KISAH BENAR - Kebanyakan naskhah miliknya adalah kisah benar kerana beliau percaya karya sebegitu sudah mempunyai plot yang cantik tersusun dan dekat dengan penonton.
Sebut sahaja sepotong nama Sabri Yunus, lantas perkara pertama terpateri dalam fikiran merupakan jenaka dan dialek pekat Kelantan dipertuturkan figura tersebut.
Berjaya menggeletek hati peminat dengan aksi komedi bersahaja namun tetap berpaksikan negeri kelahirannya Kelantan, sudah cukup membuatkan nama Sabri terus kekal melekat selama 32 tahun dalam gelanggang seni tanah air.
Lelaki dengan sosok sedikit gempal, berkepala botak dan kelihatan serius itu memacak karier seninya sebagai pelakon teater pada 1984.
Lamanya usia yang digendong Sabri membuat revolusi seni yang dilalui lelaki berusia 55 tahun ini cukup hebat.
Adat menjadi anak seni, pasang surut tetap perlu diredah Sabri. Puas berlakon teater, beliau kemudian mengubah angin menjadi pelakon dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Pun begitu, kerjaya seninya merudum secara tiba-tiba sejak pemergian isteri tercinta, Norryana Yusof pada tahun 2006 akibat penyakit kanser.
Empat tahun menyepi daripada sebarang aktiviti seni, Sabri akhirnya bangkit melawan segala kesedihan dan menyambung semula kecintaannya yang tertangguh.
Ternyata kebangkitannya pada waktu itu bukanlah untuk dipersiakan, Sabri terus mengorak langkah menjadi pengarah drama, namun dalam masa sama masih meneruskan kerjaya lakonan.
Kini, setelah lima tahun menimba ilmu duduk di kerusi pengarah drama, figura serba boleh ini sekali lagi melakar kejayaan dalam profil hidupnya dengan menjadi pengarah filem menerusi naskhah sulungnya, Dukun Doktor Dani.
“Saya bermula daripada bawah iaitu menerusi teater kemudian merangkak naik sebagai pelakon sitkom. Mencecah usia genap 50 tahun, saya menjadi pengarah drama.
“Alhamdulillah, semua drama arahan saya diterima dengan baik oleh penonton dan setelah itu baru saya mendapat peluang mengarah filem,” ujarnya mesra membuka bicara.
Biarpun bergelar pengarah filem dalam usia agak lewat jika dibandingkan kehadiran ramai pengarah muda lain, namun sambil tertawa Sabri optimis menggolongkan dirinya juga sebagai pengarah ‘muda’.
Ujarnya, definisi ‘muda’ tersebut merujuk kepada dirinya yang masih baharu dalam bidang pengarahan. Malah, Sabri turut menyifatkan tempoh lima tahun adalah waktu yang cepat buatnya apabila berjaya bergelar sutradara filem.
“Sebenarnya bukan senang untuk terus bermula dengan pengarahan filem. Hendak melangkah daripada drama ke filem merupakan satu kerja berbeza. Disebabkan itu, saya menjadi pengarah drama terlebih dahulu selama lima tahun.
“Ketika mengarah, saya juga masih mengasah pemikiran melalui menonton dan berkawan dengan karyawan ternama bertujuan menimba ilmu daripada mereka.
“Antara rakan yang selalu memberi bimbingan dan nasihat kepada saya ialah Tan Sri Johan Jaafar, Dekan Fakulti Penulisan Kreatif Aswara, Zakaria Ariffin dan sutradara terkenal, Othman Hafsham serta U-Wei Asaari,” ceritanya panjang lebar.
Perjuangan
Masih bercerita soal karyanya, tidak keterlaluan jika Sabri dikategorikan sebagai salah seorang seniman rakyat yang begitu sinonim memperjuangkan seni budaya tradisional unik negeri asalnya.
Bermula zaman Santan Berlada, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Salam Pantai Timur sehingga rancangan Karoot Komedia X, perjuangan seni Sabri merupakan pencapaian membanggakan apabila diterima baik penonton.
Ditanya mengapa memilih memperjuangkan budaya dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu, balasnya:
“Saya dibesarkan dalam suasana budaya Kelantan, jadi sudah tentu ia merupakan budaya yang sangat penting dalam hidup saya. Apabila industri semakin meluas, saya harus mencari satu bahan asli untuk diangkat. Jika saya tidak berbuat seperti itu, agak sukar menembusi kekuatan rakan lain.
“Malah, kesedaran untuk memperjuangkan seni tradisional ini ke pentas yang lebih besar begitu dirasai apabila berada di Kuala Lumpur. Saya memperjuangkan seni budaya Kelantan kerana rasa cinta dan tanggungjawab,” jelas Sabri.
Tambahnya lagi, walaupun pernah dikritik kerana menghilangkan keaslian dikir barat dalam rancangan Karoot Komedia X, namun jelasnya, sebagai anak seni, dia mempunyai pandangan tersendiri.
“Sebenarnya dikir barat bukan lagi tradisional. Jika difikirkan dikir barat merupakan penceritaan tentang isu semasa yang sesuai untuk didikirkan. Bagaimanapun, ia dilihat seperti tradisional kerana meminjam peralatan muzik daripada seni Mak Yong dan wayang kulit.
“Disebabkan saya sayang kepada budaya, jadi saya bebaskan dikir barat supaya ia dapat kekal dan sesuai dengan keadaan semasa. Jika kita tidak menjaganya, kemungkinan besar dikir barat akan hilang dari Kelantan. Sebenarnya, ada banyak lagi seni budaya yang ingin diperjuangkan, bagaimanapun dalam kerancakan itu saya selalu mengingatkan diri agar tetap menjaga kualitinya,” katanya lagi.
Keluarga
Beralih bicara soal keluarga, sejak pemergian isteri tercinta, Sabri membesarkan ketiga-tiga cahaya matanya sendiri.
Anak pertama beliau, Saidi, 25, kini mengikut jejak langkahnya dalam dunia lakonan. Saidi merupakan antara salah seorang pelakon yang memegang watak Jiman dalam filem Dukun Doktor Dani yang mula ditayangkan sejak 28 Julai lepas.
“Ini merupakan filem pertama lakonan Saidi. Pada mulanya saya tidak sedar akan minatnya terhadap dunia lakonan kerana Saidi sendiri tidak pernah memberitahu. Bagaimanapun, setelah mengetahui minatnya saya melatih dia sedikit demi sedikit dengan bermula sebagai watak pembantu dalam beberapa drama dahulu.
“Dua lagi puteri saya iaitu Syamimi, 23, dan Syazmi, 21, kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa,” kongsinya seraya menggulung bicara.