Gerakan serantau, peta masa Bront Palarae


PERTEMUAN santai dengan pemilik gelaran Aktor Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2015 menerusi filem Terbaik dari Langit itu sewaktu Dialog Transformasi Nasional (TN50) bersama Perdana Menteri di Putrajaya pertengahan Mei lalu mengheret ke sebuah sesi wawancara yang lebih terancang.

Mengungkit kembali kisah yang sama-sama berlaku di depan mata apabila penerbit filem, David Teo ditampar pelakon Mat Over dalam kejadian yang menjadi tular satu Malaysia pada malam tersebut, sebagai salah seorang pelaku seni yang berada di tempat kejadian, Bront Palarae tersenyum kelat sebelum menyifatkan kejadian tidak sepatutnya terjadi itu segera dikambus.

“Letak tepi segala sinikal atau spekulasi, secara umum program pertemuan dengan pemimpin negara untuk membincangkan hala tuju industri itu tetap positif objektifnya. Biarpun ia tidak dapat menyelesaikan masalah industri ketika ini, tetapi pertemuan itu bertujuan mengenalpasti dan mencari peta masa depan.

“Buat kali pertama kali juga pembentukan hala tuju sesebuah negara itu dipulangkan kepada rakyat untuk membina generasi akan datang. Apa yang berlaku itu satu kesilapan. Biarpun pertemuan itu tidak sepenuhnya memuaskan hati semua pihak tetapi setidak-tidaknya potensi ancaman dan masalah sama pada masa depan dapat dikurangkan. Kesediaan pemimpin untuk mendengar aspirasi rakyat itu yang penting ,” jelas Bront yang terlibat secara langung bagi merangka peta untuk pembangunan seni dalam TN50.

Menurutnya, setiap bulan sehingga hujung tahun atau sehingga diperlukan, dia akan terbabit dalam mesyuarat bersama pasukan yang telah dilantik untuk bersama-sama mengutip, merumus dan membentuk sebuah kerangka perancangan serta pembangunan dalam konteks seni untuk TN50.

“Saya hanya diminta untuk membantu. Mungkin saya dilihat tiada kerja (ketawa), daripada situ saya dipanggil untuk membebel pasal industri,” katanya yang kini dalam proses suntingan filem genre aksi drama terbaharu terbitannya berjudul One Two Jaga: Police & Thief.


MEDIA. Sering dilihat sebagal artis yang tidak gemarkan publisiti media, Bront bagaimanapun menegaskan, sebagai orang seni, dia tidak pernah menafikan peranan media bertauliah sebagai suara ketiga untuk bercerita tentang kariernya. Kuasa media sosial seperti Facebook dan Instagram hanya ruang promosi peribadi, namun penulisan atau wacana daripada media bertauliah penting demi legitimasi yang kekal sampai bila-bila.

Status watak bapa

Kata pepatah Inggeris, life begins at 40 tetapi setahun sebelum menjelang usia tersebut, Bront mengakui, mencapai satu tahap selesa tanpa rasa canggung untuk duduk dan bergerak sendiri dalam pasukan produksi luar.

“Rasanya 39 tahun adalah usia yang tepat untuk saya berasa tidak kisah jika kena duduk seorang diri dalam produksi luar

“Kerjasama sama dengan Joko mungkin lanjutan daripada siri HBO, Halfwolf. Tiba-tiba dia sahaja menelefon saya untuk menawarkan watak bapa dalam filemnya yang mungkin paling ‘ringan’ pernah dibikin selama ini.

“Pengabdi Setan merupakan sebuah filem seram ikonik yang begitu kuat impaknya untuk filem genre sedemikian di Indonesia pada tahun 1981. Emosinya lebih kurang sama dengan Jwanita (Osman Ali), ia sebuah kisah yang berlaku dalam rumah tetapi tekanannya agak berbeza. Masalah yang ketara juga, saya kerap tersasul sebab kena berdialog dalam bahasa Indonesia.

