NAMA Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan FBI, sememangnya antara penyampai radio popular suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun selepas meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio hampir tiga tahun lalu, Faizal tidak pernah menyesali keputusannya itu.
Lebih-lebih lagi, dia kini menjadikan bidang perniagaan sebagai pilihan utama.
Dalam masa yang sama, Faizal turut sibuk memenuhi pelbagai undangan sebagai pengacara menerusi syarikatnya FBI Entertainment Sdn Bhd.
Tidak terhad setakat itu sahaja, Faizal mengembangkan sayap dan menyertai dunia penerbitan sebagai penerbit dua program untuk siaran stesen televisyen Astro.
“Skop perniagaan syarikat kini lebih luas, daripada mengendalikan sesebuah acara, kini kami sedang menghasilkan dua rancangan untuk televisyen.
“Program yang diterbitkan ialah rancangan masakan, Masaklah Kau dan disusuli sebuah rancangan realiti pertandingan yang bakal diumumkan kelak.
"Sekarang saya sedang giat menyiapkan kesemua 13 episod bagi rancangan Masaklah Kau yang sedang bersiaran di Astro Prima.
“Saya tidak kisah walau terpaksa berdepan cabaran dan persaingan sihat, saya dapat merealisasikan kedua-dua produk ini dengan sokongan kru berpengalaman. Ini juga permulaan yang baik untuk saya," katanya kepada Zass.
Mengakui bahawa tanggungjawab sebagai penerbit sememangnya sukar, namun bagi Faizal ia amat menyeronokkan kerana rezeki yang diterima adalah hasil dari idea, penat lelah diri serta bantuan pekerjanya.
“Jujur saya rasa gembira kerana dapat merealisasikan impian menerbitkan program TV sendiri seperti yang saya mahu sejak dulu lagi.
“Semua ini bukan mudah kerana kita perlu menyediakan bajet secukupnya bagi menghasilkan produk yang bagus, selain mempunyai ‘faktor wow’ untuk memastikan idea dan tenaga yang dicurahkan diterima stesen TV,” katanya yang menyangkal kata-kata nakal bahawa pengalaman bekerja dengan pelbagai stesen televisyen memudahkan dia meraih slot tayangan.
Akuinya, walaupun pernah bekerja dengan pelbagai stesen televisyen, tidak bermakna mudah untuknya meraih slot atau menjual programnya tanpa bersandarkan kualiti.
“Saya melalui kesukaran yang sama seperti produksi lain, segala usaha dicurahkan bagi memastikan produk yang dipersembahkan adalah segar dan mampu meraih perhatian penonton,” katanya.
Bantu isteri
Tidak hanya terhad kepada bidang perniagaan sahaja, Faizal juga turut membantu isterinya, Nor Azlina Ahmad Din yang kini giat mengusahakan perniagaan makanan yang sedang dijalankan di atas talian (online).
“Sejak diperkenalkan pada Ramadan tahun lalu, menu ‘Daging Itam Manis FBI’ terus mendapat sambutan malah isteri tak menang tangan memenuhi tempahan yang dibuat melalui Instagram dan Facebook kami.
“Bermula dengan promosi untuk mereka yang mahu merasai kelazatan dan keistimewaan masakan hasil resipi keluarga isteri itu, permintaan yang diterima semakin banyak sehingga memberi idea untuk kami menjadikan ia sebagai satu produk yang berpotensi untuk dipasarkan secara lebih meluas.
“Secara purata kini, isteri saya perlu memasak 15 hingga 20 kilogram daging setiap hari malah dapur rumah sudah pun dibesarkan bagi memudahkan isteri menyiapkan tempahan,” katanya.
Tambah bapa kepada empat orang cahaya mata ini, walaupun mereka masih melalui proses belajar untuk mengembangkan perniagaan yang baru bermula, namun sokongan hebat yang diterima menguatkan semangat mereka.
Tumpang gembira
Sementara itu, di tanya perasaannya selepas bekas gandingannya ketika menjadi penyampai radio di Hot FM bagi slot AM Krew, Fara Fauzana akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, Faizal mengakui amat gembira dengan berita itu.
“Ketika bertugas bersama dulu, saya dan AG sering mengusiknya mengenai jodoh namun ia hanya gurauan bagi menceriakan suasana pagi dan tidak pernah terniat mencampuri urusan peribadinya atau sesiapa sahaja.
“Pengumuman yang dibuat Fara disambut dengan rasa syukur dan gembira kawan-kawan kerana akhirnya dia sendiri buka mulut nak kahwin, kalau ikut sejak lima enam tahun lepas dah cakap nak kahwin tapi kali ini baru betul.
“Saya dan keluarga mendoakan agar rumah tangga yang bakal dibina Fara dan pasangan akan kekal bahagia dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin," ujarnya.