Nor Aziah terkejut apabila menerima kunjungan penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza di rumahnya pada Ahad.
Penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membuat kejutan apabila muncul di rumah peminat setianya iaitu Nor Aziah Abdul Aziz, 46 di Taman Dahlia, Johor Baru, Johor pada pagi Ahad.
Siti, 37, berkata, perancangan untuk memberi kejutan kepada peminat setianya itu sudah lama tertangguh namun akhirnya terlaksana atas bantuan pengurusnya, Rozi Abdul Razak dan adik kepada Nor Aziah.
"Kak Aziah sendiri tidak tahu saya datang ke rumahnya dan perancangan untuk membuat kejutan kepadanya berjaya selepas adiknya sudah bersepakat dengan pengurus saya untuk menjadikan kejutan ini lebih bermakna.
Siti melihat koleksi poster dirinya yang ditampal di dalam bilik Nor Aziah.
"Terima kasih Mak Kak Aziah yang sudah bersusah payah masakkan nasi ambeng yang saya hendak sangat makan," kata Siti menerusi Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Siti berkata, ketika tiba dirumah Nor Aziah, wanita berkenaan berada di dalam bilik dan menjerit apabila melihat kelibatnya apabila pintu dibuka.
"Saat apabila Kak Aziah membuka pintu bilik terus terkejut sebab saya di hadapan pintu biliknya dan Kak Aziah menjerit dan menyorok dibelakang pintu bilik.
"Saya gembira sangat hari ini kerana dapat berkunjung ke rumah Kak Aziah," ujarnya.
Siti bergambar kenangan dengan keluarga Nor Aziah.
Pada lawatan itu, Siti juga terpegun dengan koleksi poster gambarnya yang memenuhi ruang bilik tidur dan ruang tamu.
Selain itu, Siti sempat menurunkan tanda tangan pada koleksi yang disimpan sejak 20 tahun lalu hingga kini sebagai tanda penghargaan buat Nor Aziah.
Sementara itu, Rozi menerusi kirim Whatsapp berkata, kehadiran penyanyi terkenal itu adalah bersempena meraikan Nor Aziah yang dipilih sebagai pemenang pertandingan Jurnal Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan baru-baru ini.
Siti menurunkan tanda tangan pada koleksi gambar Nor Aziah.
Kata Rozi, perancangan untuk hadir ke kediaman wanita berkenaan sudah lama dibuat namun kerana jadual Siti yang padat sejak akhir-akhir ini ia tergendala.
"Siti sudah lama hendak ke rumah Kak Aziah cuma jadualnya padat namun kebetulan dia ada program di Johor Baru jadi saya terus berhubung dengan adiknya untuk merancang kejutan itu.
"Alhamdulillah pagi ini (Ahad), Siti berpeluang menghabiskan masa untuk peminat tegarnya itu dan sebenarnya dikalangan peminatnya Kak Aziah memang dikenali sebagai peminat tegar Siti Nurhaliza.
"Semoga Kak Aziah dan keluarga gembira menerima kunjungan Siti," katanya.