“Saya tidak gemar filem seram tetapi bila jadi sebahagian daripadanya, apa kata saya seramkan orang yang bakal tengok. Sering kali kita diseramkan hanya dengan suasana dan bukan penceritaan tetapi dalam Pengabdi Setan, unsur seramnya sangat organik dan santai. Ia satu benda yang saya tak pernah rasa dalam skrip filem tempatan.

“ Jadi, selain faktor siapa pengarah terbabit, itu juga alasan kenapa saya terima lamaran Pengabdi Setan walaupun ia bukan genre kegemaran saya,” jelas Bront yang sebelum ini muncul dalam filem My Stupid Boss, karya dan arahan Upi Avianto, juga dari Indonesia.

Berbaki sekitar dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, Bront juga sedang mempersiapkan minda untuk memulakan penggambaran sebuah filem di Filipina bersama sutradara muda berbakat besar, Bradley Liew.

“Persamaannya, saya masih ditawarkan watak bapa. Yang seronoknya adalah status watak bapa dalam Daddy’s Home dan Pengabdi Setan itu sendiri apabila ia diangkat menjadi watak utama. Perkara ini juga jarang ada dalam skrip filem kita,” kata Bront yang juga berstatus bapa anak satu itu ceria,

Tidak pernah berkunjung atau singgah di Manila, Filipina walaupun untuk transit dalam penerbangan, tetapi menjelang Rabu (14 Jun) ini Bront akan berada di sana sehingga sehari sebelum hari raya.

“Yang menjadi cabaran utama bukan sebab kena berlakon pada bulan puasa di negara asing. Masalah utamanya adalah dialog dalam filem tersebut yang menuntut saya bercakap dalam bahasa Tagalog. Tetapi, itulah menariknya. Jika tidak, saya asyik dalam zon selesa. Kalau di Kuala Lumpur, rasanya saya sudah bekerja dengan hampir semua pengarah besar yang ada tetapi apabila masuk dalam produksi luar, saya bukan siapa-siapa.

“Saya akan kerja tanpa dibayangi reputasi atau pengaruh, sebaliknya kena jadi macam pelakon baharu. Dari situ rasa ‘wow’ itu datang balik. Semangat untuk bekerja jadi seronok sebab kena belajar perkara baharu,” katanya yang kini bergelar ikon fesyen busana raya Sirnasin.


BISNES FESYEN. Bergaya dan memenuhi cita rasanya, Bront menjalin kerjasama dengan Sirnasin kerana jenama berkenaan dilihat berpotensi tinggi. Nilai kreativiti, integriti dan daya saing yang ada pada Sirnasin merupakan sifat-sifat yang dicari Bront sekiranya mahu membentuk kerjasama dengan jenama tempatan.

Ikon fesyen jenama Sirnasin

Terjebak dengan agenda promosi dan jualan busana raya sebagaimana yang dilakukan kebanyakan artis popular ketika ini, kata Bront, kerjasamanya dengan jenama Sirnasin milik sahabatnya, Shahrudin Kassim itu sudah berlangsung sejak dua tahun lalu.

Bermula dengan borak di kedai kopi, perbualan tentang bisnes dan fesyen akhirnya terarah menjadi kerjasama strategik. Tidak sekadar meminjamkan wajah dan populariti sebagai ramuan pelaris, Bront sebaliknya turut bertindak sebagai rakan kongsi yang sama-sama bertanggungjawab membangunkan jenama berkenaan.

“Saya kenal Shah (Shahrudin) sejak lama. Apa salahnya kami sama-sama majukan jenama tempatan yang mempunyai kualiti setaraf dengan jenama luar.

Sasaran kami, bukan baju pagi raya tetapi baju untuk pergi beraya pada hari raya kedua dan seterusnya. Saya suka sebab ia nampak moden dan berstail macam jenama baju kasual di pasaran, bezanya ia kurta dan baju Melayu,” jelas Bront yang sebelum ini menjalin kerjasama dengan jenama busana terkenal dari di Sepanyol, Sacoor Brothers.

Post a Comment

Previous Post Next Post