Elly Mazlein hangat bercinta




Ada riak gembira yang terpancar pada raut wajah penyanyi dan pelakon Elly Mazlein. Tentulah, jika dilihat pada perkongsian gambar-gambarnya dalam Instagram sejak kebelakangan ini, wanita berusia 39 tahun itu sedang asyik mengulit bahagia di samping seorang lelaki yang boleh dianggap sebagai teman istimewanya.

Mengenali penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu, dia tidak pernah berkira untuk berkongsi kisah-kisah peribadinya. Jika tidak dalam media sosial, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi akan menggunakan saluran media massa untuk bercerita.

Namun, kali ini Elly agak berahsia mengenai lelaki yang kini bertakhta di hatinya itu. Ditemui pada sidang akhbar Bintang Bersama Bintang di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Elly berkata, biarlah identiti kekasihnya menjadi rahsia.

Cuma, menurut Elly, mereka berdua sedang serius mengenali antara satu dengan lain dan berharap agar hubungan tersebut maju ke fasa seterusnya.

Dalam pada itu, Elly turut berkongsi tentang penglibatannya sebagai hos tunggal program Bintang Bersama Bintang 2019 dan rezekinya yang sangat murah dalam bidang pengacaraan.

Adakah Elly kini sedang bercinta kerana dilihat sering memuat naik gambar seorang lelaki yang dipanggil Papa dalam Instagram?

ELLY: Apa yang boleh dikatakan, saya sedang berada dalam fasa gembira. Tidak hanya saya seorang, anak saya, Putri Sara Sefhia yang kini berusia tiga tahun turut menyenangi kehadirannya. Dia seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Jika keluar bersamanya dan Sefhia, terasa seperti dia suami saya.

Apakah ciri-ciri istimewa yang ada pada lelaki itu sehingga anda tertarik untuk mengenalinya dengan lebih dekat?

Selain bertanggungjawab dan mudah mesra dengan Sefhia, dia juga telah mempunyai kehidupan yang stabil. Pada usia lewat 20-an dan bekerja sebagai kakitangan kerajaan, dia telah mempunyai rumah. Saya bukanlah mahu rumah sebesar stadium jika dijodohkan berkahwin dengannya kelak, cukup sekadar sudah mempunyai aset untuk masa depan. Sejak mengenalinya sekitar bulan Ogos tahun lalu, saya selesa dengannya. Tambahan pula dia faham dengan kerja-kerja saya dan selalu menjaga Sefhia ketika saya sibuk. Dia juga tidak pernah tinggal solat dan selalu mengingatkan saya untuk bangun solat Subuh. Tidak sabar rasanya untuk solat berjemaah bersama.

Bilakah anda akan memperkenalkan kekasih hati anda pada umum?

Mungkin pada malam berinai nanti.

Jadi, anda memberi bayangan bahawa anda berdua sedang merancang untuk bernikah?

Berkenaan dengan pertanyaan tersebut, saya enggan mengulas lanjut. Cuma, saya akan berjumpa dengan keluarganya pada Mac ini. Saya teruja memandangkan keluarganya besar. Saya yang datang daripada keluarga kecil terasa sangat disayangi.

Jika dipertemukan jodoh, adakah anda akan melangsungkan majlis perkahwinan secara besar-besaran?

Saya memilih bersederhana. Kalau boleh, saya mahu menyarungkan baju kurung Kedah sahaja. Cuma, tidak adil bagi pihak lelaki yang mahu merasai majlis sebegini buat pertama kali. Saya mungkin merancang majlis yang lengkap, cuma tidak berlebih-lebihan.

Bagaimanakah rasanya bercinta dengan lelaki yang jauh lebih muda?

Memang ramai yang mengatakan lelaki muda tidak matang. Tetapi, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali. Kadang-kala, mereka lebih matang berbanding lelaki berusia.

Beralih pada karier, boleh kongsikan mengenai penglibatan anda dalam Bintang Mencari Bintang 2019?

Saya berasa sangat gembira kerana diberi peluang untuk mengendalikan program hiburan seperti ini. Alhamdulillah, sejak terlibat sebagai pengacara pada Anugerah Skrin 2018, saya menerima banyak undangan untuk mengacara. Cuma, ada yang perlu saya tolak memandangkan jadual kerja yang padat. Terbaharu, saya turut diberi peluang untuk mengacara program masakan yang bakal disiarkan pada bulan Ramadan nanti.

Sebagai pelakon, anda begitu sinonim dengan watak-watak antagonis. Adakah anda selesa dibenci oleh penonton?

Saya suka membawakan watak-watak sebegini. Selain mencabar, watak antagonis mampu memberikan saya ruang untuk mengubah karakter mengikut kesesuaian. Bagi menampilkan kelainan, saya selitkan juga elemen humor dalam watak antagonis agar penonton tidak bosan.

Post a Comment

Previous Post Next Post