Setiap pasangan yang bakal menimang cahaya mata pastinya tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dan gembira, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang menantikan kelahiran anak pertama.
Itulah gambaran yang boleh simpulkan buat pasangan selebriti, Amar Baharin, 32, dan isterinya, aktres Amyra Rosli, 26, yang mengakui tidak sabar menantikan kehadiran orang baru dalam hidup mereka.
Bagaimanapun, baik Amar dan isteri, meskipun tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan teruja, namun masing-masing sedar tanggungjawab dan amanah dipikul setelah bergelar ibu bapa kelak.
Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan ini ditemui MH sejurus majlis baby shower dan pengumuman jantina anak yang dijangka lahir pada penghujung Oktober depan di Happikiddo, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah sahabat, penaja dan rakan media.
Berkongsi kesihatan pelakon Tersuka Tanpa Sengaja ini, Amyra bersyukur kerana sepanjang tempoh kehamilan, dia tidak alami alahan teruk.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik cuma peringkat awal kandungan, saya ada morning sickness.
"Bagaimanapun, setelah capai trimester kedua dan ketiga, semuanya okay. Berat badan pun kian bertambah sehingga mencapai 53kg. Sebelum ini, berat badan saya tidak pernah cecah 50kg. Sebelum mengandung, berat saya sekitar 46kg sahaja.
“Itulah bila hamil ni, selera makan pun bertambah. Syukur setakat ini, semuanya baik. Malah, sekarang, saya lebih gemar melakukan aktiviti yang memerlukan saya bergerak. Nasihat orang tua, kalau waktu bersalin makin hampir, si ibu perlu banyak bergerak dan aktif bagi memudahkan bersalin.
Tak sabar jadi bapa
Sementara itu, Amar Baharin yang sebelum ini cukup popular menerusi drama Akadku Yang Terakhir paling tidak sabar menantikan kelahiran anak mereka, apatah lagi apabila mengetahui bakal timang bayi lelaki.
Kongsinya, penantian menjadi bapa buat kali pertama tidak lama lagi adalah pengalaman sukar digambarkan.
“Sebagai suami, sudah tentunya saya rasa excited, lebih-lebih lagi ini first baby kami. Sejujurnya, saya tidak kisah sangat jantina anak. Cukuplah dia dalam keadaan baik, sempurna. Itu sudah memadai bagi kami.
"Kalau bercakap bab nak shopping barangan bayi, di antara saya dan Amyra, rasanya saya yang lebih teruja. Kalau boleh nak borong banyak. Mujurlah isteri banyak bagi nasihat.
"Apa pun, kami ingin berbesar hati dan berterima kasih kerana ada pihak sudi menaja beberapa keperluan anak yang akan dilahirkan nanti. Kami kira itu sebagai rezeki buat anak juga,” kata Amar yang turut mendedahkan, jantina anaknya itu sudah pun diketahui mereka ketika Amyra hamil enam bulan.
Jelasnya lagi, mereka turut sepakat membuka akaun Instagram buat anak mereka yang bakal lahir. Sebagai permulaan, pasangan selebriti ini hanya muat naik perkembangan kehamilan Amyra dari awal hingga kini.
“Kami tidak kisah kalau ada anggap akaun media sosial untuk anak adalah tidak baik. Itu persepsi masing-masing dan mereka ada hak beri pandangan. Kami lakukan ikut cara kami dan sekadar berkongsi kegembiraan bersama peminat,” sambung Amar.
Mimpi dapat baby boy
Mengimbas pengalaman ketika pemeriksaan jantina kandungan, Amyra memberitahu sehari sebelum check-up, dia mimpi bakal melahirkan anak lelaki.
“Saya ada beritahu mimpi pada suami. Tak sangka mimpi itu sebagai satu signal. Malah sebelum ini pun, ada yang cakap melihat kepada keadaan perut yang seakan ‘tajam’ ke depan, saya mungkin akan lahirkan bayi lelaki. Saya okay asalkan bayi yang akan dilahirkan nanti selamat dan sihat.
“Sementara soal lakonan pula, saya perlu habis pantang dulu sebelum sedia kembali. Pada masa sama, bergantung kepada kondisi saya dan anak selepas bersalin. Apabila semuanya sudah okay dan stabil, barulah saya fikir untuk kembali dalam industri,” terang Amyra yang turut menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai suami dan keluarga yang peka dan mengambil berat kesihatan diri dan bayi dalam kandungan sepanjang hamil.