Mila Jirin bakal buat single terbaharu.
Juara Akademi Fantasia musim ke-5, Mila Jirin berasa sedih apabila namanya tidak tersenarai antara 12 peserta yang layak meneruskan pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) Megastar.
Bagaimanapun, Mila berkata, dia akur dan menghormati keputusan yang dibuat oleh juri selepas pertandingan secara langsung pada Ahad itu.
"Secara jujur memang berasa sedih tapi saya reda kerana ini adalah adat pertandingan. Saya hormati keputusan dan penilaian yang dibuat oleh juri dalam memilih 12 yang terbaik.
"Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk saya, rezeki saya mungkin ke arah perniagaan," ujarnya.
Pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 29, ini mengulas apabila ada pihak termasuk penaja program AF Megastar iaitu Datuk Aliff Syukri yang kecewa apabila namanya tidak tersenarai untuk pertandingan tersebut.
Malah, segelintir netizen beranggapan penyanyi yang menyampaikan lagu Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain itu lebih layak berbanding beberapa peserta yang tersenarai.
Sementara itu, Mila berkata, dia tidak berasa menyesal walaupun terpaksa memberi komitmen selama sebulan untuk pertandingan berkenaan.
"Saya tidak menyesal walaupun sebulan itu saya terpaksa membahagikan masa kepada nyanyian, ibu dan perniagaan.
"Bagi saya ini adalah peluang terbaik saya untuk kembali ke dunia hiburan. Biarpun tiada rezeki, namun saya terharu masih ramai yang memberi sokongan kepada saya untuk kembali aktif," ujarnya.
Selain itu, Mila berkata, dia juga merancang untuk keluar dengan single terbaharu sebagai mengubati kerinduan peminat-peminatnya.
Pada minggu kedua, program Af Megastar mengumumkan 12 daripada 24 peserta bakal bertanding pada pertandingan realiti berkenaan.
Mereka yang layak ialah Syamel, Indah Ruhaila, Bob, Idayu, Marsha, Amir Jahari, Adira, Shahir, Amir, Sufi, Ewal dan Azhar.
Peserta yang gagal pula ialah Rosma, Anding, Adam, Amylea, Nubhan, Aril, Ara termasuk lima bekas juara AF iaitu Zahid, Faizal, Faizul dan Firman.