Roti jala air tangan Elfira Loy


Pelakon berusia 23 tahun ini banyak menerima undangan berceramah di kolej, universiti dan syarikat swasta.

Setiap tahun, Aidilfitri akan membuahkan pelbagai rasa buat empunya nama, Elfira Loy. Masakan tidak, ketika itu keluarganya akan merasai masakan roti jala air tangan pelakon yang kini sedang intim dengan penyanyi Sufian Suhaimi itu.

“Saya tidak tahu kenapa famili sangat menyukai roti jala yang saya buat. Fikir saya, mungkin kerana bentuk roti jala yang saya buat itu kecil dan comel. Tambahan pula, ketika raya sahaja mereka dapat menjamah roti jala yang saya buat. Kalau tidak raya saya tidak mahu buat kerana ia leceh dan susah,” ujar Elfira sambil tertawa manja.

Sudah menjadi kebiasaan buat Elfira sekeluarga untuk balik beraya di kampung sebelah ibunya di Sungai Petani, Kedah dan melakukan aktiviti memasak juadah raya beramai-ramai.

“Kampung di sebelah emak sahaja yang tinggal. Di sana (Sungai Petani) masih ada nenek dan saudara-mara.

“Walau sibuk bekerja macam mana sekalipun, kami sekeluarga kena balik sehari sebelum raya untuk membantu buat persiapan raya.

“Cuma tahun lepas kami tidak sempat pulang awal dan tidak dapat merasai suasana masak-masak bersama,” jelas pelakon berusia 23 tahun itu yang ditugaskan untuk membeli sate untuk dibakar dan biskut raya.

Menggemari ketupat palas kacang soya dan rendang daging sebagai santapan juadah di pagi raya, menurut Elfira, aktivitinya sepanjang raya pertama adalah mengerjakan solat sunat raya, makan dan kemudiannya tidur.

“Setiap tahun aktiviti raya saya selepas solat dan makan, kami adik-beradik akan tidur. Bukan apa, sebab badan sudah penat memasak dan mengemas untuk persediaan raya. Pada sebelah petang pula, saudara-mara akan datang beraya di rumah nenek dan kami juga akan ke rumah mereka selepas itu,” ujarnya yang akan memperuntukkan sebahagian duit raya kepada neneknya untuk diagih-agihkan kepada tetamu yang datang.

Disoal sama ada dia akan beraya di rumah Sufian pada tahun ini atau lelaki itu akan datang beraya di rumahnya, ini jawapan Elfira.

“Keluarga saya jenis yang mengikut tradisi. Maknanya, jika tiada apa-apa ikatan tidak boleh sewenang-wenangnya pergi ke rumah lelaki.

“Kalau bertemu pun kemungkinan masa merisik nanti,” ujar Elfira penuh makna.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 23, memberitahu, bagaimanapun dia pernah bertemu dengan ibu Sufian. Begitu juga Sufian yang sudah bertemu ibunya.

Dalam perkembangan lain, Elfira bersyukur rezeki dalam bidang pengacaraan semakin banyak dan dia merancang untuk mendalami ilmu pengacaraan dengan pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi.

“Alhamdulillah, selain masih mengacarakan program Assalamualaikum untuk siaran televisyen Al Hijrah, selepas raya saya akan ke Australia mengacarakan sebuah dokumentari,” jelasnya.

Selain itu, Elfira juga banyak menerima tawaran untuk menjadi penceramah di kolej, universiti atau syarikat mengenai kariernya sebagai pelakon dan juga seorang usahawan.

Post a Comment

Previous Post Next Post