Miller Khan tembusi pasaran K-Pop




Tempoh berkelana selama lebih sedekad di negara jiran Indonesia sudah cukup membuatkan graf karier pelakon tinggi lampai kelahiran Malaysia, Miller Khan berada pada posisi selesa.

Dalam tempoh tersebut, Miller menyifatkan kehadirannya di Indonesia diterima baik oleh peminat di sana. Sehingga kini, profil kariernya sudah terisi dengan lebih 20 buah filem, belasan siri sinetron selain pelantikan sebagai duta produk.

Di sebalik zon selesa yang dinikmati, pemilik nama lengkap Miller Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan itu bagaimana mengakui, sudah ‘lelah’ membintangi sinetron yang menuntutnya menghabiskan masa sangat panjang di lokasi penggambaran.

“Buat masa ini, saya berhenti ambil tawaran berlakon sinetron kerana merasakan sudah sampai had. Sejujurnya berlakon sinetron memang sangat memenatkan kerana penggambaran berjalan setiap hari dan mengambil masa panjang di lokasi.


“Saya tidak mahu menjadi tua di lokasi penggambaran. Tambahan pula, jalan cerita dan watak lebih kurang sama sahaja. Tiada pembaharuan yang saya belajar kerana semuanya hampir,” ujarnya yang sudah berlakon dalam lebih 2,000 episod untuk kesemua sinetron yang pernah dibintanginya.

Tidak ralat dengan tindakan tersebut, Miller bagaimanapun menganggap keputusan tersebut sebagai caranya membuka peluang kepada wajah baharu bawah agensi pengurusan miliknya, AM Management untuk menonjolkan bakat.

Agensi yang diusahakannya sejak setahun lalu kini memiliki seramai lapan orang artis baharu yang berbakat besar dalam bidang lakonan.

Pasaran Korea Selatan

Biarpun bayaran membintangi sinetron sangat lumayan, namun itu bukan lagi objektif utama pelakon filem Love You... Love You Not itu. Fokusnya sekarang adalah untuk memberi komitmen penuh terhadap produk layar perak.

Pengalaman sedekad dalam radar industri hiburan Indonesia, Miller kini sudah selesa untuk menggerakkan hala tuju kariernya dengan bersikap lebih selektif dan tidak menerima tawaran secara semberono.

Ujar lelaki berusia 32 tahun itu, sasarannya kini menjayakan tidak lebih daripada tiga buah filem dalam tempoh setahun. Untuk tahun ini, dua judul filem sudah menunggu kehadirannya bagi memulakan penggambaran pada April dan Mei depan.

Peluang membintangi sebuah filem Korea Selatan berjudul Revenger yang ditayangkan pada tahun lalu juga membuka ruang lebih besar untuk Miller menebarkan sayap kariernya di negara tersebut.

“Tahun lepas saya berpeluang berlakon dalam naskhah Korea Selatan, jadi misi saya sekarang adalah untuk luaskan karier di sana memandangkan ketika menjayakan projek itu, saya ada kenal beberapa penggiat seni di sana.

“Tidak salah andai mencuba perkara baharu sebab itu jugalah yang menjadi fokus saya sekarang iaitu untuk meneroka apa jua perkara yang lebih berprestasi,” ujarnya yang mengambil inisiatif belajar bahasa Korea demi impian tersebut.

Mistik

Berkesempatan bertemu Miller yang pulang ke Malaysia sempena promosi filem seram Hide & Seek Minako yang mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 28 Februari lalu, Miller berharap naskhah arahan Billy Christian yang ditelah ditayangkan di Indonesia pada tahun 2017 tersebut mendapat sambutan peminat tempatan.

Hide & Seek Minako edaran Horizon Film Entertainmnet turut menembusi pawagam Brunei pada tarikh sama.

Berkongsi cabaran sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan, pemegang watak sebagai Baron itu bersyukur kerana terhindar daripada sebarang pengalaman mistik yang sering kali ditempuhi mana-mana pelakon naskhah seram.

Bagaimanapun, Miller masih tidak boleh melupakan pengalaman menyaksikan seorang kru produksi perempuan yang tiba-tiba kerasukan di depan matanya.

“Nama pun filem seram, jadi penggambaran memang banyak dilakukan pada waktu malam. Jadi, itulah cabaran buat kami para pelakon dan kru produksi. Untuk saya, mujurlah tidak berlaku apa-apa pengalaman mistik.

“Kecuali pernah terjadi pada beberapa kru kerana ada antara mereka yang bercakap besar dan sombong. Sedangkan pantang larang orang tua sangat menegah kalau kita cakap besar di tempat-tempat dianggap keras kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini,” imbasnya.

Selain pengalaman mistik yang berlaku kepada orang lain, Miller mengakui Hide & Seek Minako memberi cabaran tersendiri dari segi penggambaran kerana lokasi yang dipilih adalah sebuah bekas gudang terbakar.

“Lokasi itu pernah terbakar, jadi memang berdebu. Kami ada buat babak berlari, berbunuhan dan melompat sana sini, jadi memberi kesan terhadap kesihatan sehingga mendatangkan batuk-batuk dan hidung tersumbat,” ujarnya yang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Memasuki ruang peribadinya, Miller terbuka meleraikan kisah percintaannya dengan seorang wanita dikenali sebagai Nathalie Stephens yang bekerja sebagai cef.

Biarpun sudah lebih setahun bergelar berkasih, Miller enggan tergesa-gesa membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.

“Santai-santai saja (hubungan), tiada yang menarik untuk dikongsikan. Cuma ini merupakan hubungan saya paling lama iaitu setahun sembilan bulan,” ujarnya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post