Ketiga-tiga artis muda tidak bercadang untuk bercuti panjang pada Aidilfitri tahun ini kerana terikat dengan jadual kerja.
Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Tajul Ariff merupakan tiga pendatang baharu yang mempunyai penangan mereka tersendiri. Masing-masing berjaya menempatkan diri dalam industri hiburan dengan lagu-lagu popular mereka.
Bahkan, tiga penyanyi ini juga punya cerita yang lebih kurang sama. Ini kerana, tahun ini merupakan lembaran pertama dalam kalendar hidup mereka menyambut Aidilfitri sebagai artis.
Semestinya, kedatangan Syawal kali ini memberi seribu makna dalam hidup masing-masing. Jika dahulu, mereka hanyalah sebagai insan biasa, namun, tahun ini mereka meraikan lebaran sebagai seorang individu yang dikenali.
Minggu ini, Sensasi Bintang menggabungkan tiga penyanyi di bawah label FMC Music itu untuk berkongsi cerita mengenai sambutan Syawal mereka kali ini.
Boleh kongsikan perayaan kalian sempena kedatangan Syawal kali ini memandangkan ia merupakan tahun pertama anda semua bergelar artis?
WANY HASRITA: Sebenarnya, kalau sebut pasal Aidilfitri ini sama sahaja setiap tahun. Cuma, tahun ini saya sudah bekerja dan bergelar penyanyi. Maka, secara tidak langsung, kalau nak cuti lama-lama pun tak dapatlah sebab terikat dengan jadual kerja. Ada tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.
TAJUL: Memandangkan tahun ini sudah bekerja, jadi secara tidak langsung dapat bantu keluarga untuk membeli keperluan untuk sambutan hari raya. Jadi, secara tidak langsung dapat meringankan beban. Kalau dahulu tidak ada orang nak ambil gambar, sekarang ini ramailah agaknya (seloroh).
HAQIEM RUSLI: Memang berbeza sedikitlah dengan tahun-tahun yang lepas. Tahun ini memang ramai yang beri ucapan raya memandangkan orang dah mula kenal saya. Sambutan Aidilfitri kali ini pun akan jadi lebih meriah.
Di manakah kalian menyambut Syawal kali ini?
WANY HASRITA: Tahun ini, saya kena kerja. Hari raya pertama saya berada di kediaman Perdana Menteri kerana terlibat dengan persembahan. Bagaimanapun, selepas itu saya akan pulang beraya di kampung yang terletak di Bagan Datok, Perak. Barulah dapat pusing-pusing beraya di rumah saudara-mara.
TAJUL: Saya menyambut raya di rumah keluarga di Seremban, Negeri Sembilan. Jadi, memang kami semua ahli keluarga berkumpul di sana.
HAQIEM RUSLI: Rumah keluarga saya di Hulu Langat, Selangor memang setiap tahun akan jadi tempat berhimpun keluarga besar. Adik-beradik emak ada 12 orang, jadi memang semua akan berkumpul di situ. Cuma, raya pertama nanti pun saya akan membuat persembahan bersama Wany Hasrita juga.
Apakah hidangan yang kalian tidak mahu lepaskan setiap kali menjelang hari lebaran?
WANY HASRITA: Rendang Tok dan kuah kacang. Itulah menu yang selalu saya cari di kampung nenek. Kalau air tangan mak sendiri, saya suka daging masak kari.
TAJUL: Saya pula suka menikmati juadah nasi impit bersama ayam masak rendang.
HAQIEM RUSLI: Rendang dan ayam masak merah merupakan juadah yang saya suka makan pada hari raya. Lebih-lebih lagi ia disediakan oleh nenek. Memang itulah jadi menu buruan.
Apakah memori raya sewaktu zaman kanak-kanak yang kalian masih ingat sehingga sekarang?
WANY HASRITA: Dahulu sewaktu opah ada, rumahnya akan jadi tempat berkumpul saudara-mara. Jadi, dapatlah bermain bersama-sama sepupu, tetapi momen itu sudah tidak ada lagi selepas opah meninggal dunia.
TAJUL: Sewaktu kecil dahulu suka pergi beraya dengan kawan-kawan yang lain, maklumlah nak kumpul duit raya. Sampaikan ada satu masa itu saya dikejar oleh dua ekor anjing. Memang lari lintang pukang, macam tak cukup tanah nak selamatkan diri.
HAQIEM RUSLI: Sewaktu kecil pernah nak main mercun, tiba-tiba ada mercun lain yang meluru datang meletup di kawasan rumah. Nasib baik tak kena, tetapi sekarang ini dah besar tidak ada lagi nak main mercun.
Difahamkan kalian juga mempunyai lagu Aidilfitri yang sudah diterbitkan. Boleh kongsikan mengenainya?
WANY HASRITA: Lagu itu dinyanyikan oleh beberapa artis FMC Music yang lain. Selain kami bertiga, lagu tersebut juga dinyanyikan oleh Syed Shamim, Ernie Zakri dan Wani juga.
TAJUL: Lagu tersebut diberi judul Lebaran Terindah yang dihasilkan oleh komposer Ibnu dan Gouffran.
HAQIEM RUSLI: Lagu itu juga akan mempunyai versi akustik yang kita sudah rakamkan khas buat peminat-peminat yang mengikuti kami. Buat masa ini, saya belum ada lagi menghasilkan lagu-lagu raya kerana itu bukan kepakaran saya.
Boleh kongsikan mengenai perkembangan terbaharu kalian kepada pembaca di luar sana?
WANY HASRITA: Saya kini dalam proses menghasilkan single kedua pula. Merancang untuk terbitkan album mini pada tahun ini. Buat masa ini, ada dua lagu balada, manakala satu lagu lagi bergenre tradisional yang dihasilkan oleh Pak Ngah.
TAJUL: Saya juga akan keluar dengan single baharu yang dihasilkan oleh komposer Harry Khalifah. Lagu itu lebih kurang sama muziknya dengan single pertama saya iaitu Sedalam Dalam Rindu.
HAQIEM RUSLI: Sekarang, saya banyak terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir dalam menghasilkan lagu-lagu untuk penyanyi lain. Antaranya ialah lagu untuk penyanyi Irfan Haris dan Putra Band. Saya pun merancang untuk keluar dengan album mini pada penghujung tahun ini.