Penyanyi Zarul Husin memberitahu dia memperdengarkan single terbaharu, Remuk kepada isteri tercinta, Intan Nur Fathihah sebelum dilancarkan, hari ini.
Zarul berkata, sebagai suami dia tidak mahu membelakangkan isterinya yang banyak memberi sokongan terhadap karier seni nyanyiannya.
“Sebelum melancarkan single Remuk saya ada minta pandangan isteri kerana dia tahu mengenai muzik.
“Malah saya juga ada bertanya kepada rakan-rakan dalam industri supaya tidak tersilap pilih lagu memandangkan ada dua lagu yang sudah dirakam.
“Bagaimanapun, selepas mengambil kira semua aspek, saya nekad mempertaruhkan lagu Remuk sebagai single ketiga selepas tampil solo empat tahun lalu,” katanya.
Menurut Zarul, menerusi lagu ciptaan Aepul Roza itu dia masih menyuntik elemen muzik 1990-an yang sudah sinonim dengan dirinya.
“Sengaja saya selitkan muzik 90-an dalam lagu ini kerana ia masih mendapat permintaan tinggi daripada peminat dan penonton.
“Lagipun saya tidak mahu ambil risiko dengan membawakan lagu terlalu moden kerana bimbang tidak bersesuaian dengan kemampun vokal,” katanya.