Oktovia Manrose Saya tidak patut keluar dengan suami orang




Oktovia Manrose meluahkan perasaannya melalui catatan Instagram Story, tengah malam tadi mengenai dirinya yang dikaitkan menjalin hubungan dengan Aliff Aziz.

Pelakon yang dikaitkan menjalin hubungan dengan Aliff Aziz, Oktovia Manrose, berharap Bella Astillah dapat menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan baik.

"Saya tidak patut masuk campur urusan Bella dengan suami. Saya tidak patut ingin cerita pasal hal rumah tangga anda.

"Saya berharap supaya anda dan Aliff boleh selesaikan dengan cara elok. Baik-baik bincang. Saya doakan terbaik untuk anda dan keluarga, Insya-Alllah," kata Oktovia, 26.

Dalam pada itu, Oktovia mengakui kesilapan dan memohon maaf secara terbuka kepada isteri aktor kelahiran Singapura tersebut.

Oktovia berkata, perkara yang dilakukan adalah perbuatan salah kerana dia tidak patut keluar dengan suami orang atau mengeluarkan apa-apa kenyataan.

"Tak pernah terfikir dan rancang semua ini berlaku. Tapi ini berlaku. Saya sedar ini kekhilafan diri saya. Saya manusia biasa yang takkan lari daripada membuat silap.

"Kepada @bellaastillah (Bella), saya tidak mahu menegakkan benang yang basah. Saya minta maaf dengan apa yang sudah berlaku. Apa yang sudah berlaku memang sangat salah.

“Saya mengaku tidak patut keluar dengan suami orang. Saya tidak patut keluarkan kenyataan apa-apa pun sebab sudah terang saya yang salah,” luahnya melalui catatan Instagram Story (IG), tengah malam tadi.

Semalam, Bella mendedahkan sikap suaminya yang didakwa menjalin cinta lokasi dengan pelakon baharu itu ketika menjalani penggambaran telefilem.

Bella mendakwa mempunyai bukti Oktovia dan Aliff berhibur di sebuah pusat hiburan selain berkongsi paparan perbualan WhatsApp dengan sumber mengenai hal terbabit.

Oktovia yang juga ibu tunggal anak satu turut menjelaskan dia mengeluarkan kenyataan berhubung rumah tangga Bella disebabkan terkejut dengan kecaman netizen.

“Kenapa saya jawab macam itu kerana terkejut dengan netizen sampai buat saya melantun. Ia menyakitkan tapi saya memang layak menerimanya," kata anak kepada penyanyi dangdut popular, Iwan itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post