Kehadiran Jasmine Suraya Chin kian disedari


Bagi yang mengikuti drama bersiri popular, Hero Seorang Cinderella di saluran Astro Ria dan Ria HD Mei lalu, pasti menyedari penampilan aktres, Jasmine Suraya Chin yang mendukung watak Zyuin.

Memainkan peranan sebagai rakan baik Nura Medina (lakonan Nur Fazura), pemilik nama lengkap Jasmine Suraya Chin Xian Mei ini nyata teruja apabila populariti yang diraih drama arahan Michael Ang itu turut memberi tempias sama buat aktres berusia 27 tahun ini.

Selain Fazura, drama tersebut turut dibintangi pelakon popular lain seperti Fattah Amin dan Uqasha Senrose yang memberi 1,001 satu makna buat anak jati Kuching, Sarawak ini.

Katanya kepada Media Hiburan, meski pun sudah terlibat di dalam beberapa drama, namun Hero Seorang Cinderella memberi kesan positif dalam kerjaya seninya kebelakangan ini.

Justeru, kata Jasmine, misinya kini hanya untuk memberikan kualiti terbaik.

“Kata orang, untuk mendapatkan hasil yang baik, kita perlulah berusaha. Julai lalu, saya mengikuti pengajian kursus pendek bidang lakonan selama sebulan setengah di Mountview Academy of Theatre and Arts, London. Kiranya ini adalah satu cara terbaik memperkasakan skil lakonan.

“Saya sedar, pada fasa tersebut fenomena Hero Seorang Cinderella masih diperkatakan dan pada masa sama, saya turut menerima tiga tawaran lakonan lain," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, atas komitmen terhadap pengajian, tawaran itu terpaksa ditolak dan Jasmine menganggap itu satu pengorbanan untuk berjaya.

"Sebagai pelakon yang masih boleh dikira baru, ilmu lakonan itu penting dan demi memberikan yang terbaik di masa depan, saya tidak kisah andai terpaksa melupakan seketika lakonan untuk menuntut ilmu,” katanya yang turut mengikuti pengajian sama di sebuah lagi institusi pengajian sama di London.

Kata Jasmine, dia mahu menumpukan perhatian dalam lakonan selepas ini dan serius untuk melihat sejauh mana kemampuan diri selain bersedia menantikan maklum balas peminat melalui lakonannya iaitu KL Wangan dan The Spiral di samping Siti Saleha.

Aktif sebagai pengacara

Sementara itu, wajah bintang berketurunan Cina Sarawak ini juga cukup sinonim sebagai pengacara Piala Malaysia dan Liga Super.

Jelas Jasmine, selain lakonan, pengacaraan juga menjadi keutamaannya ketika ini.

Bagi bekas pengacara Hip TV ini, tidak salah merebut peluang selagi bijak mengurus masa.

Jasmine juga akan memaklumkan jadualnya kepada pihak produksi bagi mengelakkan berlakunya bercanggahan masa.

Kepetahannya berbahasa Melayu, ada yang menganggap selebriti yang lahir pada 10 November 1989 ini seorang gadis Melayu.

Akui Jasmine meski masih ada sedikit ‘pelat’ ketika bertutur, namun masih ramai yang keliru mengenai latar belakangnya.

“Ya, masih ada yang keliru, lebih-lebih lagi apabila mereka lihat penampilan saya menerusi drama Hero Seorang Cinderella tidak lama dulu,” beritahunya ringkas.

Mahu watak serius

Ditanya apakah harapannya selepas ini, Jasmine yang turut mengharapkan sokongan berterusan peminat menambah, dia sebolehnya mahu mencuba pelbagai watak.

Tidak mahu statik dengan watak klise, Jasmine ingin membuka minda dengan mencuba watak lain daripada yang lain.

“Semoga selepas ini, peluang saya dalam dunia lakonan akan lebih terbuka luas dan dapat pegang watak serius. Kalau nak diikutkan, saya pernah bawa peranan antagonis di dalam beberapa buah drama. Saya suka sebab perlu bermain dengan emosi.

“Pun demikian, saya sedar untuk tempoh ini, tidak boleh terlalu selektif memandangkan setiap watak punya keistimewaan tersendiri. Target untuk tahun ini dan seterusnya, saya mahu fokus dalam apa yang saya lakukan demi pengalaman,” kongsi Jasmine.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post