Hampir 10 minggu berjuang, akhirnya enam peserta Bintang RTM 2018 melayakkan diri mereka ke peringkat akhir yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Keenam-enam peserta itu ialah Hafiz, Hariz, Yasser, Heidi, Anna dan Ferona.
Kesemua peserta yang membawakan lagu bertemakan Cabaran Skala Kuasa Dua itu layak kerana tiada penyingkiran dibuat pada konsert separuh akhir.
Melalui tema tersebut, setiap peserta perlu menyanyikan lagu pilihan peminat pada pusingan pertama, manakala lagu pilihan juri pada pusingan kedua.
Pada pusingan pertama, Hafiz membawakan lagu I Won’t Give Up, Heidi (Makhluk Tuhan Paling Sexy), Anna (Akhirnya Kini Pasti), Hariz (Chandelier), Ferona (Never Loved A Man) dan Yasser (Kasihnya Ibu).
Lagu pilihan juri pula ialah How Long yang dinyanyikan oleh Hafiz, Heidi (Rolling In The Deep), Anna (Terlalu Istimewa), Haris (When I Was Your Man), Ferona (Penglipur Lara) dan Yasser (Romancinta).
Identiti tersendiri
Mengikut perancangan awal, terdapat seorang peserta yang akan disingkirkan tetapi juri sebaliknya memilih untuk membawa kesemua peserta itu ke pentas akhir selepas meneliti semula kualiti persembahan yang diberikan masing-masing menerusi konsert sebelum ini.
“Kesemua peserta tampil membuatkan persembahan dengan sangat baik. Oleh sebab itu, selepas berbincang dengan pihak penerbit, kita putuskan untuk tidak menyingkirkan salah seorang daripada mereka.
“Jika dilihat peserta yang berada di kedudukan terbawah pada konsert separuh akhir ini iaitu Hafiz dan Hariz menampilkan persembahan yang baik sebelum ini dan tidak adil sekiranya kita menyingkirkan mereka yang cuma tinggal selangkah lagi ke pentas akhir,” jelas AG panjang lebar.
Tambahnya lagi, kesemua finalis Bintang RTM 2018 merupakan contoh pelapis yang mempunyai bakat dan identiti sendiri.
“Melalui Bintang RTM 2018 ini kita tidak mahu mencari klon kepada penyanyi-penyanyi terkenal sedia ada, sebaliknya jika dilihat mereka yang terpilih mempunyai identiti tersendiri.
“Ia bagus kerana boleh menjadi kayu pengukur dalam menilai bakat seseorang untuk generasi akan datang,” katanya.
Kreativiti
Sementara itu, Ferona memberitahu, peluang melangkah ke pentas akhir merupakan cita-citanya sejak menyertai program tersebut.
Katanya, dia berusaha mencari idea untuk tampil berbeza daripada peserta lain yang disifatkannya hebat.
“Saya cuba tampil kreatif pada setiap minggu kerana dengan kreativiti kita akan nampak berbeza daripada orang lain. Selain itu, saya juga menonjolkan bakat yang ada menerusi tenaga dan karisma yang berbeza,” jelasnya yang menyifatkan menyanyikan lagu irama klasik menjadi cabaran buatnya.
Bagi Yasser pula, sering berada pada kedudukan tercorot tidak dijadikan sebagai kelemahan untuknya tampil memberikan sesuatu yang berbeza.
“Walaupun kerap berada di tangga terbawah, saya berusaha sehabis baik untuk melayakkan diri ke pentas akhir.
“Sepanjang berada dalam Bintang RTM 2018, saya berdepan cabaran untuk menghayati lagu. Justeru, saya memperbanyakkan latihan bagi mengatasi masalah tersebut selain cuba membawakan lagu yang diberi sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, mengangkat tema Superstar pada pusingan akhir ini, setiap peserta akan melalui tiga pusingan yang antaranya menyaksikan sesi duet bersama vokalis band yang telah dipilih.
“Untuk pusingan akhir ini juga kami menambah tiga orang juri jemputan yang terdiri daripada Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat selain Adibah Noor selaku juri tetap bagi memperoleh pemenang yang berkualiti terhasil,” ujar penerbit Bintang RTM 2018, Sarena Mohd. Salleh.