagai.

Bermula dengan seorang pelakon yang membintangi filem aksi seperti Elaan dan Tarazu kemudian berubah menjadi pelawak dalam Hera Pheri, Singh Is Bling dan Phir Hera Pheri seterusnya kepada karya berat contohnya Rustom dan Airlift, Akshay perlahan-lahan berevolusi.

Peningkatan kualiti dan bakat lakonannya yang semakin membanggakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga telah menimbulkan perbualan dalam kalangan peminat terutama apabila dia memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik bagi National Film Award 2017.

Terkini, filem terbaharunya bertajuk PadMan mendapat perhatian meluas, malah berjaya memecahkan stigma tentang penglibatan secara langsung seorang lelaki apabila isteri mereka datang bulan biarpun berdepan dengan sekatan tayangan di Pakistan.

Ikuti bual bicara lelaki kacukan India-Kanada yang memiliki nama sebenar, Rajiv Hari Om Bhatia ini bersama majalah terkemuka, GQ India berkenaan perjalanan karier seni, rumah tangga dan kehidupan sebagai bintang Bollywood.

Filem anda baru-baru ini seperti PadMan memberikan tanda aras baharu dalam kerjaya seni anda, sekali gus menjadikan anda berbeza daripada watak-watak yang biasa ditonton. Apakah yang mendorong perubahan tersebut?

Ia bergantung pada apa yang saya rasakan pada waktu itu. Sewaktu idea membikin filem PadMan datang, saya mendapat inspirasi daripada kisah sebenar seorang kenalan yang memberitahu setiap kali isterinya datang bulan, mereka tidak membeli tuala wanita, sebaliknya menggunakan abu atau rumput kering dengan alasan mahu lebih dekat dengan alam.

Ia sangat tidak bersih dan membahayakan kesihatan. Jadi, saya tahu perlu mengubah pandangan itu. Sekarang, saya sedang menjalani penggambaran filem perang kerana usia saya sudah hampir 50 tahun dan secara logiknya hanya ada lima tahun lagi untuk berlakon genre sebegini. Saya mahu membuat filem aksi sebanyak yang boleh.

Bagaimana anda berjaya kekal relevan dalam industri sepanjang 25 tahun ini?

Hanya satu perkara yang menarik perhatian peminat iaitu perubahan kerana ia sesuatu yang mengujakan.

Saya memilih untuk tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang selesa atau mudah diraih. Jadi, saya selalu mencuba sesuatu yang baharu supaya tidak bosan ditonton.

Bahagian dekad mana dalam kerjaya anda yang paling seronok?

Pastinya dekad kedua apabila saya akhirnya berjaya memecahkan tembok filem aksi dan mula berlakon filem romantik dan komedi, sekali gus berjaya membuatkan pengarah serta penerbit melihat sisi lakonan saya yang berbeza.

Selepas itu, saya mula mendapat kepercayaan mereka untuk membawa karakter yang lebih pelbagai dan tidak klise.

Adakah proses transisi watak itu sukar?

Ia suatu pergelutan besar untuk saya mengubah imej sedia ada kerana tidak ramai yang percaya saya mampu melakukan lebih daripada sekadar filem aksi.

Saya perlu buktikan ia salah kerana saya sudah bosan berlakon watak sama, bangun dan pergi ke set seperti ke sekolah seni mempertahankan diri.

Selepas filem Hera Pheri mendapat sambutan luar biasa, barulah keadaan berubah. Bagi dekad ketiga ini, saya mahu mencabar diri ke peringkat tertinggi dan tidak akan membawa watak yang sama dua kali.

Adakah rejim latihan kecergasan berubah seiring dengan perubahan fizikal anda?

Saya berlatih hanya untuk keseronokan diri sendiri dan bukan mahu membina badan semata-mata.

Saya bukanlah seorang yang ketagih bersukan sehingga boleh berkurung melakukannya berhari-hari tanpa henti. Oleh sebab itu, badan saya tidak mengalami perubahan drastik dan mudah menyesuaikan diri dalam keadaan apa sekalipun.

Kecergasan adalah keseimbangan, jadi jangan terlalu memaksa diri untuk satu impak yang sementara.





Apakah perkara berharga yang anda belajar selama mengamalkan seni mempertahankan diri?

Jangan berlawan dengan perasaan marah. Jika ada orang yang membuat saya marah, sejujurnya saya boleh membalas perbuatan itu dua kali ganda lebih dahsyat.

Namun, saya sering mengawal diri dan mengingati tiga idola saya iaitu ayah, Gandhi dan Bruce Lee. Mereka berpesan, jadilah seperti air yang mengalir dan ingatlah kemarahan ibarat racun berbisa dalam hati.

Selain untuk kerjaya, seni mempertahankan diri yang saya pelajari adalah untuk melindungi orang yang saya sayang.

Bercakap tentang sayang, anda dan isteri, Twinkle Khanna adalah dua individu yang sangat berbeza. Bagaimana kalian berdua mencari satu titik persefahaman?

Benar, saya dan Tina (panggilan untuk Twinkle) mempunyai personaliti seperti langit dan bumi bezanya.

Saya benci membaca tetapi dia seorang yang ‘ulat buku’. Saya seorang yang berfikiran seperti rakyat India, manakala dia lebih ke arah pemikiran Barat dan dia seorang yang lantang berbanding saya yang lebih berdiplomasi.

Perbezaan ini yang membentuk kami menjadi pasangan paling serasi, malah saya dan Tina langsung tidak pernah terfikir untuk membetulkannya.

Apakah perkara yang sering membuatkan anda dan Twinkle bergaduh?

Saya seorang yang suka memanjakan keluarga terutama apabila sedang bercuti berbanding dia yang lebih sederhana walaupun dilahirkan dalam keluarga yang kaya-raya (Twinkle adalah anak kepada pasangan legenda Bollywood, Dimple Kapadia dan Rajesh Khanna).

Dia akan mempertikaikan mengapa perlu pergi melancong menggunakan jet peribadi dan bukan penerbangan komersial atau kita tidak perlukan vila empat bilik dan senarai itu tidak akan habis sampai bila-bila.

Nama Akshay Kumar mungkin tidak sehebat bintang Bollywood yang lain, namun secara perlahan-lahan dia mula membuktikan kehadirannya dalam industri perfileman sejak 25 tahun lalu bukan sekadar untuk menjadi hero tempelan.

Post a Comment

Previous Post Next Post