Kisah anak Linda Rafar ke kaca televisyen


Linda Rafar berharap dapat berkongsi kisah dan pengalaman terakhirnya bersama arwah Memen menerusi drama bersiri.

Jika dibilang waktu, sudah hampir tiga tahun anak kedua penyanyi dan pelakon, Linda Rafar meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam perut yang kronik.

Namun tidak pernah sekali pun dalam tempoh itu, nama Allahyarham Rezaimen Keiflin Keifli atau lebih mesra disapa Memen hilang daripada kotak fikiran dan hati bekas anggota kumpulan Elite itu.

Didorong rasa rindu dan keinginan untuk berkongsi rasa bersama peminat yang sering tertanya-tanya bagaimanakah seorang wanita bernama Azlinda Rafar tabah menghadapi ujian besar itu, dia bakal menceritakan pengalamannya itu menerusi sebuah drama bersiri.

Drama yang bakal diterbitkan oleh MIG Productions Sdn. Bhd. itu merupakan adaptasi daripada buku tulisan Linda sendiri bertajuk Menunggumu Di Pintu Syurga yang diterbitkan pada 2014.

“Sebenarnya sudah lama saya pendam hasrat untuk membawa kisah Memen ke kaca televisyen kerana mahu berkongsi pengalaman berdepan dengan kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba.

“Niat saya bukan hendak meraih simpati, tetapi mahu membantu peminat di luar sana yang mungkin berdepan perkara sama namun buntu bagaimana hendak mengatasi rasa murung dan hiba,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Laku Mall di The Gardens, baru-baru ini.

Walaupun idea untuk menghasilkan drama itu masih dalam peringkat perbincangan namun, Linda berharap ia akan direalisasikan dalam masa terdekat kerana dia benar-benar mahu berkongsi kisahnya dengan peminat untuk dijadikan sebagai pengajaran.

Reda

Menurut isteri kepada pelakon Syed Aiman ini, dia juga banyak kali dituduh tidak reda dan masih belum meneruskan kehidupan apabila sering memuat naik gambar atau video arwah dalam laman sosialnya.

Namun, wanita berusia 39 tahun ini tidak ambil peduli tentang kritikan negatif yang dilemparkan kerana di sebalik kutukan yang diterima, terdapat ramai peminat yang pernah kehilangan anak saling memberi semangat kepadanya.

Kata Linda, mereka yang memberikan komen negatif tidak tahu bagaimana perasaan kehilangan anak dan setiap kenyataannya dalam laman sosial yang bercerita tentang kenangan bersama Memen adalah caranya meluahkan perasaan rindu.

“Saya sudah lama reda dengan pemergian Memen kerana tahu dia anak syurga, yang terpilih dan bahagia di sisi-Nya sekarang.

“Bagi mengurangkan cakap-cakap orang yang mengatakan saya masih meratapi kematian Memen, saya telah kurangkan jumlah lawatan ke kuburnya selang dua atau tiga minggu sekali berbanding setiap minggu sebelum ini,” katanya lagi.


RAKAMAN kenangan Linda bersama arwah Memen masih segar dalam ingatan.

Sederhana

Sementara itu bercakap tentang persiapan raya, Linda berkata selepas pemergian Memen, mereka sekeluarga lebih bersederhana dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Tambahnya, memandangkan Memen meninggal dunia dalam bulan Ramadan, maka perasaan untuk beraya juga sudah berkurangan dan tidak segirang dahulu.

Anak-anaknya yang lain juga sering menyatakan rindu kepada Memen setiap kali menjelang Ramadan dan itu menambahkan lagi rasa sebak dalam hati Linda.

“Masih terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang wajah Memen setiap kali Ramadan tiba walaupun sudah tiga tahun dia pergi meninggalkan saya.

“Bagi saya dan suami, persiapan untuk menyambut Aidilfitri lebih banyak ditumpukan kepada anak-anak iaitu Syed Rezaqiib, 9, Syed Rezariiq, 5, Syed Rezaliif, 1 dan Rezaril Keiflin, 17,” ujarnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post