DUIT RAYA: Saleha berkata, dia suka memberikan duit raya kepada kanak-kanak kerana ia akan menggembirakan mereka. Tidak mempunyai jumlah tertentu untuk duit raya, apa yang penting setiap pemberiannya ikhlas dari hati.
Di sebalik keseronokan menyambut lebaran pada tahun ini, pelakon berkulit putih mulus, Siti Saleha berdedar-debar menghitung hari menamatkan status bergelar wanita bujang.
Bakal mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, Lutfi Azhar, 31, pada tanggal 28 Julai akan datang, pemilik nama Siti Saleha Mohd. Baharom itu mengakui perasaannya meraikan Aidilfitri tahun ini agak bercampur baur.
Bukan sahaja ia merupakan kali terakhir menyambut hari raya sebelum memegang gelaran sebagai isteri orang, ketibaan lebaran juga menjadi penanda aras hari bahagianya sudah hampir tiba selepas 10 bulan mengikat tali pertunangan.
"Sambutan raya kali ini seperti panggilan awal untuk membangkitkan saya betapa cepatnya masa berlalu dan hanya tinggal sebulan lagi sebelum melangsungkan perkahwinan.
"Apa yang saya boleh katakan, perasaan gembira dan terharu itu bercampur menjadi satu, sekali gus menjadikan lebaran tahun ini lebih istimewa," katanya kepada Kosmo! dalam satu temu bual bagi edisi Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Tambah pelakon 7 Hari Mencintaimu itu lagi, persiapan majlis perkahwinannya tidak menjejaskan sambutan lebaran. Ia berikutan dia dan Lutfi menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat perunding perkahwinan bagi melancarkan hari bahagianya.
Saleha juga berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan hari raya dilakukan pada skala sederhana dan memberi tumpuan meluangkan masa bersama keluarga di pagi Syawal.
Rindu
ZIARAH: Di pagi raya selepas satu keluarga bersalaman bermaafan, Saleha akan menziarahi rumah pak cik dan mak cik yang tinggal di sekitar Klang, Bangsar dan Hulu Langat sehingga pukul 2 atau 3 pagi.
Bercakap tentang kenangan sambutan hari raya, wanita berusia 27 tahun itu menyatakan, dia sangat merindui suasana Aidilfitri sewaktu masih kecil dan tidak mempunyai masalah untuk difikirkan.
Walaupun dia tidak mempunyai kampung halaman dan hanya menyambut di ibu kota, Saleha berkata, kunjungan sanak-saudara di pagi raya memahatkan kenangan tersendiri buat dirinya.
Sewaktu masih kecil, adik-beradik bapanya seramai 14 orang akan berkumpul di rumah mereka di Klang, Selangor.
Namun begitu, dalam beberapa tahun ini, kebanyakan daripada ibu dan bapa saudaranya sudah berhijrah ke luar negara, sekali gus menyukarkan bagi mereka untuk bersua muka walaupun cuma setahun sekali.
"Secara peribadi, saya berpandangan hari raya ini lebih dinikmati oleh kanak-kanak yang sedang mencipta memori tersendiri dalam meniti usia dewasa seperti mana saya rasakan suatu ketika dahulu.
"Apabila sudah meningkat usia, saya tidak terlalu mementingkan apa yang perlu dipakai atau mahu beraya di mana kerana selagi saya boleh menyambutnya dengan keluarga, itu sudah cukup memadai," jelasnya sambil tertawa kecil.
Aktiviti
SERONOK: Walaupun tidak mempunyai halaman kampung, Saleha seronok beraya di Kuala Lumpur kerana hampir seluruh warga kota pulang beraya dan menjadikan jalan raya lengang dan tidak sesak.
Sama seperti orang lain, adik kepada Sam Bunkface itu juga menggunakan kesempatan sempena hari raya untuk menziarahi sahabat handai dan keluarga terdekat sementara mempunyai waktu cuti daripada dunia seni.
Bagi tahun ini, Saleha tidak mempunyai perancangan bercuti ke mana-mana, malah akan berada di sekitar Kuala Lumpur untuk beraya.
Menganggap raya merupakan waktu bersama keluarga, dia berkata, minggu pertama raya dipenuhi dengan aktiviti yang kunjung-mengunjungi sebelum kembali bekerja pada minggu kedua.
Tatkala diusik adakah tahun ini dia akan menyediakan hidangan istimewa buat tunang tersayang, wanita kacukan Inggeris-Melayu itu hanya mampu melepaskan tawa kecil.
"Saya suka makan rendang dan ketupat tapi masih dalam proses belajar memasak hidangan wajib raya ini.
"Berkenaan niat memasak untuk Lutfi, mungkin tahun ini belum lagi tetapi Insya-Allah apabila beraya tahun hadapan sebagai isteri, saya pasti akan menyediakan sajian yang diinginkan suami," katanya menutup perbualan.