Liza Othman tidak tonton televisyen


Liza Othman bersama pelakon cilik Nik Adam Mika yang membawakan watak sebagai Fikri dalam Wanita Terindah.

Perkara terakhir yang akan dibuat oleh seorang pelakon usai sesi penggambaran selain mempromosikan naskhah lakonan ialah menonton kembali aksinya bagi melihat sebarang kelemahan yang mungkin boleh diperbaiki untuk produksi akan datang.

Namun, kebiasaan itu tidak pernah diamalkan oleh pelakon Liza Othman sejak menjadikan industri seni sebagai kerjaya utamanya sekitar dua dasawarsa lalu.

“Benar, sejak 1988 saya tidak pernah menonton naskhah lakonan sendiri kerana saya tidak memiliki televisyen di rumah.

“Biarpun sedikit pelik, terutama zaman sekarang yang semuanya bergantung harap kepada maklumat terkini, namun, ia memberi kesan positif terhadap saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem khas Wanita Terindah di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Disebabkan tidak mempunyai sumber hiburan, pelakon filem Waris Jari Hantu itu mengakui sukar untuk mengikuti perkembangan terkini dunia hiburan, terutama prestasi pelakon-pelakon baharu yang semakin mendominasi bidang lakonan masa kini.

“Maaflah, saya tidak boleh memberi sebarang pandangan mengenai mereka. Namun, menerusi pengalaman berlakon bersama, kebanyakan daripada mereka sangat komited dan fokus ketika bekerja,” katanya.

Pencen

Melihat pada portfolio seninya sebagai anak seni, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan yang dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu dilihat begitu akrab dengan watak ibu penyayang.

Namun tidak ramai yang tahu, perwatakan asli wanita kelahiran Johor itu jauh berbeza jika dia menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada tujuh anak di rumahnya.

“Anak-anak saya selalu mengusik. Kata mereka, saya memang benar-benar seorang pelakon yang handal.

“Masakan tidak, jika di rumah, saya berubah menjadi seorang ibu yang tegas. Bukan apa, ia untuk kebaikan mereka juga,” ujarnya sambil tertawa.

Beralih pada kelangsungan kariernya, wanita berusia 56 tahun itu masih samar-samar dengan perancangan masa depan.

Katanya, sudah beberapa kali dia merancang untuk pencen dan berhenti daripada bidang lakonan. Keinginan itu bagaimanapun masih belum mampu menjadi kenyataan.

“Beberapa kali juga saya merancang untuk berhenti berlakon dan memberi fokus terhadap bisnes yang diusahakan keluarga. Hasrat tersebut bagaimanapun masih tidak kesampaian.

“Setiap kali menerima tawaran, jiwa seperti meronta-ronta mahu berlakon. Untuk saya berhenti secara total itu mustahil. Saya akan cuba memperlahankan aktiviti lakonan seiring dengan pertambahan usia,” katanya lagi.

Ditanya, apakah watak yang ingin dicuba pada usia mencecah setengah abad itu, Liza menjawab: “Saya teringin untuk terlibat dalam filem atau drama yang kesemua watak utamanya dijayakan oleh pelakon seusia saya.

“Saya tidak kisah genre yang ingin diketengahkan. Apa yang penting, jalan ceritanya bagus, saya tidak teragak-agak untuk mencuba,” katanya yang memasang impian untuk berlakon sebuah produksi filem seumpama Charlie’s Angels.

Menyentuh mengenai lakonannya dalam telefilem khas Wanita Terindah, Liza yang membawakan watak sebagai Puan Zahra menyifatkan karya adaptasi daripada novel berjudul sama itu sebagai sebuah naskhah yang bagus.

“Jalan ceritanya menarik kerana ia memaparkan hubungan rapat antara ibu dan anak.

“Dalam pada itu, plot bagi telefilem ini juga digarap sempurna supaya setiap karakter yang dipaparkan dapat berkembang dengan baik,” katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post