Semangat kemanusiaan Afdlin Shauki


KESENGSARAAN hidup penghuni kem pelarian Lubnan telah mendorong Afdlin Shauki untuk membantu mereka agar dapat meringankan beban sepanjang menjalani ibadah puasa.

NALURI kemanusiaan pelawak tersohor, Afdlin Shauki tersentuh tatkala mendapat khabar bahawa penghuni kem pelarian Beirut, Lubnan hanya menjamah rumput rebus sebagai hidangan berbuka puasa.

Situasi tersebut nyata mengundang rasa simpati dan dorongan daripada itu, Afdlin menerusi Yayasan Afdlin Shauki telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Kubra bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan ke Lubnan.

Dia yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan perasmian cawangan Restoran Shell Syiok di Kompleks Metro Point, Kajang, Selangor sekali gus melancarkan Misi Bantuan Ramadan Untuk Pelarian Syria.

Menurut aktor filem Buli itu, sumbangan yang diberikan terdiri daripada makanan, ubat-ubatan termasuk bantuan kewangan bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan harian.

Berkongsi persiapan sebelum berangkat ke Lubnan, Afdlin kelihatan tenang meskipun mengakui bakal berdepan dengan pelbagai kemungkinan setibanya di kawasan bergolak itu.

KOSMO!: Boleh Afdlin kongsikan apakah tujuan anda berangkat ke Beirut, Lubnan?

AFDLIN SHAUKI: Tujuan saya pergi ke Beirut, Lubnan adalah bagi menjayakan Misi Bantuan Ramadan Untuk Pelarian Syria selama tujuh hari bermula 10 Jun hingga 16 Jun depan. Seramai enam individu menyertai misi tersebut termasuk saya. Selain itu, misi ini juga merupakan usaha sama antara Yayasan Kubra dengan Yayasan Afdlin Shauki.

Apakah yang membuatkan anda memilih untuk menjayakan misi tersebut dalam bulan Ramadan?

Tujuan saya membabitkan diri dengan misi kemanusiaan pada bulan Ramadan adalah kerana berasa simpati terhadap nasib pelarian di kem pelarian Beirut, Lubnan yang terpaksa berbuka puasa dengan hanya menikmati rumput rebus. Situasi itu nyata berbeza dengan rakyat negara kita yang kebanyakannya sibuk membeli juadah di bazar Ramadan. Tambahan, saya juga ingin mencabar diri untuk menjayakan aktiviti kemanusiaan buat pertama kali pada bulan puasa.

Sebelum berangkat ke Beirut, Lubnan, bagaimanakah persiapan mahupun persediaan daripada segi mental dan fizikal yang anda lakukan?

Bercerita mengenai persediaan fizikal dan mental, tidak banyak perkara yang boleh dibuat. Paling utama ialah persiapan secara rohani. Sebelum berangkat bagi menjayakan misi tersebut, saya akan melakukan solat taubat dan solat sunat memohon agar usaha kami dipermudahkan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam perjalanan, insya-Allah kami pergi dalam keadaan syahid.

Bagaimanakah reaksi ahli keluarga apabila mengetahui anda mengikuti program kemanusiaan yang mungkin mampu mengancam keselamatan?

Sejak mula melibatkan diri dengan mengikuti misi kemanusiaan pada tahun 2012, keluarga saya tidak mempunyai sebarang masalah mahupun menghalang

Alhamdulillah, mereka amat memahami keinginan saya untuk membantu golongan tidak bernasib baik. Bagaimanapun, pernah isteri dan juga ibu saya melarang untuk mengikuti misi kemanusiaan di Yaman kerana sehari sebelum berangkat ke sana, negara tersebut telah diserang oleh tentera Amerika Syarikat (AS) sekitar Mei lalu. Disebabkan insiden berkenaan, ahli keluarga saya meminta agar tidak mengikuti misi terbabit kerana bimbang akan keselamatan diri. Tambahan, ibu turut berasa berat hati untuk membiarkan saya menyertai misi tersebut.


AFDLIN merancang untuk menjadikan Shell Syiok sebagai perniagaan francais.

Tidakkah anda berasa bimbang sekiranya keselamatan terancam memandangkan kebanyakan kem pelarian seperti itu sering menjadi sasaran serangan tentera AS?

Kebimbangan itu kadangkala ada tetapi saya tidak terlalu memberi fokus kerana perkara paling utama ialah niat. Sekiranya kita berniat ke jalan Allah dan reda dengan ketentuannya, insya-Allah tiada apa yang mungkin akan berlaku. Perkara yang tidak diingini itu ada di mana-mana sahaja, jadi usah bimbang. Sekiranya kita berjihad ke jalan Allah, urusan tersebut dipermudahkan.

Selain bercerita mengenai misi kemanusiaan, bolehkah anda kongsikan mengapa memilih Kompleks Metro Point, Kajang sebagai lokasi kedua cawangan Shell Syiok?

Saya memilih kawasan tersebut untuk dijadikan lokasi kedua Shell Syiok selepas di Great Eastern Mall, Jalan Ampang kerana melihat respons pengunjung ke kompleks terbabit. Respons yang diterima juga positif terutama sejak ia mula dibuka pada awal Ramadan lalu. Pada mulanya, saya berasa bimbang kerana beranggapan awal Ramadan pelanggan memilih untuk berbuka puasa di rumah.

Bagaimanapun, tanggapan tersebut meleset apabila saya mendapati hampir setiap hari restoran ini dipenuhi pelanggan. Selain itu, saya juga merancang untuk menjadikan Shell Syiok sebagai perniagaan francais.

Bolehkah anda kongsikan mengenai persiapan pembikinan filem Sandakan Tears?

Buat masa ini, skrip filem tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan perlu melepasi beberapa peringkat bagi memastikan ia mengikut piawaian pasaran antarabangsa. Selepas olahan skrip selesai, kami akan teruskan dengan pemilihan pelakon, lokasi dan seterusnya memulakan sesi penggambaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post