Bazli UNIC, Syawal tanpa Syahid


LUMRAH kehidupan sebagai seorang manusia pastinya tidak terlepas daripada ujian Allah. Bagi salah seorang anggota kumpulan nasyid Unic, Bazli Hazwan Che Osman, sambutan Syawal tahun ini membawa seribu satu perubahan dalam keluarganya.

Diuji dengan pemergian anak kesayangan, Muhammad Syahid pada 12 Ramadan lalu akibat kanser limfoma, Bazli reda meneruskan kehidupan bersama isteri, Asiah Abu Bakar dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Affan berusia satu tahun.

"Tahun ini merupakan Syawal pertama kami sekeluarga menerima dugaan dengan pemergian anak. Jika sebelum ini kami banyak menonton di televisyen tentang kematian yang berlaku tetapi tahun ini Allah menguji kami pula.

"Tidak mengapa, sebagai manusia memang tidak akan pernah lari daripada ujian. Saya anggap ia sebagai motivasi dan tanda Allah sayangkan kami sekeluarga," ujar Bazli memulakan bicara.

Petanda


KENANGAN INDAH: Kenangan indah bersama arwah Muhammad Syahid akan disimpan dengan rapi oleh Bazli dan keluarga.

Ditemui di kediamannya yang terletak di Sungai Buloh, Selangor sempena sesi fotografi istimewa Aidilfitri bersama Kosmo! baru-baru ini, riak lelaki berusia 33 tahun itu tampak begitu tenang.

Kongsi Bazli, segalanya masih segar dalam ingatan saat-saat akhir pemergian anak kecil kesayangannya yang baru berusia tiga tahun itu.

"Tidak banyak yang boleh dituturkan Syahid kerana anak saya merupakan penghidap penyakit autisme. Bagaimanapun, pada pagi sebelum dia pergi, Syahid meminta air daripada saya.

"Selepas minum, dia terus senyap. Syahid bernafas melalui mulut tetapi ketika itu saya dapat rasakan nafas dan degupan jantungnya semakin lemah.

"Segalanya terlalu pantas, namun sebagai bapa saya sudah bersedia dari segi mental berdepan sebarang kemungkinan. Bahkan beberapa hari sebelum dia pergi, hati saya telah digerakkan dengan beberapa kejadian," ujarnya.

Terus rancak berbicara, Bazli memberitahu, semuanya bagaikan kebetulan apabila dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang juga mempunyai sejarah kematian anak akibat penyakit kanser.

Malah, tiga hari sebelum pemergian Syahid, dia bersyukur kerana dapat berkumpul bersama keluarganya menemani dan menggembirakan anak sulungnya itu di Hospital Kuala Lumpur.

"Kejadian ini berlaku 10 hari sebelum Syahid meninggal dunia. Ketika itu sinki di rumah saya rosak. Secara kebetulan tukang paip yang datang itu sempat berkongsi pengalaman pemergian anaknya akibat kanser usus.

"Pada malam sebelum Syahid pergi, saya dan Asiah tergerak hati untuk mengemas semua barangan Syahid kerana sudah empat bulan berada di hospital. Keesokan hari, apabila Syahid sudah tiada, barangan yang harus dikemas tinggal sedikit sahaja," tuturnya dalam keadaan tenang.

Kenangan


UNDANGAN: Bazli sering diundang untuk memberi motivasi kepada anak-anak yang menghidap kanser.

Dalam pada itu, isteri Bazli, Asiah yang setia berada di sisi ditanya tentang ketabahannya sebagai ibu saat menghadapi pemergian insan bergelar anak.

Sambil mengukir senyuman, ibu muda berusia 27 tahun itu mengakui reda kerana tidak mahu melihat penderitaan Syahid selama enam bulan bertarung dengan kanser yang melibatkan sel-sel tisu limfa itu.

"Melihat penderitaan Syahid sejak bulan 12 pada tahun lalu, hati saya menjadi pilu. Syahid merupakan anak yang manja, saya tidak mahu lagi dia menghadapi derita itu. Sebagai seorang ibu saya reda dengan pemergiannya," katanya ringkas.

Bagaikan memahami perasaan Asiah, Bazli lantas menggenggam erat tangan isterinya. Sebagai ketua keluarga, Bazli berkata, dia harus bijak menguruskan emosi dan kesedihan.

"Sebenarnya, kami menangis. Siapa yang mahukan anak meninggal dunia? Bagaimanapun, kami harus kuat menguruskan emosi. Kehidupan perlu diteruskan kerana kami masih mempunyai Affan, sampai bila kami harus meratap kesedihan ini.

"Semua barang permainan dan pakaian Syahid saya sudah sedekahkan kepada orang lain. Segala video kesakitannya juga telah dipadam dan hanya tinggal video semasa dia sihat.

"Saya dan Asiah sepakat mahu mengingati perkara yang indah sahaja tentang Syahid. Selebihnya biarlah ia disemat kemas dalam fikiran dan dititipkan melalui doa," terangnya panjang lebar.

Bercuti


RESIPI: Bazli sering menerapkan permuafakatan antara dirinya dan isteri. Malah, dia turut menghormati tugas dan tanggungjawab isterinya sebagai seorang suri rumah.

Diajak bercerita tentang sambutan Syawal, Bazli berkata, tahun ini mereka sekeluarga bertukar angin dan akan bercuti di Terengganu.

"Syawal pertama, saya akan meraikan Syahid. Selepas menziarahi kuburnya, kami akan pulang ke Segamat, Johor untuk menyambut Syawal dengan saudara-mara.

"Selepas itu kami akan bercuti di Terengganu. Di samping mengambil peluang melawat saudara di sana, kami juga akan ke pulau untuk menenangkan fikiran," kongsinya teruja.

Tambah Bazli, percutian tersebut merupakan hadiah buat mereka sekeluarga selepas hampir setengah tahun berkampung di hospital.

"Saya sudah membawa Asiah berjumpa keluarganya di Kedah sebelum Syawal, jadi kami hanya pulang ke rumah atok saya sahaja.

"Memang rancangan ingin bercuti ini sudah lama. Pada saya, setelah hampir setengah tahun hidup di hospital, sudah tiba masanya untuk kami memulihkan semula semangat," katanya seraya menggulung bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post