JUADAH rendang daging masak hitam sememangnya dinanti-nantikan Mira pada pagi Syawal.
SEPERTI MANA naifnya Mira Filzah di kaca televisyen, begitu jugalah dirinya dalam kehidupan sebenar. Cukup sukar untuk mengorek sebarang rahsia daripada pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, terutamanya ketika mengimbau memori terindah meraikan Aidilfitri pada zaman kanak-kanak.
“Saya masih Mira Filzah yang sama. Ramai kata saya budak baik semasa kanak-kanak, ponteng puasa pun tidak pernah.
“Cuma sejujurnya, saya memang pernah bermain mercun dan bunga api ketika kecil, itu saja,” ungkapnya melentur tawa di bibir kepada Sensasi Bintang.
Menganggap Syawal kali ini tiada bezanya berbanding sebelum bergelar selebriti, Mira bagaimanapun menyifatkan dirinya lebih tenang menyambut lebaran pada tahun ini.
“Saya cukup sibuk bekerja pada tahun lepas sehingga sukar untuk berbuka puasa bersama keluarga.
“Tahun ini lebih tenang memandangkan saya cuma menjalani penggambaran drama pada minggu pertama Ramadan, selebihnya sekadar menghadiri majlis iftar dan sebagainya,” ceritanya lagi.
Getus Mira, persiapan menjelang Aidilfitri pada tahun ini juga memang disediakan oleh ibu sejak sebelum bergelar artis dan tiada sebarang perubahan ketara apabila mereka sekeluarga akan pulang beraya ke kampung halaman di Ipoh, Perak pada saban tahun.
“Saya cuma memikirkan baju raya, selebihnya sudah disediakan ibu, sementara nenek pula cukup sibuk menyiapkan kuih-muih.
“Cuma pada masa sama, saya cukup teruja untuk memasak juadah Aidilfitiri beramai-ramai bersama keluarga setiap kali malam raya,” jelasnya.
Mira memberitahu, Aidilfitri juga disifatkan cukup istimewa buat dirinya sekeluarga meskipun cuma datang setahun sekali.
Ini kerana, menurutnya, Aidilfitri saja masa untuknya berhimpun bersama seluruh keluarga lantaran berdepan jadual karier yang cukup padat.
“Kedua-dua ibu bapa juga masih bekerja, jadi hanya raya kami boleh berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara di kampung ketika raya.
“Bukan apa, kami amat jarang berhimpun beramai-ramai pada waktu biasa, sudah tentu ia suatu pengalaman yang cukup istimewa,” ujarnya seraya menoktah bicara.