Syawal bermakna Zizan Razak, Fasha Sandha, Khai Bahar, Aliff Syukri


Biarpun keempat-empat figura popular ini terlalu sibuk dengan jadual kerja masing-masing, namun mereka sudi meluangkan masa sempena sesi fotografi sempena Aidilfitri.

Riuh seketika Raw Studio yang terletak di Midfields, Kuala Lumpur itu dengan kehadiran empat figura popular, Zizan Razak, Fasha Sandha, Khai Bahar dan Datuk Aliff Syukri.

Baik pelakon jelita Fasha, penyanyi lelaki popular, Khai, pelakon, pengacara dan pelawak popular, Zizan, juga usahawan glamor, Aliff, masing-masing akhirnya terpaut pada satu tali cerita yang sama - Lebaran.

Aliff misalnya, sempat berseloroh memberitahu, dia teruja bergandingan dengan tiga artis popular sempena fotografi raya, sementelahan dia daripada liga berbeza.

Zizan pula sempat mengusik Fasha apabila memakai baju raya warna hijau sedondon dengannya dan akhirnya aktor Polis Evo itu pula yang tersipu-sipu malu bila Fasha menyebut tentang Mira Filzah.

Buat Khai, dia cuba mencari rentak menyesuaikan diri dengan tiga otai daripada tiga bidang itu. Namun, dia mula menunjukkan keselesaan apabila Aliff mengambil kesempatan mengambil gambar swafoto bersamanya dan Fasha pula memberi sedikit nasihat sebagai senior untuk kelangsungan karier seni pelantun lagu Bayang itu.

Kemeriahan raya mula terasa – Fasha

Menggemari kuih semperit dan batang buruk setiap kali Syawal menjelma, Fasha saat ditanya tentang definisi raya memberi satu penjelasan tanpa huraian yang panjang. Syawal adalah hari mulia yang mana seluruh keluarga akan bersatu dan bermaaf-maafan.

“Saya sendiri memang suka setiap kali Syawal menjelma sebab dalam kesibukan kita bekerja selama ini, apabila Syawal tiba pasti kita akan berjumpa,” katanya yang jelita dalam balutan busana Innai Red.

Tahun kedua beraya sebagai ibu tunggal, Fasha mula meraih sinar bahagia dalam sambutan lebarannya pada tahun ini.

“Tahun lepas merupakan satu episod duka buat saya sebab ia merupakan tahun pertama saya beraya sebagai ibu tunggal.

“Tahun ini, tahun kedua saya beraya sebagai ibu tunggal dan mungkin kemeriahan raya itu mula terasa. Tahun lepas, saya kurang merasainya sebab masih dalam kesedihan beraya tanpa suami buat pertama kalinya. Jadi masa itu rasa satu kehilangan,” ujar Fasha berterus terang.

Semakin menyesuaikan diri dan tenang hidup bertiga bersama dua permata comelnya, Putra Rayfal serta Raysha Jemyma, Fasha bagaimanapun tidak pernah menghalang bekas suaminya, Jejai daripada bertemu dengan anak-anaknya.

“Anak-anak akan beraya dengan saya dahulu. Bagaimanapun, saya tidak akan menghalang bekas suami untuk berjumpa anak-anak. Cuma tidak pasti lagi raya ke berapa. Mungkin seminggu selepas raya.

“Itupun kalau saya dapat cuti panjang, saya akan duduk di kampung di sebelah ibu di Perlis selama seminggu,” jelasnya yang akan mengutamakan keperluan anak-anak di hari raya tambahan pula Rayfal kini sudah semakin matang memahami dan merasai nikmat hari raya.

Khai buat rumah terbuka

Beroleh rezeki memenangi dua anugerah pada Anugerah Bintang Popular dan menerima jemputan nyanyian yang tidak putus-putus membuatkan penyanyi yang dicungkil bakatnya melalui aplikasi Smule itu ingin berkongsi rezeki dengan mereka yang menyokong karier seninya selama ini.

Maka, buat pertama kalinya Khai akan mengadakan rumah terbuka buat peminat-peminat di kampung kelahirannya di Kangar, Perlis.

“Tahun ini rezeki lebih berpihak kepada saya. Jadi saya ingin kongsikan rezeki yang saya peroleh ini dengan peminat,” luahnya yang akan menyediakan peruntukan lebih untuk raya kali ini.

Mengakui sambutan raya sangat bermakna baginya, Khai akan memperuntukkan masa bujangnya dengan membantu ibu di malam raya.

“Kalau nak tahu, setiap kali raya, tugas saya adalah memasang langsir di rumah emak. Sementara adik-beradik perempuan pula akan membantu emak memasak dan membuat kuih raya,” ujar anak keempat daripada enam beradik itu sambil ketawa.

Zizan beraya di Mekah

Saat ini Zizan masih berada di Tanah Suci Mekah, menyambut lebaran di sana. Syawal kedua esok baru dia berangkat pulang ke tanah air.

Rindu yang bertandang di hati untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci membuatkan pelawak berusia 33 tahun itu mengambil keputusan untuk menyambut raya di Mekah buat kali kedua.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk ke sana, tetapi tiba-tiba kerinduan untuk berpuasa dan beraya di Tanah Suci muncul di benak fikiran.

“Di sana, saya rasa lebih tenang ditambah pula apa yang kita buat itu pahala. Jadi, saya rasa itu antara ruang dan peluang untuk saya dekatkan diri dengan Allah,” ujarnya yang mengakui tidak puas beraya dan beribadat di Tanah Suci pada tahun lalu dan mahu meraihnya pada tahun ini.

“Insya-Allah, jika ada rezeki saya mahu membawa emak dan satu keluarga beraya di sana,” getus Zizan yang ke Tanah Suci seorang diri.

Jubah tidur di hari

raya – Aliff

Menerima berita duka, pembantu rumahnya mencuri, tatkala menjelang Syawal, pastinya terdetik di hati bagaimanakah sambutan raya usahawan berjaya itu.

Ironinya, kemewahan yang dikecapi Aliff tidak bererti lelaki berusia 30 itu memilih untuk memakai busana mewah di pagi Syawal.

“Saya bukanlah seorang yang suka bergaya 24 jam. Orang beranggapan raya saya mesti seronok seperti yang dipaparkan di media sosial dan sebagainya.

“Hakikatnya, pada hari raya saya lebih selesa mengenakan jubah tidur dan baju-T sahaja. Masa itu saya nak bebas bergerak. Baju Melayu saya hanya pakai bagi tujuan menghadiri majlis atau sesi fotografi,” jelasnya.

Berkongsi aktivitinya di pagi raya, Aliff memberitahu, dia dan adik-beradik lain akan beratur untuk bersalaman dengan ibu dan bapa tirinya.

“Saya seorang anak yang menjengkelkan jadi bila hari raya saya akan minta maaf bersungguh-sungguh dengan emak.

“Ketika itu juga emak akan mengungkit segala kesalahan kami adik-beradik sepanjang tahun ini,” ujarnya sambil menghambur tawa.

Pada masa sama, momen raya ketika kecil mula menjentik Aliff tatkala mengenangkan emak dan bapanya telah bercerai sejak dia di sekolah tadika lagi. Maka, tiada momen berkumpul bersama secara berdua.

Post a Comment

Previous Post Next Post